Berani buat, Berani Tanggung!

Nurul Atikah Sarji

9/9/2024

Peningkatan jenayah pembuangan bayi sangat merungsingkan di Malaysia. Walaupun undang-undang berat dikenakan terhadap pesalah apabila kes disiasat sebagai kes bunuh mahupun cubaan membunuh, namun kes ini masih terpambpang di dada-dada akhbar. 

Bahkan, menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata bahawa sebanyak 509 kes pembuangan bayi telah dilaporkan dalam tempoh 2018 hingga Februari lepas. 

Namun persoalannya, sampai bilakah kes ini akan berlaku? 

Kewujudan peti pelindung bayi atau juga dikenali sebagai ‘baby hatch’ yang diperkenalkan oleh Yayasan OrphanCare sebenarnya bukan bertujuan untuk menggalakkan kes pembuangan bayi. Sebaliknya, usaha ini bertujuan untuk menyelamatkan bayi terabai. Yayasan ini merupakan satu pusat transit yang ditinggalkan sebelum diambil sebagai anak angkat sekaligus memberi peluang kepada mereka membesar dalam institusi kekeluargaan yang sempurna. 

baby_hatch_1.png

Menyedari akan pentingnya untuk memberikan kesedaran sivik kepada masyarakat di luar sana, ikhlas.com menemu ramah ketua penyelamat bayi Yayasan OrphanCare, Nur Azim Alia Mohd Noor. 

baby_hatch_4.png

Sudah berjaya menyelamatkan lebih daripada 100 bayi, menurutnya, pekerjaannya ini sebenarnya memberikan ketakutan kepada dirinya iaitu jika seorang bayi itu meninggal. 

“Ketakutan saya ialah apabila nyawa bayi tak ada (meninggal). Itu yang paling saya takut.”

Menurut Alia, dia sudah menerima bayi dalam pelbagai keadaan. Ada yang berdarah, masih beruri, bahkan ada juga yang terlilit dengan tali pusat. Bahkan, OrphanCare pernah menerima bayi dalam mulut berbuih dan Alia terus membawa bayi syurga itu ke hospital, tetapi doktor mengesahkan bahawa bayi ini meninggal dan tidak boleh diselamatkan. 

baby_hatch_3.png

Sampai bila kita mahu mendengar cerita sebegini? 

“Kami tidak pernah menggalakkan bayi ini ditinggalkan begitu sahaja di tepi tong sampah, dalam restoran, dalam tandas, depan masjid, dalam kuil dan sebagainya. Bayi ini bersih, tidak ada salah langsung dan layak untuk hidup. Bayi ini layak untuk mendapatkan kehidupan yang baik. Jadi, bagilah bayi ini peluang untuk hidup. Kita nak bayi ini membesar dalam sebuah institusi kekeluargaan, seperti bayi yang lain,” tegas Alia. 

Menurut Alia, kekerapan OrphanCare menerima bayi di dalam ‘baby hatch’ ini pada waktu malam. Dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera (alarm) serta mempunyai pengudaraan yang baik, bayi ini akan terus diselamatkan kerana OrphanCare beroperasi 24 jam. 

baby_hatch_7_.png

“Setiap masa kami menerima bayi sentiasa mendebarkan. Saya teringat lagi, ketika minggu kedua saya bekerja di sini, seseorang sudah meletakkan bayi di ‘baby hatch’ ini. Waktu itu merupakan hari cuti. 

“Saya menerima panggilan daripada penjaga bayi di OrphanCare, dan saya terus bergegas ke sini. Waktu itu, saya melihat kepala bayi sudah berkerak kerana air ketuban sudah kering. Namun, saya tak boleh menggigil kerana saya perlu menyelamatkan bayi ini. Saya langsung bergegas ke hospital. Bayi ini ditinggalkan dalam keadaan tali pusat diikat sendiri, dan kita tahu bayi ini dilahirkan bukan di hospital,” kata Alia. 

