[Cover Story] The Melvins: Definisi Cantik Luar Dalam

Ayu Nadirah

10/2/2024

Meriah sungguh sesi penggambaran kami kali ini yang berlokasi di Nadayu 8 Ampang. Siapa yang tidak mengenali The Melvins? Popular dengan jenama kosmetik mereka sendiri, KEKASIH, adik-beradik Melvin terdiri daripada Syafiqa Melvin, Syatilla Melvin, Syifa Melvin, Syida Melvin dan Melveena Melvin. Sebaik sahaja tiba ke lokasi penggambaran, semuanya terlihat cantik dan segar biarpun tanpa secalit solekan pada wajah.

3_(1).jpg

Bisnes kometik yang indah diberi nama KEKASIH, bermodalkan hanya duit simpanan empat beradik. Biarpun modal tidak begitu besar, namun ikatan kekeluargaan yang utuh sesama mereka membuahkan jalan dan hasil yang patut dibanggakan kini. Melangkah ke tahun kelima telah mematangkan The Melvins. Impian terbesar untuk masa akan datang adalah ingin mengembangkan jenama KEKASIH ke persada antarabangsa. Mereka menyimpan hasrat dalam menyebarkan kebaikan produk yang dikeluarkan kepada kelompok yang lebih ramai. The Melvins yakin dengan adanya bahan berkualiti tinggi dan pensijilan halal, setiap produk jenama KEKASIH bakal menembus pasaran yang lebih luas, juga menambat hati ramai.

Sepanjang sesi temu bual berlangsung, kami dapat rasakan setiap adik-beradik Melvin ini dididik dengan baik sejak kecil. Karakter dan keperibadian mereka terzahir semula jadi. Semuanya menggambarkan betapa kuat pendirian mereka dalam mengorak langkah untuk menjadi wanita yang boleh dibanggakan dan menjadi contoh terbaik buat generasi muda. Tanpa berlengah lagi, teruskan membaca hasil temu bual ikhlas.com bersama The Melvins! 

7_(1).jpg

Ceritakan sedikit latar belakang jenama KEKASIH?

Syatilla: KEKASIH wujud pada tahun 2019. Sewaktu itu saya pun sudah tidak aktif berlakon lagi. Kebetulan, adik-beradik yang lain juga mempunyai masa lapang yang banyak. Kak Long (Syafiqa Melvin) pula waktu itu baru kehilangan suami. Idea nama KEKASIH datang sewaktu saya mengandungkan anak kedua, Sarimah. Tercari-cari idea nama yang sesuai untuk jenama kosmetik kami. Sedang baring atas katil jam tiga pagi, secara tiba-tiba perkataan ‘kekasih’ itu muncul dan terus saya mesej dalam group dan bertanya kepada semua. Semua setuju. Perkataan ‘kekasih’ itu sangat umum, membawa makna yang besar.

Syafiqa: Saya pula waktu itu sudah berjinak-jinak menjadi stokis dan belajar menguruskan bisnes kecil. Kemudian ramai orang bertanya, kenapa kami tidak menghasilkan produk sendiri? Orang luar nampak potensi itu pada diri kami, yang mungkin pada masa itu kami sendiri tidak sedar. 

9.jpg

Realiti bisnes adik-beradik yang boleh dikongsikan?

Syifa: Memang ramai yang mengatakan susah untuk melakukan bisnes bersama adik-beradik. Alhamdulillah, kami telah melalui kepayahan itu dalam lima tahun pertama. Bergaduh pun hanyalah berkenaan perkara kecil. Namun apa paling penting adalah kami dididik untuk jangan biarkan mata dan hati mudah dikaburi dengan wang ringgit.

Syatilla: Biarpun setelah sebulan ke dua bulan memasuki pasaran, kami berjaya dapatkan jualan tujuh angka, namun kami cepat-cepat ingatkan diri masing-masing supaya jangan terlalu fokus dengan duit yang ada di depan mata. Kami tidak mahu ada perbalahan berlaku disebabkan duit. Selama ini, alhamdulillah memang tidak pernah ada pergaduhan besar antara kami. Kalau bergaduh kecil pun, akan cepat reda dan kembali seperti biasa. 

