Perih Jerih Penghijrahan dan 8 Tip Kekal Istiqamah Khusus untuk Wanita

Ayu Nadirah

7/1/2024

Bertepatan dengan sambutan Awal Muharam atau tahun baru Hijrah, umat Islam pasti akan diingatkan tentang penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Makkah ke Madinah. Peristiwa ini telah membuahkan hikmah yang amat besar yang menyaksikan kaum Muhajirin dan Ansar disatukan, selain berkembangnya umat Islam yang terus tersebar ke seluruh pelosok dunia sehingga ke hari ini. Selepas berlakunya peristiwa hijrah, takwim Islam mula diperkenalkan dan Muharam menjadi bulan pertama dalam kalendar Hijrah.

Perih_Jerih_Penghijrahan_&_Tip_Kekal_Istiqamah_Khusus_untuk_Wanita.png

Perih Jerih Sebuah Penghijrahan

Mengimbau kembali segala kepayahan yang ditempuh Nabi SAW dan para sahabat untuk menggapai kemenangan dalam peperangan dan berhijrah, umat Islam tidak patut memandang ringan akan nikmat Islam. Pelbagai ujian yang ditempuh oleh Nabi SAW dan sahabat, Abu Bakar al-Siddiq RA sewaktu penghijrahan ke kota Madinah. Baginda sehingga terpaksa bersembunyi di dalam gua supaya dirinya tidak dapat dijejaki oleh kaum Musyrikin pada waktu itu. Kaum Musyrikin Makkah merancang untuk membunuh Nabi SAW yang menyebabkan Allah SWT memerintahkan baginda untuk keluar meninggalkan tanah airnya.

Sirah hijrah ini menguatkan lagi keimanan umat Islam dalam melawan segala godaan dan cabaran dalam menjadi seorang Muslim yang lebih baik. Setiap penghijrahan menuntut seorang Mukmim untuk bersabar dan sentiasa meminta kekuatan daripada Allah. Perjalanan hijrah Nabi SAW yang penuh liku ini membuktikan ketaatan kepada Allah, walupun baginda dan umat Islam terpaksa meninggalkan keluarga dan harta benda. Sesungguhnya, orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam telah dijanjikan Allah akan rahmat dan keampunanNya.

Semangat hijrah Nabi SAW wajar dijadikan contoh untuk kehidupan masa kini. Paling mudah adalah hijrah yang berkait dengan diri sendiri. Bagaimana untuk berhijrah dalam melawan hawa nafsu, seterusnya berubah menjadi seorang yang lebih taat kepada Allah dalam kehidupan seharian. Apatah lagi berada di akhir zaman, pastinya ujian untuk ke arah redha Allah itu lebih payah dengan adanya bermacam pengaruh dan godaan sekitar. Tepuk dada, tanya hati dan iman anda! Adakah anda ingin terus lalai dengan dunia atau mahukan ganjaran nikmat syurga yang jauh lebih indah?

Penghijrahan di zaman moden ini ada masanya dianggap asing bagi sesetengah orang. Namun hakikatnya, kembali kepada fitrah dan ajaran Islam yang sebenar itulah yang sepatutnya menjadi kebiasaan buat semua yang mengakui bahawa "Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah."

Perih_Jerih_Penghijrahan_&_Tip_Kekal_Istiqamah_Khusus_untuk_Wanita_2.png

Bagaimana untuk Kekal Istiqamah di Jalan Allah?

Hijrah itu mungkin tampak mudah, namun untuk kekal istiqamah itu paling mencabar. Jadi, apakah cara yang boleh anda lakukan untuk berhijrah dan kekal istiqamah di jalan yang benar, terutamanya buat kaum hawa?

Pertama, mulakan penghijrahan dan amalan secara berperingkat dan bukannya secara mendadak yang mungkin akan terasa beban. Boleh mulakan dengan membaca al-Quran dalam bilangan muka surat yang sedikit dahulu namun berterusan. Begitu juga dengan solat sunat, anda boleh amalkan solat sunat taubat terlebih dahulu dan lakukan secara berterusan sehingga ia menjadi suatu rutin dalam kehidupan harian anda.

Kedua, sentiasa bergaul dan dekatkan diri anda dengan sahabat yang suka melakukan amalan yang mendekatkan diri dengan Allah. Berteman dengan mereka yang baik amat penting dalam proses penghijrahan kerana mereka inilah yang akan sentiasa mengingatkan anda dan mengajak ke arah kebaikan.

Ketiga, amalkan doa untuk meningkatkan iman dan kekal istiqamah. Sesungguhnya hidayah dan kekuatan dalam perjalanan hijrah adalah milik Allah. Rasulullah SAW sendiri selalu amalkan doa seperti yang diriwayatkan dalam hadis, daripada Shahar bin Haushab RA: "Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu," Hadis Riwayat al-Tirmizi.

Keempat, anda perlu sentiasa melakukan solat sunat taubat. Minta keampuanan daripada Allah dengan penuh keikhlasan dan keyakinan. Apabila anda telah melazimi taubat, maka hati dan tubuh akan terasa lebih mudah untuk istiqamah dalam kebaikan.

Kelima, jangan sesekali meninggalkan solat fardu. Sesibuk apapun anda, ambil juga masa untuk menunaikan solat fardu pada awal waktu. Gunakan masa ini untuk bersama Pencipta dan memohon apa sahaja yang anda mahukan. Semoga dengan menjaga kewajipan ini, anda boleh melatih diri anda untuk lebih berdisiplin dalam menjalankan amal soleh yang lain.

Keenam, jangan segan untuk melakukan sekecil-kecil kebaikan seperti sedekah dan menghulurkan bantuan kepada yang mereka yang memerlukan. Jika ada kesempatan untuk melakukan sebarang kebaikan, terus lakukan tanpa berfikir panjang.

Ketujuh, khusus untuk kaum wanita yang mahu kekal menutup aurat dengan sempurna, tetapkan pemikiran anda bahawa anda menutup aurat kerana Allah dan bukannya sebab orang atau keinginan berfesyen. Sekiranya anda masih mempunyai baju yang seksi, boleh dibuang atau hanya pakai di rumah sewaktu bersama dengan suami. Ingatlah, sebaik-baik wanita adalah wanita yang menjaga kehormatan diri daripada menjadi fitnah.

Akhir sekali, isi masa lapang anda dengan menyertai majlis-majlis ilmu. Banyak kelebihan yang hadir bersama orang yang gemar ke majlis ilmu, antaranya mandapat rahmat Allah dan perlindungan daripada para malaikat. Majlis ilmu juga bertindak sebagai peringatan buat diri untuk sentiasa menjaga perintah dan meninggalkan larangan Allah dengan baik.

Ayuh jadikan bulan Muharam ini sebagai titik tolak kepada perubahan baru dalam diri anda. Cuba dalami keindahan Islam dengan lebih dekat. Belajar untuk lebih khusyuk dalam solat, membaca al-Quran dengan hukum tajwid yang betul, berpakaian menutup aurat dengan sempurna dan sebagainya, yang membolehkan anda terasa lebih dekat dengan Sang Pencipta.

BACA: Berwangi-wangian Mengikut Gaya Rasulullah SAW