[Korban Tirai Besi] Sayang Seorang Kakak Sulung, Terpaksa Mengedar Dadah Demi Besarkan Adik-adik

Ayu Nadirah

5/30/2024

[Korban_Tirai_Besi]_Sayang_Seorang_Kakak_Sulung_Terpaksa_Mengedar_Dadah_Demi_Besarkan_Adik-adik.png

Sebuah kisah berputar dalam erti pengorbanan daripada tahanan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah telah kami kupas sebelum ini yang boleh anda baca di sini: [Korban Tirai Besi] Mahukan Pendapatan Lebih, Ketua Keluarga Termakan Janji Manis Dadah.

Untuk kisah terakhir bersama tahanan pemulihan ini, ikhlas.com membawakan pula cerita seorang wanita dan juga insan bergelar kakak yang sanggup bergadai nama dan maruah demi mengisi perut adik-adiknya. Suri Hani, 27 (bukan nama sebenar) terlihat begitu tabah. Tutur bicaranya yang matang seolah-olah menggambarkan betapa beratnya beban kehidupan yang pernah ditanggung di pundaknya. Dia sudah ditahan di sini selama lebih dua tahun dan bakal dibebaskan tahun hadapan.

Kasihnya Kakak Rela Mengambil Alih Tugas Ibu Bapa

Perit mendengarkan kisah Suri. Bayangkan di usia yang muda, dia terpaksa menggalas tugas seorang ibu dan juga bapa kepada empat adiknya. Apatah lagi tiada langsung bantuan yang mereka terima. Umpama terperangkap dalam dunia yang berbeza, mereka adik-beradik umpama terkapai-kapai sendirian untuk meneruskan kehidupan yang sukar. Ibu bapa mereka meringkuk dalam penjara dek kesalahan dadah. Entah kepada siapalah tempat untuk mengadu kesedihan, ketakutan dan mengharap belas kasihan.

Tanpa berfikir panjang, Suri tiada pilihan lain selain terlibat juga dengan pengedaran dadah. Wang yang diterima terus dia gunakan untuk membeli keperluan adik-adik dan juga persekolahan mereka. Baginya, biar hanya dia yang susah dan terpaksa berhenti sekolah, namun nasib yang sama tidak boleh terjadi kepada adik-adiknya.

"Saya ditahan di sini atas kesalahan mengedar dan menghisap dadah jenis syabu. Saya mula mengedar dadah sejak berusia 14 tahun lagi. Menghisap dadah pula pada usia 15 tahun. Semuanya atas desakan hidup. Ketika itu ayah dan mama berada dalam penjara, saya sebagai kakak sulung perlu menanggung keperluan adik-adik.

"Dadah adalah jalan terakhir bagi saya. Ada keberanian untuk mengedar dadah sebab saya tiada pilihan lain. Nak bekerja pula, tiada siapa mahu ambil saya kerana masih bawah umur. Kami hilang tempat bergantung dan saya jadi sangat tertekan. Ahli keluarga terdekat juga berada dalam penjara. Tiada sebarang komunikasi dengan mereka. Tiada siapa peduli soal kebajikan kami adik-beradik.

“Kehidupan saya sudah biasa dikelilingi dengan dadah. Jalan pintas ini yang saya terfikir untuk kami adik-beradik ketika itu. Saya mengedar pada orang sekitar, beranikan diri bertanya kepada orang-orang yang pernah mengambil dadah dengan keluarga saya sebelum ini. Pada awalnya, perlu mengemis juga untuk buat semua ini. Sekali mengedar, dapatlah juga dalam RM200 untuk saya beli makanan dan keperluan kami. Takut memang takut. Sebab sudah ada contoh yang meringkuk dalam penjara di depan mata. Tetapi apakan daya. Kami hanya nak survive pada waktu itu. Adik-adik terlalu kecil untuk berasa susah dan faham situasi yang berlaku. Menangis, berlapar, takut semuanya kami hadap sama-sama. Hanya Tuhan yang tahu,” jelas Suri dengan perasaan sebak mengingatkan kesusahan mereka.