Syafiqa: Bisnes dengan adik-beradik yang ramai ini memang ada cabarannya. Masing-masing ada idea dan perangai yang berbeza. Jadi kami memilih untuk berikan setiap orang tugas atau tanggungjawab tersendiri, supaya tidaklah semua perlu bercakap atau membuat keputusan dalam semua perkara. Untuk bertahan lama dalam pasaran, kena tahu kekuatan setiap individu dan setiap orang akan jaga skop masing-masing. Saya bertanggungjawab dalam bahagian pengurusan. Bahagian pemasaran pula diserahkan kepada adik-beradik yang lain.

10_(1).jpg

Syida: Kami sentiasa utamakan perbincangan dalam membuat sesebuah keputusan. Apabila semua telah mencapai kata sepakat, barulah ia akan berjalan. Perkara penting yang mesti diamalkan dalam bisnes adik-beradik adalah setiap daripada kami perlu saling mendengar dan mempunyai kata sepakat. 

Apakah tip atau rahsia menjaga kecantikan diri yang biasa diamalkan?

Syatilla: Sekarang saya amalkan banyak minum air kosong. Selain itu, jika mahukan kulit wajah yang kekal cantik dan segar, jangan sesekali tinggalkan pelembap dan juga sunscreen. 

Syida: Itu daripada segi luaran. Bagi kecantikan dalaman pula, seperti yang Syatilla katakan, kami sentiasa happy. Jaga dalaman diri dengan sentiasa berfikiran positif, happy dan jangan terlalu meratapi masalah yang menimpa. Jangan fikir berlebihan sehinggakan ia terlihat jelas pada wajah. 

Apakah didikan yang ibu bapa terapkan dalam hubungan kekeluargaan?

Syifa: Ramai yang bertanya, kami lima beradik yang kesemuanya perempuan, adakah tidak bergaduh? Apa yang kami sedar adalah ibu dan ayah mendidik kami untuk menjaga keakraban sesama kami sejak kecil lagi. Kami diajar untuk sentiasa berkongsi. Kami pula bukanlah berasal daripada keluarga yang senang. Selain itu, sejak kecil lagi, ibu dan ayah menganggap dan melayan kami umpama kawan mereka. Hubungan kami sangat rapat. 

Syatilla: Persekitaran kami membesar itu yang menjadikan kami rapat sehingga dewasa. Sekarang, perkara ini juga kami terapkan kepada anak-anak kami. Apa sahaja tanpa perlu berkira, mesti dikongsi sesama adik-beradik, sesama sepupu. Ada duit, boleh berkongsi. Sekiranya terdapat ahli keluarga yang memerlukan duit lebih, tolong beritahu. Ini yang kami amalkan dalam keluarga sehingga kepada anak-anak kami kini.

Hubungan kekal rapat kerana tinggal berdekatan antara satu sama lain?

Syafiqa: Mungkin kerana kami semua perempuan dan jarak umur pula tidak jauh, kecuali adik bongsu. Biasalah waktu kecil ada bergaduh, tarik rambut dan sebagainya. Sekarang hubungan kekal rapat, atas faktor menjalankan bisnes yang sama, selain rumah kami bersebelahan antara satu sama lain iaitu dalam kawasan perumahan yang sama. Setiap hari pasti akan melihat muka kesemua adik-beradik.

6.jpg

Syifa: Asalnya Kak Long yang membeli rumah di kawasan tersebut. Selepas itu, Syida dan Syatilla pula menyewa dan kemudian membuat keputusan untuk membeli rumah di situ juga. Saya pun terjebak sama. Sebabnya, kami mahukan semua anak-anak kami dapat membesar bersama. Agar mereka mempunyai hubungan rapat seperti kami adik-beradik sehingga mencecah dewasa. 

Bagaimana pula dengan hubungan suami masing-masing?

Syida: Alhamdulillah, kami dikurniakan suami yang supportive dan memahami setiap apa yang kami lakukan. 

