[Cover Story] Zizi Kirana: Kejar Bahagia Hakiki
Ayu Nadirah
5/22/2025
Kehidupan di dunia yang sementara mendesak setiap insan untuk melalui fasa penghijrahan yang memerlukan kekuatan jiwa dan emosi. Anak kelahiran Sabah, Zizi Kirana juga tidak terkecuali. Perubahan wanita ini dengan membawa imej baru telah mengubah persekitaran dan hala tuju hidupnya. Zizi sentiasa memohon kepada Allah supaya menjadikan dia seorang insan yang mampu memberi kebaikan dan manfaat kepada manusia lain. Insan ini juga sentiasa menantikan kehadiran Ramadan dan menyambutnya meriah dengan beribadah sambil bekerja. Bulan di mana berganda pahala dijadikan sebagai laluan mengejar bekalan akhirat sebanyak mungkin.
Baru-baru ini, Zizi telah mengeluarkan sebuah single terbaru berjudul Kejar yang berkisar tentang perjalanan istiqamah. Cerita di sebalik lagu ini dipilih sendiri Zizi dan team, sementara yang mengusahakan idea tersebut menjadi sebuah karya indah adalah Fahimi Rahmat bersama Firdaus Rahmat dan Mambang. Semoga ia menjadi ladang pahala buat Zizi dalam menyebarkan kebaikan kepada umum.
Ayuh teruskan membaca untuk mendekati pegangan hijrah Zizi dan suka duka dalam mengejar bahagia hakiki kurniaan Ilahi.
Boleh kongsikan sedikit perjalanan awal penghijrahan Zizi?
Zizi Kirana: Perjalanan hijrah itu bermula pada tahun 2017 ke 2018. Setiap kali tibanya bulan Ramadan, perkara yang paling semangat saya ingin lakukan adalah memakai tudung. Saya memang menyimpan niat itu pada setiap Ramadan. Biarpun selepas Ramadan saya belum bersedia untuk kekal berhijab, tetapi setiap tahun tanpa jemu saya akan mengenakan tudung sepanjang bulan puasa.
Sampailah pada tahun 2019, saya tergerak hati untuk teruskan berhijab. Saya rasa saya tidak mahu dedahkan aurat lagi. Inilah masa yang tepat. Niat dalam hati, saya buat semua ini kerana Allah. Saya mohon Allah bukakan saya ruang, jalan dan petunjuk yang benar. Berhijab ini menjadi titik permulaan untuk saya berhijrah sehingga sekarang.
Apakah perkara yang Zizi lakukan untuk menjemput hidayah?
Zizi Kirana: Sentiasa tetapkan niat betul-betul kerana Allah dan sentiasa berdoa. Saya biasanya meminta kepada Allah supaya berikan saya petunjuk dan bantu saya untuk perbaiki diri. Niat itu pula perlulah seiring dengan doa dan usaha.

Selain itu, saya juga banyak merujuk kepada yang lebih arif seperti Ustazah Asni, Ustazah Farha dan Ustazah Nur Hafiza. Kak Umie Aida juga selalu mengajak saya ke majlis ilmu. Berada dalam kelompok positif seperti ini banyak membantu saya, membuatkan saya rasa penghijrahan ini bukanlah suatu beban, malah adalah tanggungjawab saya sebagai seorang hamba Allah. Perkara ini amat saya perlukan untuk refresh diri dan hati, selain kekal istiqamah untuk jangka masa yang panjang.
Siapa yang sentiasa menyokong Zizi dalam proses penghijrahan?
Zizi Kirana: Saya bersyukur kerana sentiasa menerima sokongan daripada keluarga dan rakan terdekat. Saya pun bukanlah ramai kawan. Orang terdekat seperti pengurus saya dan beberapa teman, adalah antara mereka yang sentiasa mendorong saya untuk menjadi diri saya yang lebih baik daripada semalam.
Selain itu, setiap pagi pada waktu Subuh, ibu saya akan mesej bertanya sudah solat atau belum? Dia tidak pernah lupa meninggalkan pesan buat saya dan ini adalah sokongan yang amat diperlukan untuk kekal dengan perubahan baik yang saya jalani.
Boleh kongsikan satu kejadian yang memberi kesan cukup hebat dalam hidup Zizi?
Zizi Kirana: Ia berlaku sewaktu fasa Covid, di mana saya kehilangan ummi iaitu kakak kepada ibu saya. Kiranya arwah adalah ibu saudara saya. Saya rapat dengan dia sejak kecil lagi. Dia juga adalah antara insan yang sentiasa menyokong setiap langkah perjalanan saya. Dia adalah insan yang tidak putus-putus mengingatkan saya tentang perkara baik dan buruk. Juga selalu mengingatkan saya tentang solat dan mengaji. Namun ditakdirkan dia jatuh sakit dan meninggal dunia.
Perkara yang tidak diduga ini menjadi satu tamparan yang sangat hebat buat saya. Saya tidak pernah mengalami kehilangan yang begitu memberi kesan mendalam. Tambahan pula, saya sedang bekerja sewaktu menerima perkhabaran sedih itu dan tidak dapat segera ke Sabah pada waktu yang sepatutnya. Apa yang lebih memberi kesan kepada saya adalah mesej terakhir yang dikirim sebelum dia pergi menghadap Sang Pencipta. Dia mesej saya tentang kematian, tentang alam barzakh. Terdetik di hati, mungkin ini juga salah satu asbab Allah kirimkan hidayah kepada saya untuk lebih mendekatiNya.

