Kebersihan Dan Kesucian
Aziz Ben Alawi
1/1/1970
Sekiranya direnungkan dengan teliti, akan didapati bahawa menjaga kebersihan adalah tabiat setiap kehidupan, baik manusia, haiwan dan juga tumbuhan. Kemudian Islam datang, memperkenalkan suatu aspek yang baharu, yakni kesucian.
Berlaku perdebatan berkenaan kesucian dan kebersihan, ada yang berpendapat bahawa kedua-duanya adalah sama. Ada pula yang meletakkan pengertian yang berbeza buat kedua-duanya dan ia merupakan yang lebih muktamad. Bukan semua yang bersih itu suci, dan yang suci itu mungkin tidak bersih.
Kebersihan boleh dicapai dengan menanggalkan dan membuang segala kotoran, seperti mencuci pakaian yang terkena lumpur atau kesan makanan. Bagaimanapun, pakaian itu masih mengekalkan statusnya yang suci. Seekor anjing, sekalipun dimandikan dengan sabun tetap tidak dapat mengubah statusnya sebagai najis. Rumusannya adalah, kesucian perlu dicapai dahulu kemudian dikemaskan lagi dengan kebersihan.
Dalam Islam, aspek kebersihan dan kesucian diperluaskan lagi dengan pengertian yang batin atau maknawi. Ini bermaksud, selain dari membersihkan tubuh zahir jasmani, turut dibersihkan dan disucikan hati jiwa nurani insan. Ianya malah diberikan penekanan yang lebih, kerana kesukaran untuk mencapainya.
Kebersihan hati itu telah disebutkan oleh Allah SWT dalam firmanNya, “Pada hari yang harta dan anak-anak tidak lagi berguna, kecuali orang yang menghadap Allah dengan kalbu yang bersih.” (Asy-Syu’ara: 88—89)
Perkara ini kemudian dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya, “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat bentuk-bentuk (badan) dan harta kalian. Akan tetapi, Allah SWT melihat ke dalam kalbu dan amalan kalian.” (HR Muslim)
Ringkasnya, kebersihan hati adalah membebaskannya dari segala sifat yang buruk dan memupuk kembali sifat-sifat murni insan. Kemudian disucikan dengan ilmu wahyu yang akan menerangi dan membawa kepada nilai-nilai keimanan dan ihsan. Mencapai keadaan diri yang seperti ini merupakan suatu cabaran, namun mengekalkannya dalam diri adalah usaha yang berterusan sepanjang hayat.
Oleh itu, kita perlu berhenti menilai diri kita sendiri dan yang lain hanya pada zahirnya. Sebaliknya mula merenung jauh ke dalam diri yang batin, dan berterusan membersihkan dan menyucikannya.