Adakah Anak Perempuan Wajib Beri Nafkah kepada Ibu Bapa?

Ayu Nadirah

7/8/2025

Seiring meningkatnya usia anda, jangan sesekali leka dengan hakikat ibu bapa yang juga semakin tua. Antara bakti seorang anak terhadap kedua orang tua adalah dengan memberikan nafkah. Nafkah atau nafaqah membawa maksud semua keperluan asas manusia seperti tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman. Ia dinamakan nafaqah kerana dikeluarkan untuk tujuan keperluan asas tersebut.

Para ulama menegaskan bahawa furu’ (seperti anak-anak) wajib memberi nafkah kepada usul iaitu bapa, ibu, datuk dan nenek.

Adakah Anak Perempuan Wajib Beri Nafkah kepada Ibu Bapa (1).png

Siapa yang Sepatutnya Memberi Nafkah kepada Ibu Bapa?

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan kitab al-Fiqh al-Manhaji, sekiranya kedua-dua ibu bapa fakir dan tiada sumber pencarian, furu’ (anak-anak) yang setaraf (daripada sudut kerabat) dalam kalangan mereka, wajib memberi nafkah. Sebabnya mereka mempunyai sebab wajib nafkah, tidak kira anak lelaki atau perempuan.

Bahagian nafkah yang perlu dikeluarkan oleh perempuan adalah setengah bahagian lelaki, sebagaimana pembahagian harta pusaka. Sekiranya terdapat anak dan cucu, nafkah adalah wajib kepada furu’ yang lebih hampir, sama ada berhak mewarisi atau sebaliknya, sama ada lelaki ataupun perempuan. Hal ini berdasarkan hubungan keluarga yang lebih dekat adalah lebih utama untuk memberikan nafkah.

Dalam kitab Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir daripada Mazhab Maliki dinyatakan: “Dan dikeluarkan nafkah untuk dua orang tua daripada harta anak-anak yang berkemampuan. Apakah berdasarkan al-Ru’us, seorang lelaki seperti seorang perempuan (sama rata) sekalipun kemampuan mereka berbeza, atau berdasarkan pewarisan, seorang lelaki bersamaan dua orang perempuan, atau berdasarkan kemampuan. Terdapat berbagai pandangan ulama, yang lebih rajih adalah yang akhir (berdasarkan kemampuan).”

Ibn Qudamah pula menyatakan: Sekiranya berhimpun anak lelaki dan anak perempuan, maka nafaqah antara keduanya adalah dibahagikan kepada tiga, di mana lelaki hendaklah membayar dua pertiga dan perempuan hanya satu pertiga seperti mirath (hukum pewarisan).

Abu Hanifah berkata: Nafaqah (yang wajib dikeluarkan) ke atas keduanya adalah sama kerana kedua-duanya sama daripada sudut hubungan kerabat.

Imam al-Syafi’e berkata: Nafaqah (wajib) ke atas anak lelaki kerana berdasarkan (hukum) ‘asobah.

Bagi kami (mazhab Hanbali) adalah berdasarkan firman Allah SWT: “وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ” dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Maka hendaklah disusun nafkah berdasarkan hak pewarisan.

Jadi sebagai anak tidak kira lelaki atau perempuan, anda wajib memberi nafkah kepada ibu bapa yang fakir dan tiada mata pencarian. Semua anak wajib membantu dalam memberi nafkah buat orang tua yang tidak berkemampuan. 

Sewajarnya seorang anak perlu sentiasa berniat dan tekad untuk berbakti kepada kedua ibu bapa yang telah menjaga dan membesarkan sejak kecil. Apatah lagi anak-anak yang berkemampuan dan memiliki wang lebih. Insyallah semoga niat yang baik sentiasa dilapangkan urusan rezeki oleh Allah SWT.