Kenali Pedang, Topi Perisai dan Baju Besi Milik Rasulullah SAW
Hanan
1/31/2024

Nabi Muhammad SAW mempunyai beberapa peninggalan meliputi senjata dan kelengkapan perang. Pada kali ini, kami akan kupaskan serba sedikit input mengenai pedang, topi perisai dan baju besi milik Rasulullah SAW.
Pedang
Pedang Nabi Muhammad menggunakan bahan-bahan mentah logam seperti taburan emas, taburan perak dan juga taburan gangsa.
9 Peninggalan Pedang Nabi Muhammad
1. Al-Ma’tsur
Pedang ini adalah pedang terawal yang dimiliki oleh Baginda Rasulullah SAW kerana diterima sebelum Baginda menerima wahyu pertama di Mekah. Ia merupakan pedang warisan daripada ayahandanya iaitu Abdullah bin Abdul Muttalib.
Pedang ini sentiasa menemani Baginda ketika berada di Mekah mahupun berhijrah ke Madinah.
Panjang pedang ini ialah 99 sm dan panjang sarungnya ialah 85 sm. Pemegangnya diperbuat daripada emas dengan bentuk berupa ular dengan dihiasi batu-batu hiasan berupa delima dan firus.
2. Al-’Adhb
Al-’Adhb memberi makna memotong atau tajam. Menurut sejarah, pedang ini telah dikirim oleh Sa’ad bin Ubadah al-Ansari kepada Nabi Muhammad sebagai hadiah ketika Perang Badar. Kemudian, Baginda telah menghadiahkan ia kepada Abu Dujanah al-Ansari RA.
Pedang ini kini disimpan di Masjid Hussain bin Ali RA di Kaherah, Mesir.
3. Dzu al-Fiqar
Pemilik asal pedang ini ialah al-’Ashi Ibn Munabbih al-Sahmi, orang kafir yang terbunuh di dalam Perang Badar. Rasulullah SAW memilikinya sebagai harta rampasan perang.
4. Al-Qala’i
Tahukah anda, pedang ini antara yang berkualiti dan istimewa berbanding yang lain kerana menggunakan teknologi pamor keris. Pedang ini memiliki corak beralun-alun dan mempunyai kepanjangan 100 sm.
Nama Qala’i berasal dari Qala’a iaitu Kedah Tua yang disebut oleh Idrisi, Ahli geografi Arab era Abbasiyah dalam kitabnya Al-Rujjar (Nuzhat Al-mushtaq Fi’khtiraq Al-afaq) dan Abu Dulaf Iaitu Pengembara dan pemuisi dari Bukhara yang catatannya (al-Risalah) terkumpul dalam Majmu’ fil-jughrafiyya pada tahun 940 Masihi.
Pedang Qal'a sampai ke tangan Baginda hasil daripada rampasan Bani Qainaqa. Pada bilah pedang tersebut, ada ukiran bahasa Arab yang berbunyi, 'Ini adalah pedang mulia dari rumah Nabi Muhammad SAW'.
5. Al-Battar
Al-Battar ini digelar 'pedangnya para nabi'. Pedang Al-Battar ini terukir sejumlah nama-nama nabi seperti Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS, Nabi Musa AS, Nabi Harun AS, Nabi Yusuf AS, Nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS, Nabi Isa As dan Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab.
Untuk pengetahuan semua, pedang ini dimiliki oleh Nabi Daud AS dan berpindah tangan ke Nabi Muhammad SAW daripada hasil rampasan perang daripada Banu Qainuqa’. Kini, ia berada di Muzium Topkapi, Istanbul.
6. Al-Hatf
Pedang ini merupakan hasil buatan Nabi Daud AS di atas mukjizat oleh Allah SWT yang mampu melembutkan besi. Nabi Daud AS sempat menggunakannya sebelum ia berpindah milik.
Setelah itu, Hatf dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW daripada hasil rampasan daripada Banu Qainuqa’. Pedang Hatf ini menyerupai pedang Al-Battar tetapi dengan ukuran yang lebih besar. Pedang ini memiliki kepanjangan 112 sm dan lebar 8 sm, dan kini ai diletakkan di Muzium Topkapi, Istanbul.
7. Ar-Rasub
Hulu pedang ini diperbuat daripada perak dan dilapik dengan kulit berwarna hitam. Pada bilah pedang, terdapat ukiran seekor naga dengan burung merak kayangan.
