Majlis Perkahwinan Masa Kini: Dilema Trend & Kefahaman Agama, Mana Satu Menjadi Keutamaan?

Ayu Nadirah

8/5/2024

Kebelakangan ini masyarakat kian dikejutkan dengan amalan yang bercanggah dengan syarak pada majlis pernikahan, seolah ia menjadi trend masa kini dan telah mencalarkan kesucian ibadah itu sendiri. Mungkin ramai bakal raja sehari mahukan majlis perkahwinan yang glamor dan meriah untuk dikenang seumur hidup. Namun, pernahkah anda terfikir akan ajaran Islam sebenar yang menggalakkan kesederhanaan dalam pernikahan?

Majlis_Perkahwinan_Masa_Kini_Dilema_Trend_&_Kefahaman_Agama_Mana_Satu_Menjadi_Keutamaan.png

Pernikahan adalah suatu bentuk ibadah yang wajib umat Islam menjaga kesuciannya. Jangan sesekali cemarkan majlis dengan melakukan perkara yang tidak sejajar dengan agama, seterusnya boleh mengundang kemurkaan Allah. Berpandukan kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor, di sini kami kongsikan garis panduan khusus buat bakal pengantin dalam mengadakan majlis akad nikah dan walimatul urus yang selaras dengan ajaran al-Quran serta al-Sunah. 

Akad nikah

Akad nikah adalah suatu bentuk ibadah dalam Islam. Dicadangkan agar majlis berlangsung di tempat yang elok dan sebaiknya dihadiri orang-orang soleh untuk menyaksikannya. Sebaik-baiknya wali sendiri yang mengakadkan pernikahan. Setelah itu, doa hendaklah dibaca dan diaminkan bagi memohon keberkatan dan kebahagiaan pasangan pengantin.

Sunat untuk kedua pengantin mendirikan solat sunat al-zawaj (perkahwinan) dua rakaat selepas berlangsungnya akad nikah. Sunat juga untuk suami meletakkan tangan kanan di ubun-ubun isteri sambil berdoa. Untuk pengetahuan anda, adat membatalkan air sembahyang selepas akad nikah tiada dalam Islam. 

Pemberian mahar

Mahar atau mas kahwin adalah pemberian wajib bagi suami kepada isteri dengan sebab perkahwinan. Mahar yang terlalu tinggi sehingga membebankan pihak lelaki adalah bertentangan dengan hikmah perkahwinan dalam Islam.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik mahar adalah yang lebih rendah.” Hadis Riwayat Abu Daud

Barang hantaran

Barang hantaran adalah hadiah daripada kedua-dua belah pihak pengantin yang diharuskan oleh syarak. Ia mesti diberi dengan niat yang ikhlas, tanpa rasa riak dan berlebih-lebihan. Tepak sirih atau sirih junjung adalah adat semata-mata. Hukumnya harus dengan syarat tidak bercanggah dengan akidah dan syariat.

Pemberian seperti al-Quran, sejadah dan telekung adalah contoh terbaik. Ia membantu pasangan untuk mengingati Allah SWT. Jumlah barang hantaran adalah mengikut kemampuan. Ia tidak terikat kepada bilangan ganjil, contohnya lelaki lima dan perempuan tujuh, seperti yang menjadi amalan kebiasaan dalam masyarakat Melayu.

Majlis_Perkahwinan_Masa_Kini_Dilema_Trend_&_Kefahaman_Agama_Mana_Satu_Menjadi_Keutamaan_2.png

Walimatul urus

Hukum melakukan walimatul urus adalah sunat muakkad seperti sabda Rasulullah SAW: "Berwalimahlah walaupun dengan menyembelih seekor kambing."

Majlis jamuan ini dilakukan bertujuan untuk meraikan pengantin dan tetamu yang diundang. Ia juga sebagai simbolik rasa syukur atas berlangsungnya pernikahan tersebut. Majlis hendaklah dilakukan dalam kadar kemampuan dan tidak berlebihan dengan tujuan ingin menunjuk-nunjuk. Segala persiapan seperti busana pengantin, lokasi, kad jemputan, cenderahati dan makanan mestilah sederhana serta tidak lari daripada perkara yang dibenarkan syarak.

Majlis persandingan

Persandingan adalah upacara yang berlangsung dalam adat masyarakat Melayu. Ia hanyalah sunat untuk dilakukan bagi memperkenal pengantin kepada ahli keluarga yang mahram sahaja. Dalam Islam, majlis persandingan boleh dilakukan sekiranya ia bukan bertujuan untuk dipertontonkan kepada orang ramai, selain perlu menutup aurat dengan baik dan tiada unsur maksiat yang berlaku.

Sewaktu bersanding juga, sudah menjadi kebiasaan untuk melakukan upacara merenjis. Perkara ini boleh dibuat bagi membuahkan kemesraan sesama ahli keluarga yang mahram sahaja. Namun, upacara menepung tawar adalah diharamkan kerana ia membawa kepada syirik.

Persembahan dan hiburan

Upacara seperti paluan kompang, nasyid dan seni silat adalah diharuskan selagi ia tidak bercanggah dengan syariat Islam. Hiburan yang melalaikan seperti nyanyian dan tarian adalah haram hukumnya. Sebaiknya, mainkan bacaan selawat sewaktu menyambut ketibaan raja sehari demi mendapatkan keberkatan.

Khatam al-Quran dan berzanji

Majlis ini harus dilakukan kerana ia merupakan sebuah ibadah yang mampu menerbitkan kecintaan kepada agama dalam keluarga. Adakan majlis dengan penuh tertib dan menjaga adab secara tertutup.

Pakaian pengantin

Pakaian kedua-dua pengantin hendaklah menutup aurat dengan sempurna yang bersesuaian dengan kehendak syarak iaitu tidak ketat, singkat dan jarang.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 59:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Perhiasan diri

Islam tidak melarang berhias supaya terlihat cantik, dengan syarat berhias itu hanyalah untuk suami dan bukan untuk tontonan umum. Pengantin pula hendaklah memilih jurusolek yang sama jantina dengannya. Solekan yang dikenakan adalah sekadar menaikkan seri wajah dan tidak berlebihan sehingga menjadi bualan ramai. 

Semoga dengan mengadakan majlis perkahwinan yang bertepatan dengan syariat Islam, pasangan mempelai dapat diraikan dan berbahagia dalam keredaan Allah SWT.