[Tanya Doktor] 3 Cara Jaga Ibu Bapa yang Sedang Sakit atau Uzur

Hanan Latip

8/13/2024

Ibu bapa anda telah uzur atau sakit dan anda kurang mahir untuk menjaga dan menguruskan mereka? Usah gusar, ia sememangnya perkara biasa bagi sesiapa yang tidak biasa untuk melakukan perkara-perkara sebegini. Kami telah mendapatkan pandangan dan nasihat dari Dr. Fajrina Hamid, Pegawai Perubatan, Columbia Asia Extended Care Hospital - Shah Alam, tentang cara-cara yang betul untuk menjaga ibu bapa anda yang telah uzur. Namun sebelum itu, kami akan kongsikan 7 tip jaga ibu bapa yang sedang sakit atau uzur. 

Dr._Fajrina_Hamid.png

7 Tip Jaga Ibu Bapa Yang Sedang Sakit atau Uzur

Apa pula tip untuk menjaga ibu bapa yang sakit dan uzur ini? Dr. Fajrina Hamid ada kongsikan beberapa tip dan senarai semak yang komprehensif bagi memudahkan penjagaan ibu bapa yang uzur. Senarai semak tersebut harus merangkumi perkara-perkara seperti di bawah:

  • Jadual ubat-ubatan, janji temu kesihatan dan vaksinasi
  • Kawalan tanda tanda vital dan berat badan
  • Waktu makan dan perancangan makanan
  • Jadual penghidratan
  • Jadual senaman ringan
  • Jadual tidur
  • Nombor untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan

Dengan langkah ini, proses penjagaan dan aktiviti seharian yang dilakukan oleh ibu bapa anda. Adik-beradik dan saudara-mara yang terdekat akan lebih cakna dan boleh diharapkan jika perlu bergilir dalam menjaga ibu bapa anda yang sakit atau uzur ini. 

3 Cara-cara Menjaga Ibu Bapa Yang Telah Uzur

1. Menjaga Kesihatan Ibu Bapa

Anak-anak harus memantau tanda-tanda penting dengan kerap seperti:

  • kadar tekanan darah dan kandungan gula pada tubuh mereka.
  • pastikan ibu bapa mematuhi jadual janji temu kesihatan mereka. 
  • pantau pengambilan ubat-ubatan dengan memastikan ubat-ubatan diambil dalam kadar yang betul dan pada masa yang tepat.

2. Membantu Ibu Bapa yang Uzur Dalam Menjalankan Rutin Harian 

Seperti contoh pada peringkat awal, alangkah baiknya jika anda bantu mereka semasa ingin makan, membersihkan diri, memakai pakaian dan sebagainya. Tidak dilupakan untuk sediakan diet seimbang yang memenuhi keperluan pemakanan mereka, serta galakkan ibu bapa untuk minum air secukupnya. Kadang-kala, ada ibu bapa yang mampu mengingati dan membiasakan diri dengan rutin baru. Jika sebaliknya berlaku, diharapkan anda kekal semangat!

3. Penjagaan Kesihatan Mental Ibu Bapa yang Sakit atau Uzur 

Apabila ibu bapa anda sedang sakit atau uzur, penting juga untuk anda mengawasi kesihatan mental mereka kerana risau terdapat tanda-tanda kemurungan atau kebimbangan yang mungkin timbul, seperti perubahan mendadak dalam kelakuan atau kehilangan minat dalam aktiviti harian. Selain memberikan sokongan emosi dan fizikal, adalah penting untuk membantu mereka untuk mendapatkan bantuan profesional secepat mungkin apabila diperlukan. Ini termasuklah mencari bimbingan daripada pakar kesihatan.

3 Cara Penjagaan Emosi dan Fizikal Buat Si Anak/Penjaga 

3_Cara_Penjagaan_Emosi_dan_Fizikal_Buat_Si_AnakPenjaga_.png

Dalam menjaga ibu bapa yang sakit mahupun uzur pasti akan terkesan serba sedikit dengan situasi ini. Pandangan ini dikongsi oleh Dr. Fajrina Hamid, di mana, apabila si anak membantu ibu bapa yang uzur atau sakit, sudah tentu ia boleh mempengaruhi keadaan fizikal dan juga emosi. Ditambah lagi dengan kesibukan kerja, urusan keluar dan kekangan masa yang ada. Berikut adalah caranya untuk menjaga emosi dan fizikal anda.

1. Beri Perhatian Lebih Kepada Penjagaan Diri Sendiri

Anda berhak untuk berehat buat seketika. Berikan peluang badan anda untuk berehat dan melakukan penjagaan diri secara berkala. Sebagai contoh, anda lakukan amalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan mempelajari teknik relaksasi atau meditasi kerana ianya penting untuk menguruskan tekanan yang dihadapi. Paling tidak pun, pastikan anda makan makanan berkhasiat dan yang digemari agar membekalkan tenaga. 

2. Dapatkan Bantuan daripada Ahli Keluarga atau Kenalan Terdekat

Siapa kata anda hanya perlu tanggung perkara ini sendirian? Tidak! Mintalah bantuan dari ahli keluarga terdekat dan kenalan terdekat mampu meringankan beban yang ditanggung. Anda juga boleh mencari sokongan daripada kumpulan sokongan yang sesuai di mana mereka boleh berkongsi pengalaman dan mendapatkan sokongan emosi. Tidak terkecuali juga, anda boleh berjumpa dengan ahli terapi atau kaunselor bagi mendapatkan bimbingan dan sokongan kaunseling profesional. 

3. Menggunakan Perkhidmatan Respite Care 

Bagi yang tidak mengetahui, perkhidmatan respite care atau perkhidmatan penjaga harian boleh memberi peluang kepada anak-anak untuk berehat buat sementara waktu, bergantung kepada keperluan masing-masing. Ataupun anda menghantar ibu bapa ke fasiliti penjagaan untuk jangka masa yang tertentu sekiranya diperlukan. Langkah ini penting bagi mengelakkan anak-anak daripada mengalami keletihan emosi atau mental yang berlebihan (burnout). 

Di Columbia Asia Extended Care Hospital - Shah Alam berpengalaman dalam menyediakan penjagaan jangka panjang yang berkualiti untuk warga emas, menjadikannya sebagai pilihan sokongan bagi mereka yang memerlukan penjagaan kesihatan yang profesional dan berterusan.

3 Perkara yang Boleh Disesuaikan Mengikut Keadaan Ibu Bapa yang Sakit Atau Uzur

1. Persekitaran yang Selamat

Faktor persekitaran adalah sangat penting untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini. Justeru, anda perlu memastikan persekitaran ibu bapa bebas daripada sebarang halangan yang boleh menyebabkan mereka jatuh atau tercedera. Pada masa yang sama, pastikan pencahayaan di rumah mencukupi untuk memudahkan mereka bergerak dengan lebih selamat. Pastikan juga keadaan tandas tidak licin dan letakkan palang sokongan di tandas untuk memudahkan pergerakan mereka.

2. Kebersihan Diri

Anda juga mestilah membantu ibu bapa yang memerlukan bantuan dalam menjaga kebersihan diri. Jika ibu bapa menggunakan lampin pakai buang, pastikan lampin tersebut kerap ditukar, terutamanya apabila kotor.

3. Penjagaan Kesihatan dan Ubat-ubatan

Penjagaan kesihatan ibu bapa yang uzur melibatkan beberapa aspek penting seperti berikut: 

  • Anda perlu memantau dengan teliti pengambilan ubat-ubatan ibu bapa untuk mengelakkan kekeliruan dos yang mungkin berlaku. 
  • Pengetahuan tentang tanda-tanda penting seperti tekanan darah, nadi, suhu badan, dan tahap oksigen dalam badan juga diperlukan. 
  • Anda harus mengambil tindakan segera untuk mencari bantuan perubatan jika tanda-tanda penting ini dilihat tidak normal. 
  • Libatkan ibu bapa dalam aktiviti riadah dan sosial untuk menjaga kesihatan mental mereka, contohnya seperti membawa mereka ke taman rekreasi atau berjumpa saudara-mara.

Cara untuk Berhadapan dengan Ibu Bapa yang Pasif dan Tidak Mahu Beri Kerjasama

Kami ada meminta pendapatan Dr. Fajrina Hamid kerana perkara sebegini pasti akan terjadi dan membuatkan si anak buntu dan tidak tahu untuk buat apa-apa. 

1. Anda Boleh Membawa Ibu Bapa untuk Mendapatkan Bantuan Profesional 

Bawa ibu bapa anda berjumpa dengan ahli terapi atau doktor adalah langkah awal yang baik. Mereka dapat memberikan nasihat yang tepat dan merangka rawatan yang sesuai dengan keperluan ibu bapa.

2. Fahami Perspektif dan Kebimbangan Ibu Bapa

Anda boleh mengambil pendekatan yang berempati dapat membantu dalam membina hubungan yang baik dengan mereka. Mungkin mereka memerlukan penjelasan lanjut mengenai manfaat ubat atau perubahan gaya hidup yang disyorkan. Sekiranya ibu bapa masih enggan menerima nasihat atau rawatan, adalah baik untuk mencari bantuan dari ahli keluarga atau orang-orang terdekat. Sokongan dari ahli keluarga boleh menjadi penting dalam membina keyakinan dan mempengaruhi perubahan positif.

Diharapkan perkongsiannya ini bermanfaat kepada anda semua.  Menjaga ibu bapa yang uzur dan sakit semenangnya memerlukan perhatian, kesabaran, dan kasih sayang yang berterusan. Ia adalah tanggungjawab yang mulia dan memerlukan pendekatan holistik yang merangkumi aspek fizikal, emosi, dan sosial mereka.