Kebenaran di Sebalik 'Ipar Adalah Maut' Berdasarkan Sumber Hadis

Ayu Nadirah

6/26/2024

Medium media sosial sedang dibanjiri dengan klip dan komen daripada filem Indonesia terbaru, Ipar adalah Maut. Karya ini mengupas isu yang benar-benar berlaku dalam masyarakat, di mana ipar-duai tinggal bersama dalam satu bumbung yang akhirnya menjerumuskan mereka ke dalam lembah maksiat. Persoalannya, apakah hukum ipar-duai berlainan jantina tinggal serumah menurut Islam?

Kebenaran_di_Sebalik_Ipar_Adalah_Maut_Berdasarkan_Sumber_Hadis.png

Berpandukan sumber rujukan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum ipar-duai berlainan jantina yang tinggal sebumbung dalam ketiadaan mahram adalah dilarang oleh syarak. Perbuatan ini perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah. Antara hikmah kepada larangan ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga daripada timbulnya kerosakan besar pada waktu mendatang.

Namun, dibolehkan ipar-duai menumpang tidur dan bermalam dalam bilik berasingan, selagi adanya mahram di sisi ipar duai dan aman daripada fitnah. Mahram yang wajib ada ialah mahram dari pihak perempuan bukannya lelaki. 

Ipar Adalah Maut

Untuk pengetahuan anda, status antara ipar-duai adalah haram muaqqat, iaitu haram untuk dinikahi dalam tempoh waktu tertentu. Atas sebab itu, kedua-dua ipar-duai perlulah menjaga batas aurat dan adab pergaulan sesama mereka. Keduanya juga tidak dibenarkan berkhalwat (berdua-duaan) dan bersentuhan kulit. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:

«إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ» فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: «الحَمْوُ المَوْتُ»

Maksudnya: "Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda: Ipar adalah maut," Hadis Riwayat al-Bukhari (5232), Hadis Riwayat al-Muslim ( 2172).

Berpandukan hadis di atas, Nabi Muhammad SAW menegaskan ipar adalah maut (al-hamwu al-maut) yang membawa erti fitnah yang bakal muncul daripada ipar-duai adalah lebih besar bahayanya daripada orang lain. Maksud al-maut dalam hadis ini adalah kebinasaan dalam kehidupan, di mana ipar-duai lebih utama dilarang dan menjauhi khalwat. Perbuatan berdua-duaan antara ipar-duai berlainan jantina boleh membawa kepada fitnah dan kebarangkalian berlakunya perkara tidak baik dek terikut bisikan syaitan, seterusnya terjerumus dalam melakukan zina.

Sebaiknya, jauhilah perkara ini supaya tidak berlakunya musibah yang mampu menggugat kebahagiaan rumah tangga dan menggoyahkan pegangan agama kita.

BACA: [Tanya Ustaz] 3 Panduan Hubungan, Persepsi Dan Realiti Bila Berkahwin