Bagaimana Zizi mengatur jejak karier setelah tampil dengan imej bertutup?
Zizi Kirana: Saya dan pihak pengurusan agak memilih apa yang bersesuaian dengan pendirian dan imej baru saya. Kami juga perlu teliti dalam pemilihan lagu yang elok dan tidak bolehlah seperti dahulu, kan. Banyak yang mesti ditapis supaya perjalanan karier itu berjalan dengan lebih lancar tanpa mencalarkan imej yang menjadi pegangan saya kini.
Boleh Zizi kongsikan sedikit amalan dan doa harian yang biasa dilakukan?
Zizi Kirana: Biasanya selepas solat, saya akan membaca al-Quran, berzikir dan berselawat. Istighfar juga tidak tinggal. Selain itu, saya juga kerap berdialog dengan Allah. Setiap hari saya tidak jemu mengulang, Ya Allah Kau Maha Pengampun, jadi ampunilah aku Ya Allah. Itu sahaja. Setiap hari saya meminta dan terus meminta kepada Allah tanpa rasa jemu.
Apakah momen terindah sepanjang mengerjakan umrah?
Zizi Kirana: Saya pernah mengerjakan umrah sebanyak tiga kali. Umrah yang pertama pada tahun 2023. Pengurus saya yang menguruskan segalanya dan agak terkejut apabila diberitahu yang kami akan bergerak menunaikan umrah pada tarikh kelahiran saya. Mulanya memang agak nervous dan bercampur teruja. Sudah lama menyimpan impian untuk ke Makkah dan Madinah, menunaikan ibadah umrah.
Alhamdulillah perjalanan umrah kami berjalan lancar. Bermula dari atas kapal terbang apabila sudah mendekati Madinah, air mata mengalir deras. Sukar untuk jelaskan perasaan itu. Berada dekat dengan Nabi Muhammad SAW, berada dalam Masjid Nabawi dan dapat memasuki kawasan Raudhah. Allah Maha Baik kerana mengundang kami hamba yang penuh hina, yang banyak dosa ini. Seterusnya melangkah pula untuk menunaikan umrah, terlihat kebesaran Allah di hadapan mata.

Umrah kedua pula umrah DIY. Kebetulan saya ada misi di Syria pada bulan Ramadan. Suami saya, Yusuf juga kebetulan sudah berada di situ. Jadi dari Syria terus ke Makkah. Syukur sangat dapat berada di tanah suci sewaktu 10 Ramadan terakhir. Selain dapat juga sekali lagi menziarahi Rasulullah SAW.
Umrah kali ketiga baru-baru ini juga agak mengejut, di mana saya menerima pengesahan sehari sebelum berangkat. Saya berangkat bersama bapa mentua dan ibu mentua. Ia membuahkan pengalaman yang cukup berbeza dan dapat mengeratkan lagi hubungan kami. Inilah rezeki yang Allah kurniakan buat saya.
Nasihat Zizi buat mereka di luar sana yang ingin mengikut jejak langkah sama?
Zizi Kirana: Sentiasa ingat semula niat sewaktu mula-mula berhijrah. Kita mahu Allah berikan kita kebaikan, jadi hidup di dunia ini perlu dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik. Lakukannya kerana Allah dan bukan kerana manusia. Tidak mustahil dalam perjalanan hijrah itu, kita akan tergelincir sedikit. Itu lumrah seorang manusia yang penuh dengan kelemahan dan nafsu. Apabila sudah tersasar dari jalan sebenar, cepat-cepat istighfar dan kembali ke pangkal jalan. Mintalah kekuatan daripada Allah.
Lihat video temu bual eksklusif bersama Zizi Kirana:
Penulis & Penyelaras: Ayu Nadirah | Pengarah Kreatif: Yantie Basharudin | Fotografi: Umair Mohamed | Videografi: Kamil Azim, Arif Ismail, Muhd Firdaus | Pakaian Zizi Kirana: Fustaann, KALIMA | Solekan: Razzi Musa | Penata Hijab: Alia Rozlan