Alia menjelaskan bahawa, OrphanCare mempunyai tatacara pengendalian piawai (SOP) bahawa setelah menerima bayi di ‘baby hatch’, OrphanCare akan terus ke bahagian kecemasan hospital dalam masa satu jam. Ketika itu, pihak OrphanCare akan akan memaklumkan kepada doktor yang bertugas, jabatan kerja sosial hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai status bayi ini. 

OrphanCare ini cuma pusat transit sahaja. Apabila seorang bayi diletakkan di ‘baby hatch’, secara automatik bayi ini akan menjadi anak di bawah penjagaan JKM. Cuma OrphanCare hanya memberikan senarai nama calon ibu bapa angkat dan JKM sendiri akan menemu ramah dan memilih calon yang layak sahaja. 

baby_hatch_5.png

Bagaimana pengangkatan anak berlaku di OrphanCare? 

Bagi yang berminat untuk mengambil anak angkat di sini, anda boleh melayari pautan OrphanCare ataupun boleh hadir langsung di Yayasan OrphanCare yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Pihak OrphanCare akan menemu ramah dan melihat adakah anda layak untuk menjadi ibu bapa ataupun tidak. Namun, anda perlu menunggu giliran. Setelah menerima giliran anda, ibu bapa angkat perlu hadir ke mahkamah untuk menerima perintah sementara dan juga perintah tetap. Setelah semuanya selesai, barulah anda boleh membawa bayi pulang ke rumah. Kebiasaannya, pihak OrphanCare akan menyelesaikan hal ini dalam masa kurang daripada satu bulan. Malah, pihak OrphanCare akan memberikan kursus penjagaan anak kepada bakal ibu bapa angkat sebelum mereka membawa pulang anak angkat mereka. 

baby_hatch_2_(1).png

Walk in case

Selain daripada ‘baby hatch’, OrphanCare juga mempunyai inisiatif lain iaitu ‘walk in case’. Ini merupakan kes ibu yang sedang sarat mengandung datang sendiri, dan mereka menyerah diri. Kadangkala ada yang datang bersama ibu bapa atau keluarga. Ada juga yang datang bersama dengan pasangan. Tapi, perlu diingatkan bahawa pihak OrphanCare hanya menerima apabila kandungan ibu berada pada trimester ketiga sahaja. 

“Ketika kandungan bayi mencapai usia tujuh bulan dan keatas, kami akan hantar ibu ke klinik kesihatan ataupun hospital untuk memeriksa keadaan kandungan. Namun sedihnya, kami banyak menerima kes ibu mempunyai masalah mental. Jadi, akan rujuk ibu ini ke pakar psikologi atau langsung ke pakar sakit jiwa – berdasarkan masalah yang dihadapi oleh seseorang ibu tersebut. 

“Ada ibu yang nak bunuh diri dan kami terus rujuk ke kaunselor kami. Macam selalu kita cakap,  tak ada ibu yang tak sayang anak. Ramai yang menyayangi anak mereka, tetapi mereka terpaksa memberikan bayi mereka dek kerana stigma masyarakat.

“Depression, anxiety dan panic attack sebenarnya perkara biasa di sini. Ini memang susah nak kita nak atasi, tapi ada sedaya upaya untuk menolong ibu-ibu ini,” menurut Alia. 

Setelah selesai bersalin, pihak OrphanCare akan terus cuba untuk menyelesaikan urusan pengangkatan. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai ikatan yang kuat antara pihaknya dan bayi kerana OrphanCare hanyalah pusat transit. 

‘Burn out’ kerana bekerja sebagai pekerja sosial? 

Menurut Alia, sudah tentulah mempunyai rasa penat bekerja dek kerana melihat kes-kes bayi yang menyayat hati hampir setiap hari. 

