Yayasan OrphanCare: Menghidupkan Kembali Harapan Keluarga Melalui Reintegrasi

Nurul Atikah Sarji

9/12/2024

Menghidupkan_Kembali_Harapan_Keluarga_Melalui_Reintegrasi_(1).png

Setiap keluarga pasti mempunyai pelbagai dugaan. Ada keluarga yang terpaksa berpisah di antara satu sama lain dek kerana kekangan kewangan, masalah sosial dan sebagainya. Namun, setiap dugaan yang kita hadapi sudah tentu ada jalan penyelesaian. 

Harun Muzaffar, seorang pekerja sosial yang telah berkhidmat selama dua tahun di bawah jabatan reintegrasi dan pengangkatan di Yayasan OrphanCare,  adalah salah satu individu di sebalik usaha menyatukan kembali keluarga melalui program-program di OrphanCare. 

Orphan_care_1.png

Meskipun OrphanCare terkenal dengan inisiatif peti pelindungan bayi atau lebih dikenali sebagai"baby hatch", payung utama organisasi ini adalah "deinstitutionalization”, yang bermaksud penjagaan berasaskan keluarga. OrphanCare mempunyai cabang utama iaitu"baby hatch", pengangkatan, reintegrasi dan jagaan kumpulan kecil. 

BACA: BERANI BUAT, BERANI TANGGUNG

Harun menjelaskan bahawa skop utama di OrphanCare adalah untuk reintegrasi keluarga-keluarga di Malaysia yang memerlukan pelbagai bantuan. 

Orphan_Care_3.png

“Kami di OrphanCare menjaga keluarga-keluarga di bawah program ini. Pada masa ini, kami sedang membantu 82 keluarga untuk reintegrasi mereka.Pendekatan OrphanCare menekankan empat elemen penting untuk menyatukan semula kanak-kanak dengan keluarga tersayang: kewangan, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan. 

"Contohnya, ada keluarga yang mempunyai lima orang anak, tetapi tidak semua mampu untuk bersekolah. Sebagai pekerja sosial, kami membuat penilaian dan memahami punca masalah tersebut. Kami memastikan anak-anak tersebut mendapat peluang untuk bersekolah, dan jika perlu, kami juga membantu mereka mendapatkan biasiswa melalui rakan kongsi kami,” kata Harun. 

Menurutnya lagi, proses reintegrasi di OrphanCare merangkumi beberapa langkah penting: pra penilaian, penilaian, persediaan, pelaksanaan "care plan", dan akhirnya, proses pemantauan serta penilaian. Proses ini mengambil masa selama dua tahun untuk memastikan keluarga tersebut boleh berdikari dan mencapai matlamat yang diinginkan. Sepanjang tempoh ini, keluarga diberikan sokongan penuh daripada OrphanCare dan rakan kongsi.

Orphan_Care_2.png

Kisah kejayaan: Puan K dan lima anak-anaknya

Salah satu kisah kejayaan yang diceritakan oleh Harun untuk program reintegrasi OrphanCare melibatkan Puan K (bukan nama sebenar), seorang ibu tunggal dengan lima orang anak yang tersebar di beberapa institusi swasta. Puan K melarikan diri daripada bekas suaminya yang mempunyai masalah sosial, dan terpaksa meletakkan anak-anaknya di institusi kerana tidak mampu menjaga mereka. Namun, naluri keibuan mendorong beliau untuk berusaha mendapatkan kembali anak-anaknya.

Orphan_Care_4.png

OrphanCare mengambil alih kes ini dan melakukan penilaian serta menyediakan "care plan" yang komprehensif. Melalui bantuan dan sokongan daripada rakan kongsi, Puan K berjaya memperbaiki keadaan kewangannya, malah salah seorang anaknya kini berada di tahun akhir di universiti dalam bidang kejururawatan.

"Jika keluarga ini tidak disatukan, kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada anak-anak Puan K. Melalui usaha OrphanCare, kami percaya impak positif ini bukan sahaja dirasai oleh keluarga ini, tetapi juga oleh masyarakat,” ujar Harun. 

Pekerja sosial di OrphanCare memahami kehidupan dan perasaan mendalam keluarga-keluarga yang mereka bantu. Ini membolehkan mereka merangka "care plan" yang sesuai dan efektif. Selain itu, khidmat kaunseling disediakan untuk membantu keluarga-keluarga ini menghadapi cabaran mereka. Hubungan yang rapat ini adalah kunci kejayaan program reintegrasi OrphanCare.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program OrphanCare atau jika anda ingin mendapatkan bantuan, sila hubungi hotline 03-7770 1900, datang terus ke pejabat atau hantarkan email di [email protected]