Syatilla: Rezeki KEKASIH juga melimpah-ruah hasil daripada kesepakatan kami adik-beradik. Atas kesedaran ini, kami sentiasa berusaha untuk menjaga hubungan dan keakraban keluarga. Tidak semua manusia dikurniakan rezeki hubungan adik-beradik yang baik. 

Syafiqa: Suami kami pula tiada masalah untuk tinggal berdekatan. Tiada isu untuk tinggal dalam satu taman yang sama. Mereka juga faham yang kami adik-beradik perlu sentiasa berjumpa atas urusan kerja.

Syifa: Sebabnya, suami-suami kami dapat merasakan vibe yang menyenangkan sesama kami. Paling seronok adalah apabila kami dapat saling tolong-menolong dalam urusan menjaga anak ataupun berkongsi makanan. 

4_(1).jpg

Setiap insan pasti mengalami fasa penghijrahan dalam hidup, boleh kongsikan momen tersebut?

Syatilla: Bagi saya, perjalanan bisnes telah banyak mengajar saya untuk berubah menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan berpegang kepada komitmen. Kini saya mempunyai tujuan dan matlamat yang ingin saya capai dalam hidup. Setiap apa yang saya lakukan adalah demi keluarga, anak-anak dan bagi menyokong komitmen gaya hidup pilihan saya. Saya nekad untuk keluar dari zon selesa. Sedikit demi sedikit, saya mengubah gaya hidup yang mendorong saya untuk bekerja lebih keras berbanding dahulu. 

Syafiqa: Penghijrahan terbesar yang berlaku dalam hidup saya adalah apabila saya terpaksa berubah daripada seorang yang kurang bergaya, tidak pandai bersosial dan sangat introvert kepada diri saya yang sekarang. Dalam kehidupan, penghijrahan itu perlu dan jangan takut melakukan perubahan. Jangan selesa menjadi umpama katak di bawah tempurung dan tidak sedar kelebihan yang ada. Diri sendiri perlu bijak mencungkil peluang yang berada di hadapan mata.

Syifa: Saya sememangnya seorang yang kerap berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dek kewajipan mengikut pekerjaan suami. Sekarang tinggal di Terengganu, sebelum ini di Johor. Jadi wajah saya agak kurang dilihat bersama The Melvins. Ia terasa agak janggal kerana umum sudah terbiasa melihat kami berempat atau berlima dalam satu frame

Syida: Saya sekarang berusia 27 tahun. Saya berkahwin muda pada usia 22 tahun. Fasa penghijrahan yang berlaku dalam hidup saya adalah daripada seorang pelajar, kemudian menjadi seorang isteri dan mempunyai dua orang anak, bakal melahirkan anak ketiga. Peralihan fasa kehidupan ini yang menjadi pilihan saya dan saya hargai setiap momen. 

2.jpg

Melveena: Setelah tamat peperiksaan SPM, saya tidak terus menyambung pelajaran kerana memilih untuk bekerja dan mengumpul pengalaman bersama kakak-kakak. Saya juga baru berhijrah dengan mengenakan tudung pada tahun lepas. Ia dilakukan atas kerelaan sendiri.

Seterusnya, tonton pula video eksklusif cover story bersama The Melvins di YouTube ikhlas.com. Gelagat mereka berlima yang gemar mengusik antara satu sama lain cukup menghiburkan! Apa yang dipertontonkan di laman sosial The Melvins selama ini, begitulah mereka in real life.

Penulis & Penyelaras: Ayu Nadirah Pengarah Kreatif: Yantie Basharudin Fotografi: Umair Mohamed, Arif Ismail Videografi: Kamil Azim, Muhd Firdaus Team Editorial: Nurul Atikah, Alia Rozlan, Hanan Latip, Ismanti Penaja Lokasi: Nadayu 8, Ampang Selangor, Amal Realty Penaja Solekan: KEKASIH Penaja Busana: Petit Moi, Batik Amore, Minaz, Mis Claire Penaja Hijab: Minaz, ruhi