Akikah

Aziz Ben Alawi

2023-03-11

Sudah pasti menjadi impian buat setiap pasangan suami isteri untuk menerima cahaya mata dan memulakan sebuah keluarga. Kehidupan yang selama ini dilalui hanya berdua kini disertai ahli baru dan seakan segala kebiasaan harian bakal berubah. Setiap keperluan anak itu segera disediakan dan diusahakan, demikianlah pengorbanan yang perlu ditaburkan oleh ibu dan bapa.

Antara pengorbanan yang seharusnya tidak dilupakan adalah mengorbankan haiwan ternakan sebagai tanda kesyukuran atas kelahiran anak itu, yang disebutkan sebagai ‘akikah anak’. Akikah bukanlah sesuatu yang asing lagi dalam masyarakat Islam seluruhnya, hanya sahaja ada golongan yang kurang kefahaman mengenainya. Mungkin kerana belum pernah melakukannya sendiri atau atau belum pernah terlibat dalam aktiviti akikah itu sendiri.

Akikah bukanlah suatu amalan tradisi atau adat resam orang Melayu, bahkan akikah adalah antara perkara yang disyariatkan dalam Islam dan hukumnya ‘sunnah muakkad’ berdasarkan sabda Rasulullah SAW dari Samurah RA, “Kanak-kanak itu tergadai dengan akikahnya, disembelih daripadanya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberikan nama.” Siti ‘Aisyah RA meriwayatkan, “Rasulullah SAW telah mengakikahkan Hasan dan Husain pada hari yang ketujuh dan baginda menamakan kedua mereka.”

Kata Ibnul Qayyim tentang maksud sabda, “Kanak-kanak itu tergadai dengan akikahnya’, yakni akikah itu melepaskan dia dari godaan syaitan yang mencegahnya melakukan amal kebaktian untuk akhirat.

Akikah adalah perkataan Arab yang mengertikan rambut yang di atas kepala bayi ketika dilahirkan. Di dalam definisi syara’ pula, iaitu nama yang disembelih kerana bayi itu. Kambing yang disembelih kerana lahirnya bayi itu dinamakan ‘akikah’ kerana rambutnya tadi dicukur ketika menyembelih binatang tersebut.

Dari Siti ‘Aisyah RA, “Bahawa mereka telah masuk kepada Hafshah binti Abdul Rahman RA lalu menanyainya tentang akikah, maka dikhabarkan kepada mereka bahawa Rasulullah SAW telah menyuruh mereka: Dari anak lelaki dua ekor yang berpadanan dan dari bayi perempuan seekor kambing.”

Dari khabar tersebut maka menjadi jelas tanpa ragu buat kita tentang jumlah yang perlu dikorbankan buat bayi lelaki adalah dua ekor dan buat bayi perempuan seekor sahaja. Akikah juga mencerminkan keindahan Islam dalam mengubah adat kegelapan Zaman Jahiliyyah di mana golongan wanita tidak dihormati dan dianggap barang milikan, bayi perempuan pula dianggap aib dan akan dibunuh. Maka Islam datang menerangi dan mengangkat kedudukan kaum wanita itu sejak lahirnya dengan syariat akikah ini.

Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa ada baginya tiga orang anak perempuan, atau dua dan atau seorang sekalipun dan dia bersabar terhadap mereka, memberikan mereka pakaian daripada hartanya, maka mereka akan menjadi pendindingnya dari api neraka.”