[Cover Story] Rico Rinaldi: Rekaan Signifikan Patuh Syariah

Ayu Nadirah

7/31/2024

Bulan Ogos ini ikhlas.com membawakan isu perkahwinan di mana kami memberi panduan buat bakal raja sehari dalam merancang majlis perkahwinan yang berpandukan syarak. Kami sempat menyunting Rico Rinaldi untuk edisi kali ini. Pereka fesyen tempatan ini amat terkenal dengan pendirian tegarnya dalam menghasilkan busana yang sopan dan menjaga batas aurat.

COVER OGOS 2024.jpg

Ibadah Haji Merubah Pegangan

Sewaktu menunaikan haji pada tahun 2022, ada satu persoalan yang sentiasa bermain dalam fikiran Rico. Sebelum ini dia tidak pernah berpeluang untuk bertanya kepada individu yang arif soal agama. Rico akui selama ini dia banyak menyiapkan rekaan baju yang terdedah aurat dan tampak seksi. Ia sememangnya bercanggah dengan ajaran Islam. Bagaimana dia akan berhadapan dengan Allah kelak? Apa yang dia akan jawab kepada Allah akan segala rekaan yang dia hasilkan dalam dunia fesyen bertahun lamanya?

“Saya berpeluang menunaikan haji bersama barisan jemaah yang hebat-hebat. Antaranya adalah Ustazah Asma’ Harun dan beberapa ustaz lain. Sewaktu dibuka peluang untuk bertanya kepada mereka, saya tujukan soalan ini khusus buat ustazah. Saya berkata yang saya ini adalah seorang pereka fesyen yang sudah lama berada dalam industri. Kalau saya diminta untuk menyiapkan pakaian seksi, macam mana?

"Ustazah jawab dengan mudah. Dia berkata semuanya akan ditanya kelak. Apa yang saya buat ini sedikit sebanyak menyumbang kepada perkara yang Allah murka. Biarpun saya telah melakukan akad dengan pelanggan bahawa saya tidak akan menanggung apa-apa setelah menyiapkan busana mereka, namun saya tetap akan ditanya Allah kerana saya memilih untuk menyiapkan rekaan yang tidak patuh syariah,” terang Rico mengenang kembali jawapan yang didambakannya selama ini.

Rico_Rinaldi_3.jpg

Tanpa berfikir panjang, Rico terus memberitahu pengurusnya untuk mengubah polisi bisnes iaitu tidak lagi menerima tempahan baju yang mendedahkan aurat dan tidak sopan. Dia tidak menunggu pulang haji baru hendak melaksanakannya. Mereka sudah biasa mengambil tempahan baju dengan elemen corset, sheer, tiada lengan dan ketat selama bertahun-tahun lamanya. Bermula detik Rico berpergian haji, semuanya berubah. Rekaan yang diambil semuanya terlihat sopan dan tidak sesekali menonjol keterlaluan.

Menurut Rico lagi kala diajukan soalan tentang pengalamannya sewaktu menunaikan haji, jejaka ini masih teringat akan momen paling penting di padang Arafah. Dia menggambarkan dirinya umpama anak kecil yang menangis teresak-esak meminta keampunan dan petunjuk daripada Allah. Biarpun berhadapan dengan cuaca panas terik dan dalam keadaan bersesak-sesak dengan lautan manusia, semuanya tidak dihiraukan.

Cabaran Mula Hadir Menguji Keimanan

Keputusan yang dilakukan Rico itu terdengar drastik. Sepanjang berada di tanah suci, dia tidak putus-putus berdoa semoga Allah permudahkan urusan rezekinya dengan perubahan mengejut itu. Ujian terus datang bertimpa sehinggakan jenama Rico Rinaldi hilang ramai pelanggan yang membatalkan tempahan. Deposit pula perlu Rico pulangkan kepada pelanggan. Namun Rico tidak cepat melatah dan tetap dengan pendiriannya.

Rico_Rinaldi.jpg

“Sepanjang mengerjakan haji, saya puas memohon kekuatan daripada Allah dan semoga dipermudahkan urusan rezeki saya untuk masa yang mendatang. Sebenarnya, pada awal saya fikir mungkin tiada isu besar akan terbit, tetapi dalam sekelip mata banyak dugaan dan cabaran mengetuk pintu bisnes perkahwinan saya. Kami hilang pelanggan yang mungkin merasakan keputusan saya itu tidak menepati apa yang mereka mahukan. Dugaan datang terus menerus. Saya perlu kuat.

