Boleh ke Berkahwin Tetapi Tidak Mahu Anak?

Hanan Latip

3/18/2024

Boleh_ke_Berkahwin_Tetapi_Tidak_Mahu_Anak.jpg

Anak sememangnya penghibur keluarga. Namun adakah betul dengan adanya anak kita akan menjadi lebih bahagia? 

Menurut Puan Nurliyana Munirah, seorang kaunselor dan pengurus Rezilien Counselling & Consultancy, secara fitrahnya, semua manusia ingin bahagia. Umumnya sudah tentu anak-anak mampu menjadi penghibur ibu dan ayah. Namun begitu, bahagia adalah sangat subjektif bagi setiap individu dan pasangan. Ada pasangan yang mempunyai anak yang bahagia namun ada juga sebahagian yang tidak bahagia. Ada pasangan yang tidak direzekikan anak juga bahagia dengan cara mereka yang tersendiri. 

Bahagia merupakan satu kurniaan dari Allah di mana perkahwinan yang berteraskan keimanan dijanjikan dengan sakinah, mawaddah dan rahmah. Yang paling penting adalah bagaimana sesebuah pasangan menghadapi setiap ujian perkahwinan bersama-sama dan juga kemampuan mereka untuk menerima sesuatu keadaan (acceptance of situation).

template_Ig_Share-2.png

Tambah Puan Liyana lagi, ada pelbagai faktor yang menyumbang kepada pasangan membuat keputusan untuk tidak ada anak atau mahu anak yang sedikit. Antaranya:

1. Tekanan Kewangan

Faktor yang paling besar dalam perancangan keluarga disebabkan kos sara hidup dan tahap inflasi yang semakin meningkat saban hari sedangkan kadar pendapatan masih lagi pada tahap yang rendah. Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hampir 56 peratus pekerja menerima upah di bawah gaji kehidupan wajar iaitu RM3,047 sebulan, seperti yang disyor oleh Bank Negara Malaysia (BNM) manakala 47 peratus menerima gaji di bawah pendapatan garis kemiskinan iaitu RM2,589 sebulan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan 2022. 

Sedangkan menurut Laporan Belanjawanku yang dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) & Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) di Malaysia, secara puratanya perbelanjaan bagi sebuah keluarga yang mempunyai seorang anak adalah sebanyak RM5,102 sebulan dan kos membesarkan seorang anak di Lembah Klang adalah sekitar RM1,320 sebulan. 

Walaupun setiap anak pastinya mempunyai rezekinya yang tersendiri, realiti kehidupan yang sangat menekan menyebabkan semakin ramai pasangan yang berfikir panjang untuk mempunyai anak ataupun membuat keputusan cukup untuk mempunyai sekadar seorang atau dua orang anak.

2. Trauma

Setiap individu juga akan ada memori pahit yang dilalui ketika zaman kanak-kanak atau remaja. Ada sebahagian pernah melalui penderaan fizikal tetapi lebih ramai lagi yang mempunyai trauma kesan daripada penderaan psikologi dan emosi yang lebih sukar dikesan. 

Keadaan ini menyebabkan sebagai individu dewasa, mereka sendiri mempunyai kesukaran dalam hubungan interpersonal serta tidak mampu menguruskan emosi dengan baik. Disebabkan hal ini, mereka tidak berasa yakin untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak mereka serta tidak mahu menyakiti anak-anak yang bakal lahir seperti mana mereka sendiri mengalami pengalaman yang amat menyakitkan ketika membesar.

3. Tanggungjawab

Disebabkan kegagalan ramai lelaki dalam berperanan sebagai suami dan bapa, sebahagian golongan wanita yang mengambil masa untuk membuat keputusan untuk mempunyai anak bersama suami mereka pada awal perkahwinan. 

Mereka memilih untuk memerhati dahulu sekiranya suami mereka bertanggungjawab dari aspek memberi nafkah dan urusan-urusan rumah tangga sebelum membuat keputusan untuk mengandung. Ada juga yang telah mempunyai seorang cahaya mata, tetapi disebabkan kegagalan suami atau isteri dalam menjalankan tanggungjawab, maka membuat keputusan untuk menangguh bilangan anak.

4. Penyakit 

Jika pasangan mempunyai penyakit, ia juga alasan yang wajar untuk mereka tidak mempunyai anak. 

Sebagai contoh: 

  • Penyakit yang menghalang seseorang wanita untuk hamil seperti wanita mempunyai penyakit kanser yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi kerana akan membahayakan kandungan. 

  • Penyakit mental seperti kemurungan, bipolar dan skizofrenia kerana mereka mempunyai kesukaran menguruskan kehidupan dan kadangkala boleh menyebabkan keadaan bahaya pada diri dan orang disekeliling. 

  • Mempunyai penyakit berjangkit atau khususnya sexually transmitted disease (STD) seperti HIV yang boleh dijangkiti kepada anak di dalam kandungan. 

  • Risiko penyakit yang diwarisi seperti thalassemia terutamanya jika kedua-dua suami dan isteri merupakan pembawa thalassemia.

Beliau juga menambah, perkara-perkara yang patut diambil kira bagi individu atau pasangan yang membuat keputusan untuk tidak memiliki anak kerana ia merupakan keputusan yang besar. Antaranya:

1. Faktor Agama

Dalam Islam, antara tujuan utama perkahwinan adalah untuk melahirkan zuriat yang sah dan halal. Keturunan yang soleh dan beriman diharapkan dapat berjuang demi menegakkan ajaran agama. Sekiranya pasangan membuat keputusan untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang kukuh, dikhuatiri perkahwinan yang dibina tidak mencapai salah satu tujuan utamanya seperti yang dianjurkan agama.

2. Faktor Fisiologi Wanita

Sekiranya seorang wanita membuat keputusan untuk tidak mempunyai anak atau menangguhkan untuk mempunyai anak, salah satu perkara yang perlu diambil perhatian adalah tentang tahap kesuburannya. 

Menurut The American College of Obstetricians and Gynaecologists, tahap kesuburan seseorang wanita mula menurun pada umur 30 tahun. Proses penurunan tahap kesuburan ini menjadi lebih laju lagi apabila seseorang wanita mencecah umur pertengahan 30-an.

3. Keputusan Dibuat dengan Persetujuan Bersama

Keputusan untuk tidak memiliki anak atas faktor-faktor tertentu adalah merupakan suatu keputusan yang amat besar bagi setiap pasangan. Mereka perlu membuat analisis yang mendalam dan teliti sebelum keputusan ini dicapai. 

Pastikan keputusan yang dibuat adalah informed decision (keputusan termaklum) bersama dan bukannya oleh salah seorang sahaja supaya pasangan tidak mengungkit dan menyalahkan sesama sendiri pada masa hadapan. 

Perkara merancang dalam isu keluarga (ada anak lambat) atau tidak mahu anak masih lagi tidak diterima baik dalam masyarakat kerana mereka masih kurang senang atau skeptikal mengenai hal sebegini ibaratnya kita menolak rezeki.

Apabila kita melihat pasangan yang tidak memiliki zuriat, kita sebenarnya tidak tahu sama ada mereka belum direzekikan anak atau mereka memilih untuk tidak memiliki anak. Atau mungkin juga, mereka masih dalam proses merancang sehingga kedua-duanya lebih bersedia. 

Secara mudahnya, kita tak perlu menilai kehidupan orang lain kerana kita tidak mengetahui situasi mereka. Sebaiknya masyarakat hanya boleh mengambil tahu keadaan orang disekeliling dengan niat mahu memahami tetapi bukan menghakimi. 

Sekiranya anda orang yang layak untuk memberi nasihat (seperti ibu bapa kepada anak, ahli keluarga atau sahabat terdekat), berilah nasihat dengan penuh adab dan menunjukkan empati dengan keadaan mereka.

Langkah-langkah Tangani Stigma Masyarakat Bagi Pasangan Yang Berniat Tidak Memiliki Anak:

  • Berbalik Kepada konsep Informed Decision (keputusan termaklum)

Keputusan yang dibuat dengan jelas selepas pasangan telah memahami kelebihan dan risiko kepada pilihan yang dibuat, itu dipanggil informed decision. Itu sudah cukup untuk mengingati dan meyakinkan diri dengan keputusan yang telah dibuat. 

  • Ingat Kembali Keputusan Yang Dibuat

Jika terdetik sebarang keraguan, cuba ingat kembali kenapa keputusan itu diambil pada awalnya, seperti atas faktor kesihatan, tanggungjawab, trauma dan sebagainya.

Kita tidak boleh mengawal pandangan masyarakat kerana mereka mungkin tidak memahami situasi kita sepenuhnya. Yang penting, anda dan pasangan jelas dengan keputusan dibuat, maka teruskan sahaja kehidupan dengan memberi fokus terhadap perkara-perkara yang lebih penting. 

  • Berbincang Jika Timbul Keraguan

Sekiranya keraguan timbul kerana situasi kehidupan dan perkahwinan telah berubah, pasangan boleh berbincang semula. Hal ini kerana, tidak mustahil mahu mengubah fikiran dan mahu mempunyai anak berdasarkan keadaan semasa.

Walaupun di Malaysia tidak ada kumpulan sokongan untuk mereka yang memilih untuk tidak mahu anak tetapi terdapat banyak platform dan kumpulan yang memberi sokongan dan panduan kepada pasangan yang mahukan anak tetapi belum direzekikan anak atau lebih dikenali dalam masyarakat sebagai golongan TTC (trying to conceive). 

Semoga perkongsian ini tidak melemahkan semangat anda untuk mengharungi hari-hari mendatang. Diharapkan ia sedikit sebanyak dapat membuka mata anda di luar sana dengan mana-mana pasangan serta sentiasa berbuat baik dan mendoakan kebaikan kepada semua tanpa menghakimi orang lain.