5 Sifat dalam Memilih Kawan Menurut Islam

Yantie Basharudin

9/18/2024

Fitrah alam telah ditetapkan, bahawa tiada yang mampu mengharungi kehidupan itu bersendirian. Kehadiran teman dan perihalnya itu, mempengaruhi setiap langkah yang akan diambil. Agama Islam sesuai sifatnya yang syumul, telah meletakkan garis panduan dalam pemilihan teman serta adab-adab yang berkenaannya.

Rasulullah SAW bersabda, “Seseorang itu akan mengikuti gaya kehidupan sahabatnya. Oleh kerana itu hendaklah kamu memilih dulu siapa yang patut dijadikan sahabat.” (HR Abu Daud dan Tirmizi)

Aspek pemilihan teman atau kawan itu umumnya boleh dibahagikan kepada dua, yakni kawan dunia dan kawan akhirat. Kawan dunia bererti kawan yang dipilih bagi bersama mengharungi dan memanfaatkan dari perkara-perkara duniawi. Kawan itu yang menjadi pendorongnya, penasihatnya serta mengajarkannya bagaimana mencapai kejayaan duniawi. Kawan akhirat juga mempunyai ciri-ciri yang sama, tetapi dalam mencapai kejayaan akhirat.

Malah, doa untuk sahabat secara senyap-senyap juga sangat disarankan dalam Islam dan merupakan doa yang mustajab berdasarkan hadith yang sahih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Muslim di dalam kitabnya (Sahih Muslim).

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu).”

Sama ada dalam pemilihan kawan dunia atau kawan akhirat, beberapa sifat mesti ditemukan dalam diri seseorang itu sebelum mula menjalinkan persahabatan dengan mereka. Ini kerana, hanya seorang yang baik boleh memberikan manfaat kepada diri kita sekaligus menambah baik kehidupan kita sehingga mencapai kejayaan yang diharapkan. Sebaliknya, seseorang yang tidak baik hanya akan meruntuhkan dan memusnahkan kehidupan kita.

Gaya kehidupan kita dunia, akan dinilai Allah SWT bagi menentukan kesudahan kita di akhirat. Disebabkan itu, telah diutuskan para nabi dan rasul juga diturunkan kitab-kitab bagi menyeru sekalian manusia untuk memperbaiki kehidupan di dunia ini. Barangsiapa yang berjaya memperbaiki dunianya, sesungguhnya telah berjaya juga memperbaiki akhiratnya.

Terdapat lima sifat utama yang perlu ada pada diri seorang kawan berdasarkan Imam Al-Ghazali:

  1. Akal yang bijak.
  2. Akhlak yang baik.
  3. Kesolehan.
  4. Tidak tamak dan mencintai dunia.
  5. Benar dalam perkataan dan perbuatan.

Sekiranya tiada insan yang bersifat demikian dalam daerah yang kita diami, digalakkan untuk bermusafir mencari.

Persahabatan yang terjalin dengan orang-orang yang tidak baik itu hanya diharuskan, apabila tujuannya adalah untuk berdakwah dan mengajak mereka memperbaiki kehidupan. Sekiranya tiada kemampuan seseorang untuk melakukan sekian itu, lebih utama memelihara keselamatan diri dan menyerahkan tugasan dakwah kepada ahlinya.