Panggilan Bangun

Aziz Ben Alawi

1/1/1970

Merenung kepada apa yang dialami oleh masyarakat sedunia akibat penularan Virus Covid-19, ramai yang telah menjadi mangsa korbannya. Betapa keluarga yang kehilangan ahlinya dan seakan luka telah terparut pada masyarakat kita. Semoga Allah SWT merahmati mereka yang telah diragut nyawanya, semoga yang masih dipanjangkan usianya dikekalkan dalam kesihatan dan kekuatan.

Di kalangan mereka yang telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini, merupakan tunjang kepada keluarga mereka, bahkan mungkin juga tunjang kepada masyarakat tempatannya. Akibat ini, ahli keluarga atau masyarakat mereka kehilangan mata pencarian. Kemerosotan ekonomi dunia yang berlaku juga telah menambahkan parut luka dari sudut ini. Jadi apakah nasib golongan ini? Apakah nasib mereka akan memberi kesan pada diri kita?

Maha Suci Allah yang telah mengutuskan RasulNya yang sentiasa memberikan tunjuk ajar merentasi ruangan dan masa. Dalam ajaran Islam, didapati bahawa antara dasarnya adalah; ‘Pemeliharaan nyawa’ dan dari isyarat ini sahaja sudah cukup bagi memandu kita agar melibatkan diri dalam membela nasib masyarakat kita semuanya tanpa mengira darjat, bangsa dan agama.

Tahukah kita bahawa pernah disebutkan, “Seorang muslim itu tidak akan dibiarkan sebatang kara.” Ungkapan ini dianggap sebagai dakwaan tanpa dasar, atau cita-cita dan tahyul dongeng. Sekiranya seseorang itu merenung lagi kepada rukun-rukun Islam pasti temui jawabnya, kerana golongan yang tidak bernasib baik akan dibela dengan adanya pensyariatan Zakat dan Sedekah. Oleh itu disebutkan pula, “Kiranya kamu dapati seorang Muslim hidupnya sebatang kara, itu hanyalah kerana Zakat dan Sedekah telah diabaikan.”

Ketahuilah sebaiknya bahawa selama mana kita membanggakan diri sebagai seorang Muslim, tanamkan dalam diri rasa kasih kepada masyarakat. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidak mengambil berat hal saudara Islamnya, maka dia bukanlah dari kalangan mereka.” Perkara ini bukan sahaja menjadi sukatan buat keimanan seseorang, tapi juga sukatan ke atas sifat kemanusiaan.

Adakah seorang ibu atau ayah sanggup membiarkan anaknya dalam keadaan lapar, tanpa pakaian, tempat berlindung dan sebagainya? Adakah seorang kawan sanggup membiarkan kawannya dalam hal yang sama juga? Adakah seorang jiran mengabaikan jirannya? Adakah pemerintah juga mengabaikan rakyatnya? Kiranya berlaku sedemikian, maka wajarlah bala yang menimpa masyarakat sedunia seperti yang pernah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW.





Demikianlah seharusnya sebagai manusia yang masih berperikemanusiaan, yang akan turut sama merasakan kesedihan dan kepiluan bilamana menyaksikan manusia lain berada dalam perihal yang tidak bernasib baik. Hanya apabila kita mengikis sifat kesombongan; merasa seakan mampu untuk hidup bersendirian tanpa wujudnya masyarakat yang berfungsi dengan baik, akan timbul rasa kasih dan ingin membantu dan membela mereka.

Atau mungkin hanya apabila nasib kita menjadi terbalik, tergolong bersama mereka yang tidak bernasib baik. Di mana selama ini kita menikmati makanan kerana kemewahannya, kini kita menikmati makanan kerana ingin meneruskan hidup. Di mana selama ini rumah dan pakaian menjadi status diri, kini hanya cukup atap nipis menahan panas terik dan hujan, dan cukup pakaian yang menutup aurat.

