Manfaat Membaca

Aziz Ben Alawi

3/11/2023

Penulisan dan bacaan adalah antara tradisi tertua yang diwarisi turun menurun. Setiap bangsa di seluruh dunia ini mempunyai sejarah penulisan mereka yang tersendiri. Diceritakan bahawa yang pertama sekali mula menulis adalah Nabi Idris AS.


Akan tetapi, budaya membaca kian menghilang kerana generasi kini lebih senang dibiarkan dengan hiburan mainan video atau meluangkan masa di laman media sosial. Buku-buku yang telah siap dicetak, hanya tersimpan di rak dan mengumpul debu. Sekalipun dicetak dalam bentuk elektronik, masih juga menanggung nasib yang sama.


Telah banyak ujian serta pemerhatian dijalankan ke atas budaya membaca. Hasilnya menunjukkan banyak tanda-tanda yang positif, sekaligus menggalakkan lagi budaya membaca.


Menajamkan Fikiran dan Melatih Memori

Didapati golongan invidu yang mengamalkan budaya membaca, menpunyai daya fikiran yang lebih tajam dan tahap pemikiran mereka juga lebih kritikal. Hasilnya, mereka lebih berani menceburi bidang-bidang yang baru dan menambah kemahiran diri.


Hasil dari kaedah berfikir yang lebih kemas dan berkaedah, adalah kekuatan memori yang lebih kuat. Lembaran-lembaran buku yang biasa menjadi tatapan harian, menjadi satu bentuk latihan juga buat minda.


Menambahkan Pengetahuan

Sama ada yang menjadi pilihan bacaan adalah bahan ilmiah atau hiburan sekalipun, pasti akan berlaku pengasahan kemahiran bahasa seseorang. Akan tetapi, bahan ilmiah sudah tentu mempunyai mutu yang lebih tinggi dari sudut manfaatnya. Zahir tubuh mungkin berada di kediaman sendiri, tetapi bahan bacaan itu mampu membawa pemikiran jauh ke segenap angkasa raya.


Menghilangkan Tekanan dan Merehatkan Minda

Aktiviti harian saban hari akan menjadi tekanan dalam diri individu. Dalam situasi yang begitu, mereka akan mencari jalan mengalihkan perhatian atau membebaskan diri. Aktiviti membaca adalah satu alternatif yang mudah dilakukan bila-bila dan di mana-mana sahaja sebagai pengalih perhatian.


Kerehatan minda juga boleh tercapai apabila minda dibawa untuk fokus kepada sesuatu yang menenangkan dan merangsang pemikiran. Sejumlah ahli sains malah mengatakan, membaca memberikan kesan yang sama seperti meditasi.