[Kopi Bersama IKHLAS Episod 5]: 'Saya Suka Usung Jenazah' Rindu Yang Tak Berpenghujung - Johan As'ari
Nurul Atikah Sarji
7/9/2024
Istimewa episod podcast Kopi Bersama IKHLAS pada kali ini, iaitu seorang figura pelakon lelaki kegemaran ramai, Johan As’ari mendedahkan bahawa beliau sangat merindui untuk mengusung jenazah di Madinah.
Bagi yang tidak tahu, setiap waktu solat di Madinah, pasti akan ada solat jenazah dan jenazah akan dikebumikan di kawasan Perkuburan Baqi’ yang berdekatan dengan Masjid Nabawi. Menurut sejarah, terdapat lebih daripada 1000 sahabat Baginda Rasulullah SAW telah disemadikan di sini.
“Dalam Masjid Nabawi, terdapat banyak pintu. Tetapi, saya paling suka untuk solat subuh berdekatan dengan perkuburan Baqi’. Jadi, setiap hari akan ada jenazah."
“Saya memang sengaja untuk solat di kawasan ini. Selepas solat jenazah, saya akan terus mencari selipar, dan cepat-cepat untuk sama-sama mengusung jenazah terus ke perkuburan di sini. Ini merupakan perkara yang saya sangat rindu akan Madinah,” kata Johan, yang merupakan tamatan sekolah pondok di Jambi, Indonesia dan juga pelakon drama Juvana.
Tonton video Podcast Kopi Bersama IKHLAS episod ke 5:
Selain itu, Johan juga berkongsi rasa dan kisah ‘rindu yang tak berpenghujung’ akan arwah ibunya dan dia pernah menyendiri dari kaca tv seketika pada tahun 2015.
Menurutnya, tahun 2015 amat memilukan kerana tahun tersebut beliau kehilangan arwah ibunya yang tercinta.
“Sepanjang karier saya, kalau cerita tentang arwah ibu saya, daripada kecil lagi arwah ibu yang menghantar saya ke sekolah, universiti bahkan semasa ke sekolah pondok di Jambi Indonesia."
“Apabila saya menjadi pelakon, setiap kali saya masuk dalam akhbar di bahagian hiburan, arwah ibu akan potong keratan akhbar itu. Begitulah kasihnya ibu saya terhadap saya."
Ayuh kita dengar dengan lebih lanjut, cerita tentang pengalaman Johan sepanjang berada di Tanah Haramain serta jatuh bangunnya dia di dalam dunia seni, eksklusif hanya di Kopi Bersama IKHLAS.
Berniat nak tunaikan umrah tahun ini? Rebut peluang tunaikan umrah bersama Johan As'ari. Semak keterangan pakej di sini!