Barangkali selain dari kesombongan yang meracuni jiwa, tanpa sedar penyakit bakhil telah melingkari juga. Sekalian harta yang dimiliki hanya untuk diri sendiri dan enggan kita berkongsi. Menampilkan pelbagai alasan walhal ianya hanya perbuatan menipu diri dan alangkah bebalnya si penipu diri kerana binasa penipuannya atas dirinya sendiri jua. Andainya kita sedari, ianya seakan kita menegah dan menghalang Zakat dan Sedekah dan golongan ini ditempelak Allah SWT.

Sedar Kembali

Oleh itu, maka sebaiknya kita sedar dan mula mengorak langkah untuk turut melibatkan diri bagi meringankan beban setiap individu dalam masyarakat. Bermula dengan ahli keluarga rapat, kemudian yang jauh. Jangan segan untuk menyapa dan bertanya khabar jiran tetangga, khususnya yang seagama. Ambil tahu khabar kawan-kawan dan ahli keluarga mereka, eratkan hubungan yang sedia ada dan jalinkan hubungan yang baru.

Bagaikan telefon pintar yang terputus hubungan internet atau habis baterinya, tiada fungsinya. Begitu juga hubungan sesama manusia, kiranya terputus khabarnya dan menderita sendiri. Tapi itulah juga sifatnya teknologi perhubungan; bermanfaat dalam mendekatkan yang jauh dan musibah dalam menjauhkan yang dekat. Merenung halnya kini, lebih ramai yang terjerat dalam musibahnya. Semoga kita beralih semula kepada manfaatnya.

Tingkatkanlah nilai kemanusiaan dalam diri kita, dengan melakukan apa sahaja yang kita mampu bagi mengekalkan wujudnya sebuah masyarakat yang berfungsi. Setiap seorang dari kita boleh memberikan sesuatu mengikut kadar kemampuan masing-masing; ungkapan semangat dan mendoakan satu sama lain, meluangkan masa dan mengerahkan tenaga dalam membantu dan apa sahaja bentuk kebaikan yang boleh meringankan beban orang lain. Dan semuanya itu dikira sedekah.

Andainya nasib kita terbalik, tidakkah kita bergembira apabila menerima bantuan dan sokongan dari orang lain? Ianya juga akan memupuk dalam diri, hasrat keinginan untuk membalas budi dan mencontohi perbuatan baik tersebut? Hasilnya masyarakat bertambah makmur dan damai. Luka yang selama ini terparut akan mula sembuh, kesannya akan menjadi jelas dan nyata bila masyarakat kita kembali aktif dan sentiasa bertambah maju.

Zakat dan Sedekah juga boleh difahamkan sebagai suatu cara menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT. Janji Allah SWT pula, kiranya kita bersyukur, akan Dia tambahkan lagi.

Dalam hadis lain pula yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Zarr Al-Ghifari RA bahawa; Beberapa orang berkata kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, orang kaya telah mengambil (semua) pahala. Mereka mendirikan solat seperti yang kami dirikan, dan memberikan sedekah dari kelebihan kekayaan mereka." Maka Baginda SAW bersabda, "Tidakkah Allah telah menetapkan untuk kamu bahagian yang mana kamu boleh juga memberikan sedekah? Dalam setiap tasbih itu adalah sedekah, dan dalam setiap takbir itu ada sedekah, dan dalam setiap tahmid itu adalah sedekah, dan dalam setiap tahlil itu adalah sedekah, dan dalam memerintahkan kebaikan adalah sedekah, dan dalam melarang kejahatan adalah sedekah, dan dalam hubungan intim lelaki (dengan isterinya) adalah sedekah. " Mereka (para Sahabat) berkata: "Ya Rasulullah, adakah pahala bagi dia yang memenuhi keperluan batinnya di antara kami?" Baginda SAW menjawab, "Anda lihat, jika dia memuaskannya dengan sesuatu yang dilarang, bukankah itu adalah dosa dari pihaknya? Begitu juga, jika dia memuaskannya secara halal, dia harus diberikan ganjaran". (HR Muslim)