Menyantuni Tetamu

Aziz Ben Alawi

1/1/1970

Dalam adat dan kebudayaan setiap bangsa seluruh dunia, menyantuni tetamu merupakan sesuatu yang diberikan penekanan, malahan dari sudut agama juga. Dalam erti kata tersebut, tetamu yang bertandang akan disambut dengan ramah dan diizinkan menumpang keselesaan kediaman tuan rumah. Sering juga dikatakan, kedatangan tetamu ke rumah itu membawa rezeki dan keberkatan buat tuan rumah.

Makna tuan rumah itu juga boleh diperluaskan agar tidak terhad hanya kepada sebuah rumah. Maka boleh dinisbahkan sesebuah kampung itu tuannya adalah penduduknya, sesebuah negeri kepada anaknya dan sesebuah negara kepada seluruh warganya. Kefahaman dan kesedaran dari sudut ini membuka hati setiap ‘tuan’ untuk merasakan lebih bertanggungjawab dalam mendiami dan memelihara ‘rumah’ itu. Sekaligus tanggungjawab sebagai tuan dalam menyantuni para tetamunya.

Penghuni sebuah rumah dikunjungi penghuni rumah lain, penduduk sesebuah negeri dikunjungi penduduk negeri sebelah dan sesebuah negara dikunjungi oleh warga negara asing. Sekiranya dalam sebuah rumah itu disediakan suatu ruangan buat para tetamu, begitulah juga kampung, negeri dan negara kita. Tidaklah terjejas ruang peribadi seperti bilik tidur kita itu kerana wujudnya ruang tamu tersebut.

Para tetamu yang berkelana ke tempat kita mempunyai hajat yang berbeza belaka, demi peluang pendidikan, pekerjaan, percutian dan sebagainya lagi. Malah antara keramaian tersebut, ada juga yang sebagai pelarian akibat krisis yang melanda di tanah air mereka. Maka sebagai ‘tuan rumah’, adalah manis untuk kita menyantuni sesuai hajat mereka. Para musafir, pelajar, dan pelarian adalah golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat. Tiada halangan untuk kita menambahkan lagi dengan sedekah yang seikhlas hati, dan semuanya itu hanya mengangkat lagi kehormatan diri kita sebagai ‘tuan rumah’.

Sekalipun buruk budi pekerti para tetamu kita, janganlah kita yang buruk budi pekerti, dan jangan sesekali dibiarkan kehormatan tuan rumah diinjak oleh tetamu yang tiada kesopanan. Jadilah kita golongan yang terpimpin akhlaknya oleh ajaran Rasulullah SAW, bijaksana dan berhemah dalam apa jua situasi. Boleh jadi dengan pekerti yang baik, dapat memberikan isyarat kepada para tetamu untuk mengambil pedoman darinya.

Dari Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat maka hendaklah dia memuliakan tamunya." (HR Bukhari dan Muslim)