10 Kesalahan Pengantin Selalu Lakukan Sewaktu Majlis!
Hanan Latip
8/6/2024
![checklist kahwin.jpg](https://images.ikhlas.com/v3/assets/blt2a130c768c36b9df/bltd43a1c9737bd24c7/66bdc0e22f80d2c9eaf347bb/checklist_kahwin.jpg)
Nikah ialah suatu akad yang ditetapkan atau diluluskan oleh syarak, bertujuan untuk membolehkan suami isteri melakukan persetubuhan dan menikmati kasih sayang dalam membina rumah tangga yang bahagia.
Islam memudahkan sesuatu perkahwinan itu. Seperti sabda Nabi SAW, "Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis juga ada menerangkan, jika seseorang itu hanya mampu kenduri laksa, bihun atau mee, tidak mengapa asalkan mengadakan walimah.
Tetapi, semasa mengadakan walimah ini, para pengantin tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan-kesalahan yang boleh boleh membuatkan bajet anda terlebih ataupun timbulnya pelbagai masalah. Jom semak kesalahan-kesalahan yang pengantin sering lakukan sewaktu majlis.
1. Masih gunakan kad kahwin fizikal
Sekarang merupakan zaman semuanya mudah dan digital, jemputan boleh dihantar menggunakan wedding e-card sahaja menerusi aplikasi Whatsapp. Lebih menarik, tetamu boleh mengesahkan kehadiran, sedikit sebanyak membantu tuan rumah untuk membuat bajet daripada segi jumlah undangan juga makanan yang perlu disediakan. Jika masih memilih untuk mencetak kad kahwin, risiko ada banyak yang berbaki dan pastinya akan membazir. Cukuplah sekadar cetak kurang 50 keping sahaja jika perlu!
2. Tempah kek kahwin yang terlampau mahal
Kek yang lawa biasanya harganya juga mahal. Kadang-kala hingga tidak sempat dipotong dan makan disebabkan jadual pengantin padat di sepanjang majlis. Kalau begini akan membazir lagi lah. Namun jangan salah sangka ada juga kek yang desainnya cantik dan eksklusif tetapi dengan harga yang berpatutan. Ayuh bakal pengantin, kenalah pandai survey ya!
3. Cas berlebihan oleh henna artist
Kadang-kala walaupun telah survey ramai henna artist, hal ini tetap menjadi isu disebabkan henna artist ini tiba-tiba mengenakan cas lebih daripada yang disangka. Jika tidak cukup bajet, rasanya lebih berbaloi untuk beli inai diy dan minta ahli keluarga atau rakan baik pasangkan untuk lebih puas hati. Apapun, ini terpulang pada kemampuan pengantin sendiri. Tidak salah berbelanja sedikit untuk majlis bahagia anda yang pastinya sekali seumur hidup!
4. Tidak rancang betul-betul tempat untuk outdoor photoshoot
Terlepas pandang merancang awal untuk lokasi photoshoot di tempat yang menarik dan sesuai. Akhirnya, hanya dapat bergambar di kawasan sekitar seperti dewan sahaja. Hasilnya, tidak banyak pose dan background menarik untuk dijadikan kenangan. Kecuali majlis anda dijalankan di tempat yang didatangkan dengan landscape yang cantik!
5. Pemilihan kasut sanding yang salah
Disebabkan fikir hendak berjimat, pinjam kasut ahli keluarga atau kawan yang sudah sedia ada untuk majlis. Tetapi akhirnya rasa menyesal tidak beli baru untuk keselesaan sendiri. Selalunya terjadi selepas majlis selesai, kaki sakit sangat dan melecet jadinya!
6. Terlebih bajet untuk doorgift yang bermacam jenis
Sediakan doorgift dalam pelbagai jenis dan akhirnya jadi berlebihan sebab terlalu banyak. Kadang-kala boleh lihat barang-barang ini ditinggalkan bersepah di sekitar dewan. Oleh itu, memadai jika pilih doorgift yang simple dan bermakna untuk dijadikan buah tangan kepada tetamu.
7. Jurugambar tidak berkualiti
Tidak semak lebih awal dengan team photographer. Semasa hari kejadian baru dapat tahu berapa orang jurugambar yang datang, sama ada yang profesional atau photographer part-timer sahaja. Kalau tahu lebih awal, masih sempat untuk tukar kepada syarikat atau team lain yang ada di dalam survey list. Pemilihan jurugambar yang baik sangat penting untuk sesuatu majlis perkahwinan kerana majlis seperti ini hanya berlaku sekali seumur hidup. Jangan ambil remeh ya!
8. Situasi semasa salam restu
Semasa bernikah, susun atur kebiasaannya pengantin akan berada di pelamin manakala kedua ibu bapa duduk di kerusi di bawah. Rasanya lebih afdhal sekiranya semasa salam restu berlaku, pengantin yang datang kepada ibu bapa dan bukan sebaliknya.
9. Membeli barang terlalu mahal untuk dulang hantaran
Tidak salah untuk sediakan hadiah istimewa buat bakal suami/isteri di atas dulang hantaran namun tidak perlulah berlebihan kerana anda masih berpeluang untuk membelinya nanti. Cukup sekadar memenuhi tuntutan adat dan sesuai dengan bajet anda. Wang yang lebih boleh digunakan untuk perbelanjaan majlis yang lain.
10. Tidak lantik floor manager
Tugas floor manager adalah untuk pastikan keadaan majlis jadi teratur dan sempurna mengikut aturcara yang telah dirancang juga mematuhi waktu yang ditetapkan. Trend majlis masa kini, ahli keluarga lebih memilih untuk menjadi tetamu dan berdandan cantik di majlis. Jadi tugas mengawal aturcara lebih baik dilakukan oleh floor manager, keluarga boleh sama-sama bergembira dengan pengantin di hari bahagia anda tanpa tekanan!
Checklist Persiapan Perkahwinan Lengkap A-Z
12 bulan sebelum
- Kenal pasti lokasi majlis nikah, sanding dan bertandang
- Tetapkan tema majlis
9 bulan sebelum
- Tempah baju tema keluarga
- Hadiri food sampling
- Pergi expo perkahwinan
6 bulan sebelum
- Hadiri kursus kahwin
- Buat ujian HIV dan Talasemia
- Beli barang-barang hantaran
- Beli cincin dan barang kemas
- Survey baju nikah/sanding/jurusolek/jurugambar
3 bulan sebelum
- Sediakan dan hantar borang kahwin
- Tempah kad jemputan, bunting dan doorgift
- Perbaharui pasport jika ingin berbulan madu di luar negara
- Tempah baju nikah dan sanding
2 bulan sebelum
- Tempah tempat berbulan madu
- Packing goodies
1 bulan sebelum
- Edar kad jemputan
- Selesaikan bayaran kepada sesiapa yang patut
2 minggu sebelum
- Pastikan dokumen telah dikumpulkan di dalam satu file
- Fitting baju nikah/sanding
1 hari sebelum
- Pakai henna
- Pastikan penunjuk arah telah dipasang
- Pastikan pelamin telah dipasang
- Pastikan baju telah digosok
- Pastikan goodies telah siap dibungkus
- Dulang hantaran sudah sedia
Hari pernikahan
- Mandi dan solat sunat
- Makan untuk alas perut
- Bawa dokumen yang diperlukan (termasuk IC dan mas kahwin)
- Selawat
Semoga artikel ini bermanfaat untuk bakal pengantin. Belanjalah wang secara berhemah kerana selesai majlis, anda pasti akan memerlukan banyak lagi perbelanjaan untuk memulakan kehidupan yang baharu!