[Kopi Bersama IKHLAS Episod 6]: Perit Jerih Jadi ‘Tycoon’ Dalam Industri Perkahwinan

Nurul Atikah Sarji

8/5/2024

Meskipun menghadapi kesukaran untuk bertahan dalam bidang perniagaan terutama ketika pandemik Covid-19, semangat penyanyi dan usahawan Norsyarmilla Jirin, atau lebih dikenali sebagai Mila Jirin, tidak pernah pudar untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat serta memberi inspirasi kepada wanita sehingga menjadi ‘tycoon’ dalam industri perkahwinan. 

Podcast_Mila_Jirin.png

Memiliki perniagaan besar dalam menguruskan perkahwinan dan katering iaitu Bizmilla, beliau berkata bahawa jantina tidak seharusnya menjadi penentu kejayaan sesuatu perniagaan. Menurutnya, tidak kira lelaki atau wanita, yang paling penting adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. 

Bizmilla bukan sekadar wedding planner; ia adalah sebuah ‘one stop wedding center’ yang menawarkan perkhidmatan lebih daripada sekadar perancang perkahwinan. Menurutnya, pada  sepuluh tahun lalu, konsep seperti ini belum wujud, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu. 

“Kini, industri perkahwinan berkembang pesat dengan banyak dewan perkahwinan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan. Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana kami berjaya membuka jalan dan modul perniagaan ini kepada usahawan lain, memeriahkan industri perkahwinan,” katanya eksklusif di siaran podcast Kopi Bersama IKHLAS episod kelima. 

Dalam industri perkahwinan, permintaan sentiasa tinggi kerana perkahwinan adalah impian bagi kebanyakan orang, terutamanya selepas menamatkan pelajaran. Siapa yang tak mahu kahwin? Justeru, Bizmilla berfungsi sebagai pemudah cara untuk menguruskan perkahwinan. Pelanggan hanya perlu membawa pengantin, dan kami akan menguruskan selebihnya, memastikan semuanya berjalan lancar.

Kini, Bizmilla menyediakan perkhidmatan bukan sahaja untuk kaum Melayu tetapi juga untuk semua bangsa dan agama. Bizmilla juga mempunyai logo halal oleh Jakim, memastikan semua makanan dan minuman yang disediakan adalah halal.

Dalam mengembangkan perniagaan, sudah tentu Bizmilla mempunyai tenaga pekerja yang ramai. Menurut Mila, perniagaannya mempunyai 250 orang pekerja yang terdiri daripada lapisan umur. 

Bizmilla mempunyai hampir 250 ahli pasukan, yang dianggap sebagai keluarga besar oleh suami saya. Anak-anak mereka dianggap seperti anak-anak kami sendiri. Contohnya, untuk acara 'back to school', kami sentiasa memikirkan cara untuk meraikan mereka. Ini penting untuk memberikan motivasi kepada pekerja kami, dengan merayakan mereka seperti keluarga terutamanya pada hari-hari penting,” katanya. 

Menguruskan pasukan besar tidak mudah, tetapi dengan ilmu dan kemahiran kepimpinan yang baik, ia menjadi lebih mudah. Mila menjelaskan bahawa bekerja dengan pasukan yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur memerlukan cara komunikasi juga berbeza. 

“Sebagai ketua, penting untuk mempunyai pelapis. Tidak mungkin saya mampu berkomunikasi dengan 250 orang dalam satu masa. Oleh itu, kami mempunyai pengurus, ketua pasukan, dan lain-lain yang bersama-sama menjayakan perniagaan ini,” tegasnya. 

Yang paling penting adalah niat Mila dan pasukannya untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Bizmilla berkomitmen untuk menyediakan perkhidmatan yang sempurna dan memastikan setiap pelanggan menikmati hari perkahwinan mereka tanpa sebarang kebimbangan.

Namun, sudah tentu akan ada ombak dan badai dalam mengharungi dunia perniagaan. Jom kita ketahui lebih lanjut apakah perih jerih jadi ‘tycoon’ dalam industri perkahwinan dalam episod kelima Kopi Bersama IKHLAS.