Didikan Awal Anak Cara Islam

Yantie Basharudin

5/1/2025

Didikan_Awal_Agama.jpg

Mendidik anak merupakan tanggungjawab besar buat ibu bapa dan keutamaannya adalah sangat besar tanpa soal. Ibu bapa umumnya berbelah bahagi tentang pendidikan dari sudut mana yang terlebih dahulu harus diutamakan berbanding yang lain.

Sebagai umat Islam yang menjadikan keredhaan Allah SWT sebagai tujuan kehidupan di dunia ini, maka tanpa soal didikan agama adalah yang paling awal dan terutama dahulu harus diberikan kepada anak. Sayang sekali, ada juga golongan yang merasakan didikan agama tidak penting buat anak mereka sekaligus menganggap bahawa didikan agama itu tidak akan menjaminkan kejayaan anak di masa depan.

Ini mungkin kerana apabila disebutkan ‘didikan agama’, umumnya membayangkan pengajian Al-Quran dan kelas fardhu ain. Sehingga membawa kepada dakwaan bahawa anak itu dipaksakan dengan didikan tersebut. Ketahuilah bahawa kefahaman ini wajib diperbetulkan, dan bukanlah ini yang dimaksudkan dengan didikan awal agama.

Sesungguhnya agama itu tidak dapat diterapkan ke dalam hati yang tiada kemanusiaan, maka didikan awal agama buat anak-anak adalah berbentuk:

  • Penerapan ihsan dan akhlak ke dalam jiwa mereka. Ihsan ertinya di sini adalah nilai-nilai murni kemanusiaan yang berbentuk perasaan, seperti kasih sayang, kesabaran dan kehormatan. Nilai-nilai ihsan itu semua kemudian akan diberikan berbentuk zahir melalui akhlak yakni tingkah laku.
  • Demi membina perwatakan anak, ibu bapa harus berhati-hati dalam apa yang dipamerkan kepada mereka khususnya kelakuan ibu bapa itu sendiri. Ini kerana anak-anak tidak belajar melalui apa yang dikatakan kepada mereka, tetapi melalui apa yang disaksikan oleh mereka.
  • Jangan juga terlalu mendedahkan anak-anak kepada teknologi moden seperti televisyen dan telefon pintar. Sekiranya fitnah melalui alat-alat itu boleh sampai kepada golongan dewasa, apatah lagi kepada anak-anak kecil seperti mereka.

"Bagi setiap 30 minit masa yang diluangkan oleh kanak-kanak melihat skrin, ia akan meningkatkan risiko masalah perkembangan pertuturan sebanyak 49 peratus." - Sumber, American Academy of Pediatric

Ringkasnya, didikan awal buat anak adalah membina perwatakan yang soleh, sesudah itu barulah anak itu bersedia untuk didikan pengajian Al-Quran dan fardhu ain serta yang lain lagi. Tiada tamadun, agama ataupun masyarakat yang menolak keperibadian yang murni dalam diri seseorang.