Pandangan Mata Jahat & Takjub Punca Penyakit Ain

Ayu Nadirah

4/16/2025

Penyakit ain sememangnya wujud dan boleh memberi mudarat kepada diri yang terkena. Pandangan mata dengan rasa hasad dan takjub, keduanya boleh membawa kepada ain. Sebagai manusia, anda perlu sentiasa berbalik dengan memuji kebesaran Allah dan jangan mempunyai perasaan buruk terhadap manusia lain, mahupun keterlaluan dalam memuji seseorang.

Pandangan Mata Jahat & Takjub Punca Penyakit Ain .png

Penyakit ain adalah disebabkan oleh pandangan mata hasad dan disertai dengan sifat iri yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya. Selain itu, ain juga boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada rasa iri dan hasad, boleh juga terjadi walaupun daripada orang yang mencintai dan juga daripada orang yang soleh (tanpa disengajakan).

Kami berkesempatan bertanyakan kepada Pembantu Pegawai Agama Ustaz Wadi Anuar mengenai isu penyakit ain ini. Berikut adalah pandangannya dan apa yang boleh menjadi amalan sebagai pendinding diri daripada tempias ain.

Adakah orang dewasa juga boleh terkena penyakit ain, selain bayi atau kanak-kanak?
Umum perlu tahu yang penyakit ini memang wujud. Terdapat hadis Rasulullah SAW yang mengatakan ain itu memang nyata, betul. Penyakit ain boleh terkena kepada sesiapa sahaja.

Apakah yang menyebabkan seseorang boleh terkena penyakit ain?
Anda perlu faham ain ini adalah mata. Mata memandang orang lain dengan pandangan dengki dan benci. Contohnya, seseorang memandang nikmat yang Allah beri kepada orang lain dengan perasaan benci atau rasa tidak puas hati dengannya. Sebab itu Nabi SAW mengajar umatnya supaya jangan terlalu berkongsi nikmat dan kebahagiaan kepada orang lain. Tidak semua orang melihat dengan mata yang baik, ada yang melihat dengan mata yang jahat.

Bolehkah seseorang terkena ain daripada diri sendiri, seperti ada perasaan kagum terhadap diri sendiri?
Penyakit ain juga boleh terkena kepada diri sendiri. Seperti anda rasa kagum dengan kelebihan diri. Jadi macam mana cara untuk tidak terkena tempias ain kepada diri sendiri atau orang lain? Pertama, apabila anda melihat nikmat dan kelebihan yang Allah beri kepada orang lain, pujilah dengan masyaallah dan iringi dengan doa yang baik.

Begitu juga kepada diri sendiri, apabila Allah kurniakan nikmat dan kelebihan, maka sertakan pujian kepada Allah seperti alhamdulillah, semuanya datang daripada Allah. Perbuatan ini dapat mengelakkan daripada berlakunya penyakit ain.

Apakah tanda seseorang terkena penyakit ain?
Antara tanda-tanda penyakit ain adalah tiba-tiba seseorang itu terasa lesu, tiada mood dan mengalami gangguan tidur. Ada masanya semua itu anda sendiri tidak pasti adakah ia disebabkan oleh ain ataupun tidak. Tetapi anda boleh meminta perlindungan daripada Allah.

Penyakit ain ini sangat bahaya sehinggakan ia boleh juga membawa kepada kematian. Ia tidak seperti sihir atau saka yang boleh dikesan melalui tanda-tanda yang jelas. Tetapi penyakit ain daripada mata yang jahat ini sukar untuk dikesan.

Bagaimana untuk melindungi diri daripada penyakit ain?
Antara doa yang diajar Rasulullah SAW sebagai benteng kepada penyakit ain adalah seperti berikut:

أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah Yang Maha Sempurna daripada syaitan, binatang berbisa dan mata yang dengki.”

Sebab apa disebutkan syaitan adalah kerana masalah ini datang daripada syaitan yang menghasut seseorang untuk memandang nikmat yang Allah beri kepada orang lain dengan penuh perasaan dengki. Perlulah memohon supaya Allah sentiasa melindungi diri daripada perbuatan syaitan yang memudaratkan.