Kehidupan Perlu Diteruskan

Kini biarpun Suri berjauhan dengan adik-adik tersayang, namun dia memanjatkan sepenuh kesyukuran kepada Allah kerana adiknya yang paling besar yang sudah menginjak usia 23 tahun boleh diharapkan. Dialah yang sekarang bekerja dan menjaga adik-adik lain, juga tiga orang anak Suri. Ibu tunggal muda ini sedikit sebanyak boleh menarik nafas lega. Biarpun hakikatnya, dia sangat tertekan sewaktu awal ditahan di pusat pemulihan akhlak ini. Fikiran sarat dengan pertanyaan apa yang akan terjadi kepada adik-adiknya di luar sana.

[Korban_Tirai_Besi]_Sayang_Seorang_Kakak_Sulung_Terpaksa_Mengedar_Dadah_Demi_Besarkan_Adik-adik_2.png

“Lama juga untuk saya serasi dengan keadaan sekarang. Berjauhan dengan keluarga, perlu bergaul dengan orang baru, semuanya janggal buat saya. Awalnya, adik-adik marah dengan tindakan tidak wajar saya. Namun saya cuba fahamkan mereka yang saya terdesak dan sanggup berkorban apa saja demi mereka. Ayah dan mama pun masih tak pasti bila akan dilepaskan.

“Saya bukanlah seorang yang pandai dalam bersosial. Sukar untuk saya bergaul dengan tahanan lain di sini. Namun masa berlalu, lama kelamaan, saya sudah terbuka untuk berkawan dengan mereka. Sebelum terlibat dengan dadah, sebenarnya saya adalah seorang pelajar yang aktif bersukan, lasak dan ceria. Selepas hadirnya dadah, saya mula berubah. Saya menjadi lebih pendiam dan suka menyendiri. Alhamdulillah, dengan program pemulihan di pusat ini, saya berjaya kembalikan diri saya yang dahulu. Fikiran saya lebih positif, saya kembali ceria dan dapat berkomunikasi baik dengan orang lain.

“Banyak ilmu yang saya peroleh di sini. Selain aktiviti kerohanian seperti solat dan mengaji al-Quran, saya juga terlibat dengan bengkel membuat pastri, biskut dan kek. Saya bekerja di situ. Ia adalah perkara yang paling saya suka lakukan di sini. Besar harapan saya untuk saya apply kemahiran pastri ini nanti apabila saya bebas kelak,” terang Suri lagi dengan penuh ceria.

Pengajaran Terbesar Membuahkan Kesan Mendalam

Wanita hebat ini menyimpan hasrat untuk tidak sesekali dekat dengan dadah lagi selepas ini. Cukuplah pengalaman pertama ini menjadi pengajaran terbesar dalam hidupnya. Setiap kali berkesempatan untuk berhubung dengan adik-adik, Suri tidak penat dalam mengingatkan mereka supaya jangan mengulangi kesilapan yang sama. Dia mahu berubah ke arah lebih baik dan adik-adik juga memberi sokongan yang padu buat kakak tercinta.

“Nasihat saya kepada kawan-kawan di luar sana, saya sendiri pernah merasa tertekan, saya yakin di luar sana pun ada yang mengalami masalah yang sama. Perasaan memberontak untuk dapatkan sesuatu yang lebih selesa, mengejar kemewahan. Selagi boleh, jangan sesekali dekat dengan benda terlarang ini. Jauhkanlah, kerana ia akan memakan diri suatu hari nanti. Kadang-kadang kita tak sedar yang kesannya bukan hanya pada diri kita sahaja, malah pada ahli keluarga kita. Walau susah macam mana pun, cubalah cari pekerjaan yang elok dan halal. Memang akan susah sedikit, tetapi itulah jalan yang terbaik. Tak perlu merasa hidup di tirai besi seperti saya,” nasihat Suri bagi mengakhiri perbualan ini.

Begitulah kehidupan. Ujian yang bertandang pasti akan memberi seribu satu pengajaran bermakna yang akan menjadi bekalan buat mengharungi sisa kehidupan mendatang. Ambil yang jernih dan buang yang keruh. Semoga kisah ini mampu membuka mata anda tentang bahayanya dadah buat diri, keluarga dan masyarakat. Kembalilah kepada Allah Yang Maha Besar. Hanya kepadaNya tempat bergantung harap dan mengadu nasib. Pada setiap kesulitan itu, telah Allah janjikan kemudahan. Berdoalah dan mengadulah hanya kepada Allah. Semoga akan muncul pertolongan yang tidak terduga oleh akal manusia.

Tonton video penuh temu bual di IKHLAS TV: