Misi Kemanusiaan Gerak Tanpa Henti - Global Peace Mission Malaysia

Nurul Atikah Sarji

6/19/2025

IMG_9275.jpgDalam dunia yang penuh konflik, bencana dan penderitaan, masih ada segelintir insan yang tidak gentar untuk terus membantu. Salah seorang daripadanya adalah Syahrir Azfar Bin Saleh yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

Dalam satu sesi wawancara ikhlas.com bersamanya, tersingkap kisah perjuangan sebuah organisasi kemanusiaan yang bergerak tanpa henti, merentasi benua, budaya, risiko nyawa, perih dan getir demi satu harapan: biar nyawa sendiri mendekati bahaya, asalkan ada nyawa lain boleh diselamatkan.

GPM Malaysia diasaskan pada tahun 2001 sebagai tindak balas terhadap tragedi serangan 11 September 2001. Sekumpulan aktivis dan rakyat Malaysia yang prihatin merasakan perlunya satu entiti yang mampu menghulurkan bantuan bagi yang memerlukan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Maka lahirlah GPM sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi fokus kepada bantuan kemanusiaan tanpa mengira agama atau bangsa. Sejak itu, GPM telah berkembang dengan penglibatan dalam pelbagai misi kemanusiaan domestik dan antarabangsa. Kini, mereka bukan sahaja aktif di kawasan bencana tetapi juga terlibat dalam pembangunan komuniti dan advokasi kemanusiaan.

Operasi Kemanusiaan dari Malaysia ke Pelusuk Dunia

Sehingga kini, GPM telah menjalankan misi di lebih 23 buah negara, termasuk Palestin, Syria, Lubnan, Sudan, Afghanistan dan sebagainya. Operasi mereka tidak terhad kepada penghantaran barangan bantuan seperti makanan atau ubat-ubatan, tetapi turut merangkumi pembinaan sekolah, rumah perlindungan, klinik kesihatan, bantuan keperluan musim sejuk serta penempatan semula pelarian.

“Antara yang paling mencabar adalah misi ke Gaza, Palestin, di mana keperluan bantuan sangat mendesak, tetapi laluan untuk masuk ke kawasan bergolak ini sangat terbatas. Logistik sangat sukar. Kadang-kadang terpaksa tunggu berminggu-minggu di sempadan Rafah sebelum dapat masuk”, jelas Syahir.

Sumber Dana

Bercakap mengenai sumber dana, Syahrir bersyukur kerana rakyat Malaysia sangat pemurah. GPM bergantung kepada sumbangan rakyat Malaysia iaitu daripada individu dan juga syarikat korporat. Menurutnya, sumbangan ini digunakan untuk pembelian barang keperluan, pengangkutan, kos operasi dan pembangunan infrastruktur kemanusiaan.

“Sokongan masyarakat amat luar biasa. Tanpa mereka, mustahil semua misi kami dapat dijalankan. Boleh dikatakan 80 ke 85 peratus dana datang daripada orang awam. Selain itu, antara agensi–agensi di Malaysia iaitu Puzat Zakat, Wisma Putra, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, ataupun agensi kerajaan. Syarikat korporat juga banyak yang menyumbang”, katanya. 

Namun, untuk memastikan kelangsungan operasi, kepercayaan adalah elemen yang sangat penting. “Dalam keadaan sekarang, untuk sentiasa sustain the funding, kami sangat memerlukan kepercayaan daripada orang awam dan pihak korporat. Juga daripada sesiapa saja yang bekerjasama dengan kami,” tambah Syahrir.  

Cabaran di Wilayah Bergolak: Antara Realiti & Harapan

Dalam misi kemanusiaan, cabaran bukan sekadar risiko keselamatan, tetapi juga emosi, fizikal dan logistik. Petugas GPM sering berhadapan dengan situasi menyayat hati, anak-anak yatim, mangsa keganasan, pelarian tanpa negara. Namun, mereka tetap tabah. 

Kata Syahrir, “Ada masanya, kami sendiri menangis. Tapi kami kena kuat, sebab mereka memerlukan kami.”

IMG_9251.jpg
Isu birokrasi dan peraturan sempadan juga menjadi halangan utama. Di beberapa negara, untuk masuk membawa bantuan memerlukan kelulusan kerajaan tempatan atau kerjasama NGO antarabangsa. “Pernah kami sampai di lapangan tetapi bantuan tidak dapat diagih kerana kekangan permit. Kita belajar untuk sentiasa ada pelan B,” tambahnya.

Dalam temubual ini, Syahrir turut berkongsi satu pengalaman hitam yang masih segar dalam ingatannya ketika menjalankan misi kemanusiaan di Aleppo, Syria, yang merupakan sebuah bandar yang pernah digelar antara paling berbahaya di dunia.

