Bolehkah Mangsa Rogol Menggugurkan Kandungannya?
Ayu Nadirah
9/3/2024
Orang ramai kini dimomokkan dengan realiti kes rogol dan jenayah melibatkan mangsa wanita yang semakin meningkat. Hakikat menjadi mangsa rogol pun adalah suatu beban yang amat besar untuk ditanggung. Bagaimana pula jika mangsa tersebut disahkan hamil hasil daripada perbuatan keji tersebut?

Di sini, daripada sudut pandang Islam, hukum menggugurkan kandungan bagi mangsa rogol adalah harus sekiranya usia kandungan belum mencecah empat bulan. Namun, menggugurkan kandungan setelah ia berusia empat bulan adalah haram kecuali atas faktor seperti demi menyelamatkan nyawa si ibu. Selain itu, situasi ini juga tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa di negara.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum asal menggugurkan kandungan selepas janin ditiupkan roh adalah haram. Berdasarkan ijmak ulama ia adalah tindakan yang haram dilakukan kerana dianggap membunuh makhluk Allah yang bernyawa. Bilakah roh ditiupkan pada janin? Janin ditiupkan roh pada usia 120 hari atau empat bulan. Hal ini dinyatakan dalam hadis Nabi SAW:
إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكونُ في ذلكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذلكَ، ثُمَّ يَكونُ في ذلكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذلكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فيه الرُّوحَ
Maksudnya: "Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptaannya di dalam rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (`alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan ke dalamnya roh," Hadis Riwayat Muslim.
Selain itu, Imam Ramli berkata:
وَالرَّاجِحُ تَحْرِيمُهُ بَعْدَ نَفْخِ الرُّوحِ مُطْلَقًا وَجَوَازُهُ قَبْلَهُ
Maksudnya: "Pendapat yang kuat haram menggugurkan kandungan setelah ditiupkan roh secara mutlak dan harus menggugurkannya sebelum ditiupkan roh."
Menurut Seksyen 312 Kanun Keseksaan (Akta 574), menggugurkan kandungan sendiri dianggap sebagai kesalahan jenayah. Namun, pengecualian diberikan bagi beberapa faktor seperti kes perubatan di bawah penelitian pakar perubatan atau ibu mengalami gangguan mental yang teruk. Kecederaan kepada kesihatan fizikal atau mental boleh berlaku akibat menjadi mangsa rogol atau disahkan menghidap HIV. Tetapi untuk mengesahkan perkara ini, ia perlu dipantau oleh pakar dalam bidang berkaitan dengan kawalan yang ketat.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-60/2002 memutuskan bahawa: "Mesyuarat mengambil keputusan bahawa harus menggugurkan kandungan mangsa rogol dengan syarat kandungan tersebut belum mencapai umur empat bulan atau 120 hari."
Untuk dapatkan penjelasan lebih mengenai isu ini, anda boleh layari Hukum Menggugurkan Kandungan bagi Mangsa Rogol - Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Semoga ia bermanfaat!