[Korban Tirai Besi] Mahukan Pendapatan Lebih, Ketua Keluarga Termakan Janji Manis Dadah

Ayu Nadirah

5/28/2024

Pengalaman saya sebagai penulis yang dibenarkan untuk memasuki kawasan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah menjadi suatu ingatan yang tidak dapat dilupakan. Biarpun sebelum ini saya pernah menjejakkan kaki ke penjara seperti Penjara Wanita Kajang dan Penjara Bentong untuk menemu bual banduan di sana, namun momen kali ini tetap membuahkan emosi yang berbeza dan penuh keinsafan.

Di Sebalik Tirai Besi

Masyarakat kerap kali dimomokkan dengan persepsi tentang penjara dan pusat tahanan adalah tempat yang menakutkan, tetapi ia tidak benar sama sekali. Dibawa masuk melawat sekitar pusat pemulihan, saya kagum dengan adanya pelbagai aktiviti yang boleh tahanan lakukan. Kiranya, masa mereka tidak akan terbuang sia-sia. Boleh membersihkan kawasan, memasak, menjahit dan sebagainya. Tidak dilupakan juga aktiviti kerohanian yang mampu menyedarkan semula tahanan akan fitrah seorang hamba yang sentiasa akan mencari jalan pulang ke Sang Pencipta.

[Korban_Tirai_Besi]_Mahukan_Pendapatan_Lebih_Ketua_Keluarga_Termakan_Janji_Manis_Dadah_2_(1).png

Untuk pengetahuan anda juga, mereka yang ditempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah ditahan atas kesalahan dadah, yang kebanyakannya terjatuh hukum kerana mengedar. Wawancara eksklusif ini diatur rapi bagi membolehkan kisah hidup tahanan bernama Mohd Akmal, 41 (bukan nama sebenar) dapat dikongsikan bersama pembaca. Kisah ini mengangkat pengorbanan insan yang diberi peluang oleh Allah untuk membuka lembaran hidup yang baru. Sewaktu pertemuan ini, Akmal telah menjalani tahanan selama kira-kira empat tahun. Raut wajahnya tenang dan bersahaja kala dituju dengan pelbagai soalan.

Pengaruh Rakan dan Desakan Hidup

Akmal ditahan di pusat pemulihan ini sejak tahun 2019 lagi. Pada awalnya, dia perlu menjalani hukuman di sini hanya untuk dua tahun. Namun atas faktor disiplin, waktunya di pusat kian bertambah sehingga sudah memasuki tahun keempat. Dia ditahan kerana mengedar dadah yang dilakukannya atas faktor kekangan wang ringgit.

[Korban_Tirai_Besi]_Mahukan_Pendapatan_Lebih_Ketua_Keluarga_Termakan_Janji_Manis_Dadah.png

“Dahulu saya banyak mengedar dadah jenis syabu, ecstasy dan ganja. Saya terlibat dengan dadah sejak tahun 2004 lagi. Mengguna dadah sejak masih belajar di kolej dan mula terjebak dengan pengedaran dadah sewaktu melangkah ke alam pekerjaan. Sebenarnya, saya sudah lali dengan keluar masuk penjara. Boleh dikatakan saya sudah 11 kali ditahan atas sebab dadah sebelum ini. Saya masih ingat yang saya pertama kali ditahan pada tahun 2008, selama setahun.

"Bukan tidak serik, tetapi hakikat desakan hidup yang memerlukan wang lebih telah menjadikan diri saya dikaburi dengan janji manis dadah. Selain itu, saya juga terpengaruh dengan faktor sekeliling dan rakan yang mengajak dan membuka peluang untuk mendapatkan duit lebih. Kos sara hidup yang tinggi boleh dikatakan menjadi punca saya mencari jalan mudah untuk dapatkan duit, biarpun pada waktu itu saya ada pekerjaan tetap.