“Orang yang bekerja dalam bidang ini sudah tentu akan ‘burn out’. Malah, sampai satu tahap, kita akan rasa ‘give up’ dan ‘I cannot take it’. Tetapi, kita perlu pandai mengendalikan minda kita. Tak mengapa untuk kita rasa penat tapi kita perlu ingat objektif kami di bidang ini iaitu, mana-mana bayi mahupun ibu yang datang di sini kita perlu selamatkan. Kalau saya berhenti di tengah jalan, saya rasa saya gagal menjalankan amanah. Memang betul, saya tidak akan berada di sini selamanya, tetapi selama mana saya berada di sini, saya akan cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik,” katanya. 

Alia, yang juga merupakan seorang ibu juga berkata bahawa, kisah sedih antara ibu dan bayi sudah ‘lali’ dalam dirinya. 

“Saya sudah berjaya mengendalikan kes lebih daripada 100 bayi. Jadi, kisah-kisah sedih ini sudah biasa bagi saya. Sedih memang sedih, lebih-lebih lagi saya sendiri merupakan seorang ibu. Kalau sebelum menjadi seorang ibu, saya dah sedih tetapi lebih kepada empati sahaja. 

“Tetapi, setelah menjadi seorang ibu, saya rasa lagi sedih. Nak tinggalkan anak ke taska pun dah sedih. Inikan pula apabila kita nak memberi anak kita yang sudah kita kandung 9 bulan lamanya kepada orang lain, yang mungkin kita dah tak boleh berjumpa dengan anak itu lagi,” katanya. 

Apakah punca anak luar nikah, pembuangan bayi semakin meningkat? 

Bercakap mengenai punca mengapa kes-kes ini meningkat, Alia menjelaskan bahawa banyak kes yang sudah dikendalikan merupan kes yang tersalah langkah. Banyak kes yang ada di sini boleh dikatakan terjadi tersalah langkah, tersuka, tercinta. Ada juga dari luar bandar, datang dan akhirnya tersalah langkah.  Memang kebanyakannya salah langkah. Banyak juga pasangan ‘lepas tangan’. Ada juga kes yang datang bersama pasangan yang sudah pun bertunang atau hampir menikah. Ada juga yang baru berkenalan dengan pasangan tetapi pasangan tidak mahu bertanggungjawab. Ada juga ibu yang datang bersama dengan pasangan tetapi kedua-dua keluarga mereka tidak menerima bayi itu. 

Perit bukan? 

“Kes buang bayi memang masih banyak. Awareness masih kurang. Orang masih tertanya-tanya apabila dah terlanjur, dah beranak apa yang patut mereka buat. Semua orang akan takut, tak apa kalau kita dah buat kesalahan. Tapi, jangan kita buat kesalahan yang seterusnya, iaitu kesalahan yang melibatkan bayi yang tak ada salah langsung dan yang tidak berdosa,” tegas Alia. 

Alia juga menjelaskan bahawa pihak OrphanCare cuma ingin bayi yang tidak berdosa ini mempunyai keluarga. Namun, masih ada lagi stigma ‘anak tak saf taraf’ dalam kalangan masyarakat kita. 

“Ada banyak yang datang untuk mendaftar anak angkat masih lagi bertanya adakah bayi-bayi di sini merupakan anak luar nikah atau pun tidak? Atau apakah ini anak saf taraf ? Nampak di sini masih ada lagi jurang antara anak saf taraf dan anak bukan saf taraf. 

“Bagi kami, bayi ini semua sama, statusnya sama. Bersih, tak ada dosa, layak hidup, itu saja. Jadi, saya faham jika sesetengah orang berfikir sedemikian, kerana disebabkan pressure daripada masyarakat dan juga mindset kita daripada dulu. Kalau kita sendiri tak pecahkan mindset ini, so baby ini akan kemana? ,” tegasnya. 

Mudah mudahan baby hatch ini menjadi jalan yang terakhir. Sekurang-kurangnya, ini dapat menyelamatkan nyawa bayi. OrphanCare juga berjanji untuk memberikan bayi ini rawatan yang baik dan tepat serta akan diserahkannya kepada keluarga angkat yang baik dan bertanggungjawab. 

Tonton juga temuramah eksklusif ikhlas.com bersama wakil Orphancare melalui pautan ini.