Dengan bilah berukuran sepanjang 140 sm, pedang ini mempunyai corak bulatan emas yang di dalamnya terdapat ukiran tulisan Arab yang berbunyi, “Ja’far al-Sadiq”.
Sekarang, pedang ini kini disimpan di Muzium Topkapi, Istanbul.
8. Al-Mikhzam
Pedang ini merupakan kepunyaan al-Harith bin Abi Syamir al-Ghassani, Raja Ghassan. Kemudian, ia menjadi milik Nabi Muhammad SAW, diberikan kepada Ali bin Abi Thalib dan diturunkan kepada anak-anaknya.
Pedang ini panjangnya 97 sm dan bilahnya melengkung. Hulu pedang dan penyilangannya diperbuat daripada besi dan dihiasi dengan corak bunga keemasan. Ketika ini, ia berada di Muzium Topkapi, Istanbul.
9. Al-Qadhib
Tahukah anda, pedang ini berbentuk bilah tipis seperti tongkat. Pedang ini dibuat untuk pertahanan tapi tidak digunakan semasa peperangan. Hal ini kerana, tidak ada catatan sejarah yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW ada menggunakan pedang ini ketika berperang.
Pada pedang ini ditulis ungkapan syahadah dengan berupa ukiran perak, “Tiada Tuhan selain Allah, Muhammad Rasul Allah - Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Mutalib”.
Panjang pedang ini 100 sm dan memiliki sarung berupa kulit haiwan yang dicelup. Kini, ia juga disimpan di Muzium Topkapi, Istanbul.
Topi Perisai
Rasulullah SAW mempunyai sebuah topi perisai yang diperbuat daripada besi dan ia dipanggil al-Muwassyah (الْمُوَشَّحُ), (kerana) dipakaikan dengan tembaga yang kekuningan dan ada sebuah lagi topi perisai yang dipanggil al-Subu‘ (السُّبُوغُ) atau Zu al-Subu‘ (ذُو السُّبُوغِ). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/125; ‘Uyun al-Athar, 2/387).
Topi Perisai Milik Nabi Muhammad SAW
- Al-Muwasysyah
- As-Sabugh
Terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، دَخَلَ عَامَ الفَتْحِ، وَعَلَى رَأْسِهِ المِغْفَرُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memasuki Mekah pada tahun pembukaan kota Mekah, dan memakai topi besi di atas kepalanya.” Riwayat al-Bukhari (1846)
Hal ini menjadi keharusan untuk membawa senjata ketika masuk ke Kota Mekah ekoran keadaan ketika itu yang darurat dan memerlukan.
Baju Besi
As Sa-ib bin Yazid berkata: “Baginda Rasulullah SAW ketika perang Uhud memakai dua baju besi yang saling menyokong” (memakai dua lapis baju besi). HR Imam at-Tirmizi
Baju Besi Nabi Muhammad SAW
1. Zatul Fudhul
Baju besi ini telah digadaikan kepada seorang Yahudi bernama Abu al-Syahm dengan barli yang bersamaan 30 gantang barli.
2. Fiddhah
Baginda mendapatkan baju perisai ini daripada alatan senjata Bani Qainuqa‘.
3. As-Sughdiyyah
As-Sughdiyyah telah dipakai oleh Nabi Daud AS ketika membunuh Jalut. Semasa peperangan Khaibar, Rasulullah SAW memakai baju besi ini dan baju Zatul Fudhul. Baginda mendapatkan baju perisai ini daripada persenjataan Bani Qainuqa‘.
Terdapat juga baju besi yang lain seperti Al-Batra, Al-Khirniq, Zatul Hawasyi dan Zatul Wisyah.
Ciri-ciri fizikal Rasulullah SAW
Semoga perkongsian diberikan dapat menambahkan lagi kecintaan kita kepada kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad SAW. Barang-barang inilah yang digunakan oleh Baginda bagi melindungi diri dan juga sebagai tanda keberanian para sahabat yang sama berjuang bersama Baginda Rasulullah pada zaman dahulu bagi menegakkan agama Islam yang kita warisi kini. Jika berkesempatan, ayuhlah melawat ke Istanbul atau di mana-mana lokasi terkumpulnya barangan sejarah tamadun Islam untuk kita melihat sendiri bukti kewujudan Rasulullah SAW bersama para sahabat.