Mencintai Rasulullah - Meniru Gaya Kehidupan Rasulullah SAW
Aziz Ben Alawi
3/11/2023
Pada pandangan umum umat manusia bahkan sekalian alam, Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT. Namun setiap individu menyaksikan keagungan baginda SAW pada tingkat yang berbeza-beza. Oleh kerana setiap individu akan mencintai Rasulullah SAW dengan cara masing-masing, maka tidak dapat diletakkan garis ukuran pada cinta mereka. Hanya dapat disaksikan bagaimana cinta itu memandu mereka dalam urusan kehidupan seharian.
Perkara utama yang dapat disaksikan dari hasil cinta ini, adalah mereka akan berusaha sedaya upayanya untuk meniru gaya kehidupan Rasulullah SAW. Dari segi zahir, seperti pemakaian, pemakanan dan pergerakan; jalan, duduk dan baring. Lebih utama lagi, dari segi batin seperti khusyuk, takut hanya kepada Allah SWT, berani menentang kebatilan dan menegakkan kebenaran. Hasil dari perkara ini, terbentuknya keperibadian seorang manusia dan muslim yang disanjungi dan disayangi.
Kecintaan kepada Rasulullah SAW juga dipamerkan, melalui ketekunan para pencinta dalam mendalami ilmu-ilmu agama. Ini jelas kerana demi meniru gaya kehidupan baginda SAW, perlunya kepada pengetahuan dan kefahaman mengenai risalah yang dibawa olehnya. Maklumat tentang sifat lahiriah Rasulullah SAW tidak mungkin dicapai tanpa mendalami riwayat-riwayat hadis dan sirah. Memahami risalah yang dibawanya tidak mungkin dicapai tanpa mempelajari Al-Quran dan ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya. Seorang pencinta Rasulullah SAW yang tidak mendalami ilmu-ilmu agama, hanyalah seorang pendakwa. Barangkali si pendakwa itu, telah menyesatkan cintanya dan hanya menconteng arang pada mukanya. Atau lebih bahaya lagi, menconteng arang kepada agama Islam dan Rasulnya.
Para pencinta Rasulullah SAW adalah mereka yang memperbanyakkan ucapan selawat dan salam kepada baginda. Hanya demi merebut kedudukan yang dekat kepada Rasulullah SAW di akhirat kelak. Sayyidina Abdullah bin Mas'ud RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, “Seutama-utama manusia dengan aku di Hari Kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”
Selain dari merebut kelebihan dan ganjaran dari berselawat, para pencinta itu menyibukkan diri dengannya hanya kerana gemar menyebutkan nama Nabi yang dicintai. Sehingga ada golongan yang gemar mendahulukan selawat sebelum memulakan setiap amal kebaikan. Misalnya, seorang muazzin akan berselawat sebelum dan sesudah melaungkan azan. Setiap yang mendengarkan azan tersebut akan turut ikut berselawat.