Persiapan Ibu Bapa

Aziz Ben Alawi

3/11/2023

Buat ibu bapa yang menantikan kelahiran anak, pelbagai perasaan yang bermain di jiwa. Ada yang merasakan cemas dan kebimbangan, ada pula yang merasa tenang dan kegembiraan. Jadi apakah yang mempengaruhi perasaan mereka?

Sepertimana sebelum perkahwinan adanya persiapan dari bentuk zahirnya dan batinnya, begitu jugalah sebaiknya diadakan persiapan dalam menyambut anak dari sudut zahirnya dan batinnya. Pepatah menyebutkan, “Amalan tanpa ilmu tiada menjadi, ilmu tanpa amal adalah sia-sia”, maka awal sekali dalam persiapan adalah mempelajari ilmu pengurusan anak.

Di dalam dunia yang serba canggih kini, perbanyakkan bacaan ilmiah dalam internet berkenaan pengurusan anak dari segenap sudut; agama, perubatan dan adat. Bertanya kepada mereka yang telah berpengalaman dari kalangan ahli keluarga dan sahabat. Dianjurkan juga memperoleh kesudian mereka untuk membantu dalam membesarkan anak. Kerana selain dari statusnya seorang anak, ia juga seorang cucu, anak saudara, sepupu, bahkan juga anak bangsa pendukung masa depan kita semua. Maka menjadi tanggungjawab bersama untuk membesarkan anak itu.

Selain itu, terdapat juga kursus anjuran hospital dan selainnya boleh dihadiri sebagai inisiatif persiapan diri. Dalam kursus yang seperti ini, para peserta dibekalkan dengan kefahaman mengenai kesihatan bayi, cara-cara mengekalkan kesihatan dan juga tanda-tanda kesakitan pada bayi. Cara-cara memberikan makan, memandikan dan memakaikan bayi juga turut diajarkan. Inisiatif seperti ini berjaya menghasilkan golongan ibu bapa yang lebih bersedia dan tenang dalam menguruskan anak mereka.

Dari sudut keagamaan pula, ibu bapa seharusnya mendalami sirah agung Rasulullah SAW dalam kaedah baginda mendidik anak-anak, juga kaedah para sahabat dan para ulama. Ibu bapa juga seharusnya dalam saat-saat getir seperti ini, memperbanyakkan munajat dan berdoa kepada Allah SWT semoga terpelihara keselamatan anak dan dipandu bersama kepada jalan yang diredhaiNya. Di waktu yang seperti ini jugalah ibu bapa seharusnya mengambil simpang perubahan dalam hidup dan merebut peluang untuk menjadi insan yang lebih bertakwa.

Ini kerana ketakwaan membawa seorang hamba itu lebih dekat kepada Allah SWT dan mereka yang berada dalam kedekataan diri kepada Allah SWT tidak akan dibiarkan dalam kesedihan atau kesengsaraan di dunia dan akhirat. Ketakwaan ibu bapa itu juga boleh menjadi penyebab yang membawa anak kepada jalan hidayah, mungkin melalui penelitian anak terhadap gaya hidup kedua orang tuanya.