Demand untuk dadah itu memang ada. Jika dahulu di tempat kerja lama saya, memang ada permintaan daripada orang setempat. Ramai juga pelajar kolej atau universiti yang mahukan dadah jenis syabu, konon dengan alasan mahukan tenaga lebih untuk berjaga malam. Lama kelamaan, aktiviti pengedaran ini telah dihidu oleh pihak berkuasa. Pada ketika itu, saya baru pulang dari negara seberang, selepas mengambil barang terlarang di sana. Sampai sahaja di Kulim, saya menunggu kawan saya dan pada ketika itulah saya ditangkap.

“Memang sukar untuk keluarga saya menerima khabar buruk ini. Namun ikatan kekeluargaan itu membantu mereka untuk berlembut hati dan reda dengan ketentuan. Malah keluarga saya juga melawat saya di sini empat kali dalam setahun, terutamanya pada musim perayaan. Kemudahan telefon juga disediakan di sini. Saya boleh menghubungi keluarga seminggu sekali dan video call sebulan sekali. Jadi terubatlah sedikit rindu,” jelas lelaki ini yang meninggalkan keluarga dan isteri jauh di kampung.

Program Pemulihan Bantu Berdamai dengan Masa Silam

Detik pertama melangkahkan kaki ke Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Akmal tidak menafikan yang dirinya berasa agak takut dan perasaan kecewa dengan diri sendiri mula membuak-buak. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, akhirnya dia sudah mampu menerima hakikat ini. Akmal semakin terbiasa dengan rutin harian di pusat pemulihan ini yang ternyata membantu dia untuk melupakan dadah. Dia juga telah dilantik sebagai pembantu ustaz, selain celik al-Quran dan biasa menjadi imam solat berjemaah di sini.

[Korban_Tirai_Besi]_Mahukan_Pendapatan_Lebih_Ketua_Keluarga_Termakan_Janji_Manis_Dadah_1.png

“Saya merasakan diri tidak berguna pada ketika itu. Namun setelah menjalani banyak program pemulihan di sini, saya mula dapat sesuaikan diri. Saya juga sedar yang diri saya makin berdisiplin. Jika dahulu, saya seorang yang suka mengambil mudah dalam semua perkara. Kini tidak lagi.

“Aktiviti harian seperti solat sunat duha, bacaan Yasin dan kelas fardu ain sedikit sebanyak telah mengubah hidup saya menjadi insan yang lebih baik. Pusat pemulihan juga akan datangkan penceramah undangan untuk memberikan ilmu buat kami, kira-kira empat kali dalam sebulan. Ada juga aktiviti kawad dan kemahiran. Tiadalah rasa bosan di sini. Tipulah jika pada awalnya jika saya katakan saya tidak teringat-ingat akan dadah. Tetapi masa berlalu dengan aktiviti bermanfaat di sini. Saya jadi lupa dengan kisah silam yang menjerat saya,” cerita Akmal dengan penuh bersemangat.

Berniat Meneruskan Bisnes Makanan bersama Isteri

Sewaktu ditanya akan hala tujunya selepas keluar dari pusat pemulihan, Akmal yang memiliki sijil diploma ini dengan tidak teragak terus menjawab yang dia mahu meneruskan perniagaan kedai makan yang pernah diusahakan dahulu. Kini isteri tercinta yang mengambil alih tanggungjawab itu. Besar harapan Akmal agar generasi muda tidak sesekali mencuba atau terlibat dengan dadah. Ia boleh membawa kerosakan teruk kepada diri, keluarga dan masyarakat. Biarlah pengalaman hidupnya ini menjadi iktibar buat semua.

Inilah pengorbanan seorang hamba Allah yang perlu dia hadapi demi menggapai cahaya di hujung lorong ujian. Cerita tahanan di pusat pemulihan tidak terhenti di sini. Ikhlas.com akan bawakan satu lagi kisah tahanan selepas ini yang mengupas korban kasih seorang kakak sulung yang cukup menginsafkan.

Tonton video penuh temu bual di IKHLAS TV: