Syafaat Anak

Aziz Ben Alawi

1/1/1970

Antara kelebihan yang disebutkan dalam melaksanakan akikah buat anak adalah semoga anak itu dapat memberikan syafaat kepada kita di Hari Akhirat kelak. Berikut merupakan pendapat Iman Ahmad bin Hanbal dalam katanya, “Apabila tidak diakikahkan lalu ia meninggal dunia di masa kanal-kanaknya, tidaklah ia mensyafaatkan kedua ibu bapanya.”

Syafaat dari sudut bahasa adalah menjadikan sesuatu yang ganjil kepada genap. Manakala dari sudut istilah pula adalah menjadi perantara bagi orang lain dengan memberikan manfaat kepadanya atau menolak mudharat iaitu pemberi syafaat akan memberikan manfaat kepada orang yang diberi syafaat atau menolak mudharat untuknya. Dalam erti kata lain, syafaat juga bermaksud memohon perlindungan bagi orang lain.

Dalam satu peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW dibawa malaikat untuk melihat suasana di dalam syurga. Antara yang baginda SAW lihat ialah seorang lelaki tinggi dikelilingi kanak-kanak.Malaikat menerangkan kepada baginda SAW, “Adapun lelaki yang tinggi itu di dalam Raudhah ialah Nabi Ibrahim AS dan di sekeliling baginda AS itu ialah anak yang meninggal pada waktu kecil."

Maka, semua yang dilahirkan pada waktu kecil dan meninggal di atas fitrah iaitu Islam akan dimasukkan ke dalam syurga. Riwayat tersebut menunjukkan bahawa anak yang meninggal dunia pada waktu kecil adalah di bawah penjagaan Nabi Ibrahim AS di dalam syurga. Anak kecil itu mengingati ibu bapanya dan akan memberikan syafaat kepada ibu bapa mereka dengan izin Allah SWT.

Daripada Abu Hassan RA, maksudnya: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah keadaan dua anak kecilku yang sudah meninggal dunia, “Bolehkah kamu sampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah SAW yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?’

Jawab Abu Hurairah RA, “Boleh. Mereka adalah 'Da’amis Syurga'. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka atau ibu bapa, lalu menarik bajunya atau menarik tangannya seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkan ibu bapanya ke dalam syurga.”

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Da’amis itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du’mus yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air. Mereka tidak berpisah dengannya. Maksudnya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya."

Riwayat lain yang menceritakan tentang kanak-kanak yang belum baligh akan menunggu ibu bapa mereka di pintu syurga disebut oleh Imam al-Thabarani yang diriwayatkan oleh Habibah RA, beliau berkata,Aku berada bersama Siti Aisyah RA maka telah datang Rasulullah SAW sehingga baginda SAW masuk lalu bersabda: Tidaklah dua orang muslim meninggal dunia, di antara keduanya ada tiga orang anak (mereka adalah tiga bersaudara) yang belum baligh kecuali Allah SWT akan datangkan mereka pada Hari Kiamat sehingga didirikan pada pintu-pintu syurga lalu dikatakan kepada mereka, “Masuklah kamu ke dalam Syurga”. Mereka menjawab, “Sehingga dimasukkan ibu bapa kami.” Maka dikatakan kepada mereka, “Masuklah kamu dan juga ibu bapa kamu ke dalam Syurga”.

Demikian kasih sayang Allah SWT kepada anak-anak kecil yang meninggal sebelum usia baligh, termasuklah bayi-bayi yang meninggal akibat keguguran. Allah SWT mengizinkan mereka untuk memberikan syafaat kepada ibu bapanya, sekaligus mengampunkan ibu bapanya di dunia kiranya menghapinya dengan kesabaran dan keredhaan atas takdir Allah SWT. Dan tiadalah Allah SWT menginginkan kesedihan dan keperitan buat hamba-hambaNya, hanyasanya Dia lebih mengetahui dan kita tidak mengetahui apa hikmahnya.