[Kopi Bersama IKHLAS Episod 7] Selamatkan Bayi, Bukan Buang Bayi di Tong Sampah

Nurul Atikah Sarji

9/12/2024

Ramai yang beranggapan bahawa peti perlindungan bayi atau lebih dikenali sebagai ‘baby hatch’ merupakan tempat untuk membuang bayi. Tetapi sebenarnya, ia merupakan tempat untuk menyelamatkan nyawa. 

Perkara ini dijelaskan oleh Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare, Riza Alwi, eksklusif di Kopi Bersama IKHLAS:  [Episod 7] Selamatkan Bayi, Bukan Buang Bayi di Tong Sampah. 

_Template_images_for_blog_2.0.png

Menurut Riza, ramai yang beranggapan bahawa ‘baby hatch’ merupakan tempat untuk membuang bayi. Sebaliknya, ini merupakan peti untuk menyelamatkan bayi. Matlamat utama ‘baby hatch’ ini adalah untuk melindungi bayi daripada dibuang atau digunakan dalam keadaan berbahaya juga mengelakkan dibuang di tempat yang tidak sepatutnya.

“Walaupun dalam situasi yang penuh ketakutan, baby hatch menawarkan tempat selamat untuk ibu meninggalkan bayi mereka tanpa sebarang soal jawab."

“Di Malaysia, terdapat lapan baby hatch yang disediakan oleh OrphanCare. Organisasi ini juga mempunyai tiga pejabat utama yang terletak di Petaling Jaya, Sungai Petani dan Johor Bharu,” katanya. 

_Template_images_for_blog_2.0_(31).png
Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare Riza Alwi

Tambah Riza, sejak penubuhannya, OrphanCare telah berjaya menyelamatkan 604 bayi. Daripada jumlah tersebut, 106 bayi telah ditempatkan di dalam baby hatch. 

[Baca Sini: Berani buat, Berani Tanggung!]

Selain itu, terdapat kes di mana wanita yang sedang mengandung menghubungi OrphanCare untuk meminta bantuan. Pekerja sosial dari Orphancare akan membimbing mereka sehingga saat melahirkan. Dengan bantuan ini, wanita-wanita tersebut tidak perlu merasa takut untuk ke hospital atau melakukan pemeriksaan, yang sering kali menakutkan kerana bimbang ditangkap atau dipenjarakan. Ada juga yang tidak tahu apa tindakan yang patut diambil.

Menghukum Ibu Hamil Luar Nikah: Bukan Penyelesaiannya

Apabila seseorang wanita hamil di luar nikah, kita tidak boleh terburu-buru untuk menghukum. Riza berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Ada yang merupakan mangsa rogol atau mangsa keadaan, dan ada juga yang telah melakukan kesalahan besar dalam hidupnya. 

“Kita juga tidak boleh menilai berdasarkan umur. Kes hamil luar nikah bukan hanya berlaku kepada golongan muda, malah terdapat kes di mana wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun turut terlibat."

“Yang lebih mengecewakan, walaupun lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan kehamilan, perempuan yang sering kali dipersalahkan,” tegasnya. 

Menurutnya, OrphanCare sehingga ke hari ini berjaya menyelamatkan 604 nyawa bayi yang tidak berdosa. 

baby_hatch_1.png
Baby Hatch / Peti Perlindungan Bayi

“Sepatutnya ada 604 lelaki yang perlu bertanggungjawab. Namun, kerana sikap tidak bertanggungjawab inilah OrphanCare memainkan peranan untuk membantu membina semula kehidupan wanita-wanita ini,” katanya.

Riza juga menambah bahawa punca pembuangan bayi adalah pelbagai, dan ada yang berpunca daripada kurangnya pendidikan agama. Ramai antara wanita yang terlibat dalam kes ini adalah wanita Islam, termasuk mereka yang berpendidikan tinggi dan merupakan pelajar universiti. Walaupun begitu, faktor pergaulan yang kurang bijak turut menyumbang kepada masalah ini. 

OrphanCare berperanan besar dalam mengurangkan masalah ini dengan memberi sokongan, kaunseling, dan penyelesaian kepada mereka yang memerlukan.

[Baca Sini: Yayasan OrphanCare: Menghidupkan Kembali Harapan Keluarga Melalui Reintegrasi]

Pengangkatan Anak: Memberi Peluang Hidup Lebih Baik

OrphanCare juga memberi tumpuan untuk memastikan bayi yang diselamatkan tidak dihantar ke rumah anak yatim, kerana kehidupan di situ agak terhad. Sebaliknya, mereka berusaha mencari keluarga angkat bagi memberikan peluang kehidupan yang lebih baik kepada bayi-bayi ini.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, jom kita dengar podcast ini hanya di ikhlas.com: