Duit Raya Bukan Nafkah Wajib Suami!

Nurul Atikah Sarji

10/10/2024

_Template_images_for_blog_2.0_(46).png

Isu nafkah kepada isteri sering kali dibahaskan di dalam sosial media. Namun sebenarnya, masih ramai lagi yang tidak faham apa itu sebenarnya nafkah? 

Dalam perkahwinan, salah satu tanggungjawab utama seorang suami adalah memberi nafkah kepada isterinya. Tanggungjawab ini tidak hanya melibatkan pemberian wang, tetapi meliputi keperluan asas yang penting bagi kehidupan harian isteri. Berdasarkan pandangan ulama, nafkah yang wajib diberikan oleh seorang suami adalah nafkah asas yang memenuhi keperluan harian isteri mengikut kemampuannya. 

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, secara umumnya, nafkah yang wajib disediakan oleh suami meliputi beberapa perkara yang penting untuk kesejahteraan isteri yang telah disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu. Ini berlandaskan firman Allah SWT iaitu: 

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. (Surah al-Nisa’: 34)

Jadi, adakah duit raya merupakan nafkah yang perlu diberikan kepada isteri setiap kali hari raya? 

Satu prinsip yang penting dalam pemberian nafkah ialah nafkah harus diberikan mengikut kemampuan suami. Sesungguhnya, Islam tidak mewajibkan suami menyediakan lebih daripada yang mampu, namun suami perlu berusaha sedaya upaya untuk menunaikan tanggungjawab tersebut dengan adil. Jika suami mampu memberikan lebih daripada keperluan asas, ini sebenarnya merupakan satu kebaikan dalam kehidupan keluarga. 

Selain itu, menurut Seksyen 72, Kewajipan menanggung nafkah anak dalam Akta 303 - Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, ‘... adalah menjadi kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaanya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”

Kesimpulannya, nafkah yang wajib diberikan oleh seorang suami kepada isteri dalam perkahwinan adalah keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, dan kebersihan diri. Pemberian wang tunai atau "duit raya" bukanlah satu kewajipan dalam nafkah suami kepada isteri, melainkan hanya pemberian tambahan berdasarkan kemampuan dan kebaikan suami. Nafkah yang diberikan hendaklah mengikut kemampuan suami, dan tidak melebihi keperluan asas yang diwajibkan oleh agama. Prinsip keadilan dalam pemberian nafkah adalah penting, dan suami hanya diwajibkan memberikan yang mampu tanpa membebankan diri sendiri.