“Saya sendiri pernah berada di sana. Aleppo seperti kampung kedua saya selepas Malaysia. Kami pernah berada di sana ketika hujan bom. Satu insiden yang saya tidak boleh lupa adalah apabila kami sepatutnya merasmikan sebuah galeri seni di sebuah sekolah kanak-kanak. 

“Tetapi kami lewat keluar beberapa minit dari tempat penginapan. Ketika kami masih di rumah, pada jam sembilan pagi, tiba-tiba terdengar dentuman bom yang sangat kuat. Rumah kami bergegar. Beberapa minit kemudian, kami diberitahu bahawa sekolah yang kami mahu lawati telah dibedil roket. Sekolah itu musnah. Seramai 40 orang terkorban. 35 kanak-kanak dan 5 guru. Mereka sedang menunggu kehadiran kami.

“Kalau kami sampai awal, mungkin kami antara yang terkorban. Ia pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” katanya dengan nada sebak.

Insiden itu membuktikan bahawa kerja kemanusiaan bukan sekadar pengorbanan masa dan tenaga, tetapi juga nyawa. Malah, Syahrir sendiri pernah ditahan dan dipenjarakan kerana disyaki sebagai pengganas hanya kerana berada di kawasan konflik. 

Misi Seorang Diri: Daripada Bom ke Gempa Bumi

Syahrir turut mengimbas pengalaman semasa gempa bumi di Palu, Indonesia yang berlaku pada 2018 yang lalu. “GPM hantar saya seorang, dua ke tiga hari selepas kejadian. Tiada penerbangan, jadi saya menaiki bas lebih 24 jam untuk sampai. Komunikasi pula terputus. Orang nampak kerja ini macam best, tetapi sebenarnya banyak cabaran. Misi utama kami adalah melaksanakan amanah orang.”

Pencapaian GPM 

Antara pencapaian paling membanggakan GPM adalah penyertaan dalam konvoi ambulans terbesar di dunia yang direkodkan oleh World Record. Pada 2017, sebanyak 83 ambulans dihantar dari United Kindgom (UK) ke Syria, termasuk 10 buah dari Malaysia bersama 20 sukarelawan GPM yang terbang ke UK dan memandu sendiri dari UK ke Bulgaria sebelum diserahkan di sempadan untuk dimasukkan ke Syria.

GPM juga sentiasa berusaha untuk menghantar pelbagai bantuan barangan dari Malaysia melalui udara dan juga laut. Beberapa kontena telah berjaya dihantar ke Mesir dan kemudiannya masuk ke Gaza. 

Selepas tragedi 7 Oktober 2023, kebanyakan infrastruktur seperti kilang roti, pusat tenaga air dan sekolah yang dibina GPM di Gaza musnah akibat pengeboman. Kini, fokus utama mereka adalah misi bantuan kecemasan seperti makanan, air, mesin perubatan dan sokongan segera kepada mangsa.

Namun begitu, tidak semua bantuan berjaya dihantar. “Ada juga yang tidak berjaya masuk,” kata Syahrir. Dalam situasi sebegini, GPM terpaksa menyewa gudang untuk menyimpan pelbagai barangan sementara menunggu peluang menghantar masuk. Sekiranya ada lori yang boleh ditumpang, mereka akan menghantar barang melalui laluan tersebut. Tetapi itu pun suatu cabaran kerana tiada jaminan barang akan sampai. 

Disebabkan sekatan dan penutupan sempadan, GPM kini lebih banyak mendapatkan bekalan dari dalam Gaza sendiri. Ini menjadikan kos barangan meningkat berlipat kali ganda, bahkan boleh mencecah sehigga 30 kali ganda. Ini berlaku kerana barang dagangan yang biasa masuk dari luar tidak dapat memasuki Gaza, menjadikan bekalan sangat berkurangan. Biarpun begitu, GPM tetap berusaha memastikan bantuan sampai, walaupun hanya 10 hingga 15 peratus. “Asalkan benda itu sampai. Jalan saja. Kami kena pastikan barang itu ada,” tegas Syahrir.

Ada juga waktu di mana mereka menghantar barangan dari Malaysia dan perlu disimpan sehingga sempadan dibuka. Ada laluan lebih murah, tetapi tidak terjamin selamat atau cepat. Tambahan pula, barang yang melalui Israel akan disaring dan kadangkala tertahan berbulan-bulan lamanya.

Disebabkan cabaran besar ini, GPM sangat bergantung kepada rangkaian kerjasama dengan NGO tempatan di Gaza serta agensi antarabangsa seperti UNRWA dan Bulan Sabit Merah.  Mereka berperanan sebagai pelaksana bantuan dan penyampai maklumat dari dalam. 

