Mendidikan Anak Ikut Sunnah Rasulullah SAW
Yantie Basharudin
1/1/1970

Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas dalam membina perwatakan, oleh itu kajian sosial berterusan dilakukan bagi mengenal pasti bentuk didikan yang terbaik buat kanak-kanak.
Permulaan sesuatu menunjukkan kepada tujuan penghujungnya, ini bermaksud bahawa setiap langkah yang diambil pasti mempunyai tujuannya, sama ada berbentuk suatu destinasi atau waktu, atau juga suatu keadaan atau suasana. Maka dalam menentukan bentuk didikan anak-anak, adalah ke atas ibu bapanya atau pengasuhnya untuk menentukan apakah tujuan akhir yang diinginkan buat anak itu. Barulah kemudiannya dapat ditentukan jalan manakah yang paling sesuai bagi mencapai tujuan akhirnya itu.
Telah menjadi sifat sebagai umat Islam, contoh teladan yang terbaik ialah Rasul junjungan yang mulia, Nabi Muhammad SAW. Kebaikan Baginda terhadap kanak-kanak membuatkan mereka sangat suka dan sayang kepada Rasulullah SAW. Justeru itu, terdapat beberapa tahap mendidik anak mengikut cara Rasulullah dan boleh dijadikan rutin kehidupan.
Kebaikan Baginda terhadap kanak-kanak membuatkan mereka sangat suka dan sayang kepada Rasulullah SAW. Justeru itu, terdapat beberapa tahap mendidik anak mengikut cara Rasulullah dan boleh dijadikan rutin kehidupan.
Kami sertakan senarai semak empat peringkat yang sesuai diamalkan pada zaman kini untuk dijadikan panduan dan ikhtibar dalam mendidik anak-anak. Mengikut sunnah Rasullah SAW seperti berikut:
1. Anak-anak berumur 0-6 tahun
Pada masa ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak terbatas. Berikan mereka kasih sayang yang sama rata dan bersikap adil terhadap setiap anak-anak.Umur ini tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.
Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita menjadi sebahagian daripada semasa mereka membesar yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik. Anak-anak berasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang anda (ibu bapa) selalu ada disisi mereka setiap masa.
2. Anak-anak umur 7-14 tahun
Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak. Menurut Hadis Abu Daud,
“Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.”
Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara yang dilakukan terutamanya dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam.
3. Anak-anak umur 15-21 tahun
Inilah fasa remaja yang penuh dengan sikap memberontak. Pada tahap ini, ibu bapa seeloknya lebih mendekati anak-anak dan berkawan dengan mereka. Banyakkan berbual, meluangkan masa dan berbincang dengan mereka mengenai perkara yang mereka hadapi. Misalnya, jika anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka mengenai kisah kedatangan ‘haid’ dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka.
Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka. Kesannya, tiada orang ketiga atau ‘asing’ akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka. Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokan memandangkan semua kebahagian dan keseronokan telah ada di rumah bersama keluarga.
4. Anak berumur 21 tahun dan ke atas
Fasa ini adalah masa ibu bapa untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak dengan memberi kebebasan dalam membuat keputusan mereka sendiri. Ibu bapa hanya perlu pantau, menasihati dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul. Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di luar rumah.
Tanggungjawab yang dipikul ibu bapa bukanlah sesuai yang boleh dipandang mudah, ianya boleh menjadi sesuatu yang membawa kepada keredhaan Allah SWT serta syurgaNya dan juga kepada murkaNya dan nerakaNya. Oleh itu sehendaknya golongan ibu bapa bermuhasabah secara mendalam berkenaan pendidikan anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa itu mengambil serius perkara ini dan memberikan perhatian yang sewajarnya maka itu tiada membawa kepada kebimbangan. Hanya sahaja bahawa dinasihatkan agar berlaku bijak dan lembut bagi mencerminkan kasih sayang kepada anak-anak.
Pancapaian anak-anak tidak dapat dielakkan daripada dianggap sebagai pencapaian ibu bapanya, begitu juga kegagalan seseorang anak tersebut. Akibat itu, berlakunya situasi di mana ibu bapa menjadi terlalu mengongkong kehidupan anak mereka sehingga menyebabkan komplikasi lain. Ibu bapa sewajarnya sedar bahawa sekalipun kejayaan anak itu adalah hasil usaha mereka dalam membesarkan anak, tetapi mereka juga bawah aturan takdir kehidupan mereka sendiri. Tiada yang yang berlaku melainkan ianya sudah ditakdirkan oleh Allah SWT dan segalanya itu hanyalah ujian untuk menghasilkan ketakwaan dalam diri kita.
Ada pula golongan ibu bapa yang tidak mengambil serius pendidikan anak-anak, sebaliknya mengabaikan perkembangan mereka. Perihal yang sedemikian ini amat membimbangkan kerana anak-anak itu merupakan masa depan keluarga, masyarakat dan negara. Sekiranya dibiarkan berterusan maka diragukan bahawa masa depan kita adalah baik seperti yang diharapkan. Dari sudut inilah ahli keluarga yang lain, kawan-kawan dan juga jiran tetangga harus renungkan dan menawarkan bantuan untuk bersama memelihara perkembangan anak-anak.
Semoga dengan langkah yang diambil ini dapat membawa kita semua bersama ke arah masa depan yang lebih cerah, di mana setiap insan dapat merasakan kenikmatan hidup bermasyarakat yang bersatu hati dalam kesenangan dan kesusahan yang diharungi.
Baca pula artikel Didikan Awal Anak Cara Islam