Kawan Yang Baik
Aziz Ben Alawi
1/1/1970
Pergaulan akan mempengaruhi diri kita, sama ada disedari atau tidak. Dari sudut pemikiran, tingkah laku, dan perasaan di hati. Kerana itu, kita perlu berhati-hati bersama sama kita bergaul.
Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” (HR Bukhari)
Imam Al-Ghazali telah menyusunkan garis panduan, berkenaan sifat-sifat seorang insan yang boleh dijadikan kawan dalam kehidupan ini.
Akal
Sifat pertama yang diinginkan ada pada seorang kawan adalah berakal sihat dan bijak. Kebijaksanaannya akan memberikan inspirasi untuk meningkatkan tahap pemikiran dan kefahaman. Disebutkan bahawa memiliki musuh yang bijak itu lebih baik dari kawan yang bodoh.
Dalam perkara ini Sayyidina Ali RA berkata,
“Jangan dikau bersahabat dengan orang yang bodoh. Jauhinya, jauhkan diri darinya.
Betapa ramai orang yang alim telah dibinasakan orang yang jahil,
ketika ia bersahabat dengannya.”
Akhlak Yang Baik
Manusia lebih mudah dipengaruhi melalui penglihatan, disebutkan bahawa mata adalah jendela kepada hati insan. Kelakuan yang disaksikan lebih muda menjadi ikutan, sehingga boleh menjadi kebiasaan. Perkara ini bukan sahaja diajarkan dalam Islam, malah kajian oleh pakar sains telah menemukan bukti-bukti yang kukuh. Sehingga bahan tontonan semuanya dilabelkan had usia buat penontonnya.
Orang Yang Soleh
Pengertian soleh itu luas sekali, memerlukan penjelasan melalui lembaran kitab dan perbahasan yang panjang. Jika ingin diringkaskan, seorang yang berterusan memperbaiki hubungannya bersama Allah SWT. Sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan tahap ketakwaan dalam diri.
Seorang soleh yang dijadikan kawan, akan memberikan kesan pada diri kita juga. Sinaran hidayah dan rahmat Allah SWT akan tempias kepada kita atau kita boleh menumpang di bawah cahaya mereka.
Tidak Tamak Dunia
Tamak membawa kepada bakhil, ini adalah tanda kecintaan kepada dunia. Cinta kepada dunia akan mematikan hati, sehingga menjadi keras dan hilang pertimbangan apa yang baik dan apa yang buruk. Bergaul dengan golongan yang seperti itu akan mengakibatkan jangkitan kepada diri sendiri.
Orang Yang Benar
Jadikan seorang yang benar dalam perkataan dan perbuatan, sifat insan begini akan memberikan manfaat yang sangat besar dalam kehidupan kita. Nasihat atau teguran dari mereka sememangnya untuk membantu kita berubah kepada kebaikan.
Adapun seorang pendusta dan munafik itu, akan mengakibatkan hati kita berkarat. Niatnya itu supaya kita berterusan dalam keburukan yang akhirnya akan membinasakan diri.