IMG_9250.jpg
Selain itu, GPM menganjurkan Himpunan Solidariti Palestin di Axiata Arena yang dihadiri oleh Perdana Menteri dan pelbagai pemimpin. Mereka juga aktif dalam aktiviti advokasi melalui media sosial, media arus perdana, serta demonstrasi di hadapan Kedutaan UK dan AS. Tambahan lagi, dalam situasi krisis, tenaga manusia yang terlatih amat terhad. Sukarelawan perlu digerakkan dengan cepat, tetapi tidak semua bersedia daripada segi mental dan fizikal. Oleh itu, GPM memberi tumpuan kepada latihan menyeluruh termasuklah daripada aspek keselamatan, pengurusan emosi, hinggalah kepada diplomasi lapangan dan prosedur kecemasan.

Kesihatan Mental Aktivis: Luka Tidak Nampak di Medan Misi

Bersama kesungguhan untuk membantu, datang juga harga emosi yang perlu dibayar oleh para petugas kemanusiaan. Dalam dunia yang penuh penderitaan,  melihat anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa, individu tanpa anggota badan, dan pelarian yang hidup tanpa tempat berlindung, sudah tentu beban mental menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Realitinya, Syahrir sendiri pernah didiagnosis dengan Major Depressive Disorder (MDD) beberapa tahun lalu. 

"Saya mula aktif sejak 2011, dan pada 2012 saya banyak keluar ke Syria dan sebagainya. Bila balik, tidur pun susah. Setiap malam terjaga. Ada tempat tertentu boleh trigger emosi saya," kongsinya dengan jujur.

Pendedahan berterusan kepada trauma di lapangan akhirnya memberi kesan besar kepada kesihatan mental. Namun, dengan kesedaran itu juga datang tindakan. Syahrir dan GPM mula mewujudkan pendekatan sistematik untuk menangani isu kesihatan mental dalam kalangan kakitangan mereka.

“Kami buat DASS (Depression, Anxiety and Stress Scale) assessment untuk kenal pasti tanda-tanda awal kemurungan. Kalau perlu, kami akan bawa mereka jumpa kaunselor atau pakar psikiatri,” jelas Syahrir.

Langkah pencegahan termasuklah mewajibkan sesi debriefing selepas kembali dari misi di luar negara. Ini memberi ruang kepada para petugas meluahkan tekanan dan berkongsi pengalaman yang dialami, termasuk insiden diganggu di lapangan terbang, diugut di negara bergolak, atau berhadapan dengan pelbagai situasi mencemaskan yang mengancam nyawa.

Antara perkara paling mencabar adalah terpaksa meninggalkan keluarga. Ada misi yang mengambil masa dua hingga tiga minggu. Anak-anak yang masih kecil terpaksa ditinggalkan kepada isteri atau pasangan. “Bagaimana nak compensate keluarga yang ditinggalkan?” soalnya. 

GPM sedar akan perkara ini dan mengambil langkah proaktif dengan menjaga komunikasi rapat antara pejabat dan keluarga petugas.

“Kalau ada ahli keluarga staf yang mengalami kemalangan atau sakit, kami yang sampai dahulu ke hospital sebelum keluarga mereka. Kami mahu pastikan semua orang dijaga, yang di lapangan dan juga yang di rumah,” ujarnya lagi.

Pendekatan Kerohanian & Komuniti

Bagi GPM, sokongan emosi tidak hanya datang daripada kaunseling profesional tetapi juga pendekatan kerohanian. Setiap pagi, semua staf di ibu pejabat GPM akan membaca al-Quran bersama dan berkongsi hadis. Pada hari Jumaat, mereka membaca Surah al-Kahfi secara berjemaah. “Ini sebahagian daripada proses healing dalaman. Apabila hati kuat, insyaAllah semangat pun kuat,” kata Syahrir.

Selain itu, mereka juga sesekali membawa staf makan di luar, memberi ruang untuk melepaskan lelah daripada tekanan rutin misi. Jika ada petugas yang menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau prestasi menurun, Jabatan Sumber Manusia (HR) akan campur tangan dan merujuk mereka kepada kaunselor profesional. Kaunselor pula akan memberi maklum balas untuk mengenal pasti jika masalah tersebut berpunca daripada tekanan kerja, trauma peribadi, atau faktor lain.

GPM.pngGPM (2).pngGPM (3).pngSemoga kisah ini menggariskan satu hakikat penting, iaitu kerja kemanusiaan bukan sekadar tentang memberi bantuan, tetapi juga tentang keberanian untuk terus peduli walaupun nyawa di hujung bahaya, demi menyelamatkan nyawa yang lain. Dalam dunia yang penuh konflik dan ketidaktentuan, kehadiran insan seperti Syahrir dan pasukannya di GPM adalah sinar harapan yang sentiasa menyala buat masyarakat Malaysia dan juga global.