Tradisi Raya Sebulan? Panduan Menyambut Aidilfitri Mengikut Sunah

Ayu Nadirah

3/26/2024

Tradisi_Raya_Sebulan_Panduan_Menyambut_Aidilfitri_Mengikut_Sunah.png

Kalau mengikut tradisi orang Melayu, rata-rata daripada kita akan menggunakan tempoh sebulan untuk meraikan Syawal dengan sebaiknya. Majlis rumah terbuka dan ziarah-menziarahi berlangsung sepanjang bulan ini. Sambutan hari raya Aidilfitri disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Namun, bagaimana pula dengan tradisi yang dilakukan sepanjang bulan Syawal? Adakah ia dibolehkan dalam Islam?

Hukum Merayakan Syawal Selama Sebulan

Hari raya pada satu Syawal hadir dengan beberapa ibadat yang perlu dilaksanakan. Antaranya adalah zakat fitrah, mandi sunat, solat sunat Aidilfitri dan takbir raya bermula malam raya sehingga imam memulakan solat hari raya. Umat Islam juga diharamkan untuk berpuasa pada satu Syawal. Semua ini hanya dilakukan pada hari pertama dan bukan pada hari-hari lain dalam bulan Syawal.

Namun, amalan seperti ziarah, rumah terbuka, bermaaf-maafan dan memberi duit raya adalah diharuskan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia. Umat Islam digalakkan untuk mengambil peluang ini untuk menjamu makanan kepada keluarga, saudara-mara, jiran tetangga dan teman, selain jangan dilupakan fakir miskin yang turut mahu meraikan Syawal dengan meriah. Ia sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Insan:

surah_al-Insan.png

Sambutan Hari Raya Mengikut Sunah

Sekarang bagaimana pula cara menyambut Syawal yang sesuai mengikut sunah? Terdapat beberapa amalan sunah Rasulullah SAW yang boleh anda amalkan ketika berhari raya seperti di bawah:

  1. Menghidupkan malam raya dengan memperbanyakkan ibadah seperti solat, zikir dan doa.
  2. Mandi sunat bermula dari pertengahan malam dan sunat dilewatkan sehingga menghampiri solat hari raya.
  3. Memperbanyakkan takbir bermula dari terbenam matahari akhir Ramadan sehingga sebelum menunaikan solat hari raya.
  4. Memperelokkan diri dengan mencukur bulu, memotong kuku dan merapikan janggut.
  5. Memakai pakaian yang bersih dan terbaik, tetapi tidak semestinya pakaian yang baru.
  6. Berwangi-wangian serta berhias kemas sewaktu hendak ke masjid dan meraikan satu Syawal.
  7. Bersarapan sebelum menunaikan solat hari raya.
  8. Menunaikan solat hari raya di masjid ataupun di rumah.

Semoga setiap amalam dan tradisi yang dilakukan sepanjang Syawal membuahkan kegembiraan buat semua. Inilah juga masanya untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli keluarga dan umat Islam yang lain.