“Syukur team saya mampu berlapang dada dengan keputusan saya. Selama ini, saya yang memberi arahan kepada pekerja saya untuk buat itu ini, umpamanya rekaan baju yang mendedahkan susuk tubuh dan aurat. Bayangkan macam mana saya nak berhadapan dengan Allah kelak, apa saya nak jawab?” jelas Rico lagi.

Rekaan Busana Patuh Syariah

Umum mengetahui yang jenama Rico Rinaldi ditubuhkan pada tahun 2007. Setelah tamat pengajian, Rico terus mengambil keputusan untuk mengeluarkan jenama sendiri. Mereka bermula di Kajang, kemudian berkembang dengan adanya butik di Bangi dan Plaza Damas. Kematangan Rico yang telah mencapai tempoh 18 tahun dalam industri fesyen jelas terserlah dengan karakter dan pendirian utuh dalam menghasilkan persalinan fesyen yang tidak melampau. Bermula dengan baju tempahan, kepada baju raya, kini jenama Rico Rinaldi melebarkan sayap dengan variasi produk seperti kasut, beg tangan, tudung dan kini koleksi baju ready to wear.

Setelah titik hijrah itu, Rico semakin percaya bahawa rezeki Allah sangat luas. Dia akui ramai menyukai sentuhan rekaannya yang patuh syariah. Allah juga membuka banyak peluang dan jalan untuk jenama Rico Rinaldi dalam memperkenalkan kepelbagaian produk fesyen kepada umum.

Rico_Rinaldi_2a.jpg

“Saya bukan sahaja menjaga rekaan pada busana wanita Islam, malah jika ada wanita bukan Muslim yang hendak menempah baju dengan kami pun saya akan pastikan rekaan itu tidak terdedah. Setakat ini memang tiada lagi tempahan baju yang berlengan pendek atau terbuka. Hakikatnya, untuk menyiapkan persalinan yang menutup aurat adalah lebih mencabar berbanding yang seksi. Ada batas dalam sentuhan rekaan itu sendiri.

“Identiti rekaan Rico Rinaldi adalah simple silhouette, potongan ringkas dan tidak mengikut bentuk tubuh. Namun masih ada sentuhan perincian seperti beading, sulaman, juga bermain dengan lace dan fabrik yang berbeza. Tiada yang pelik-pelik daripada kami. Semuanya rekaan yang sopan dan manis dipandang,” kata Rico.

Rico_Rinaldi_4.jpg

Persediaan Bakal Pengantin

Ketika diajukan soalan tentang apa yang bakal pengantin perlu sediakan sebelum berjumpa dengan pereka busana perkahwinan, Rico menegaskan agar mereka lakukan sedikit carian tentang apa yang disukai dan rekaan signature pereka itu sendiri. Menurutnya, jika bakal pengantin yang datang dengan tiada apa-apa persediaan, mudah juga bagi pereka untuk bebas berkarya dan menterjemah kreativiti kepada pelanggan. Sebaliknya, kalau bakal pengantin datang dan mempunyai beberapa idea setelah melakukan carian adalah bagus kerana mereka tahu apa yang mereka mahukan. Tetapi ada masanya Rico perlu bertindak dalam memberi pendapat sebagai pereka fesyen untuk menerangkan rekaan apa yang sesuai mengikut bentuk tubuh, tona kulit dan tema majlis itu nanti.

Rico_Rinaldi_2.jpg

“Biasanya saya mendapat inspirasi daripada pelanggan yang datang. Saya akan kenali dahulu cita rasa dia macam mana. Dalam rekaan busana perkahwinan, saya suka bermain dengan elemen tradisional minimal yang sepadan dengan abad dan budaya kita. Waktu paling tepat untuk menempah baju perkahwinan adalah tiga bulan sebelum majlis. Namun ada juga kami menerima tempahan di saat akhir sebab mereka perlu selesaikan urusan yang lain terlebih dahulu dan pakaian jatuh pada senarai terakhir.

“Proses menyiapkan sesuatu tempahan baju itu memakan masa kerana perlu berbincang, seterusnya tentukan jenis fabrik dan perincian, kemudian perlu fitting juga. Prosesnya, pelanggan akan datang berjumpa Rico dan saya akan lihat dahulu potongan badannya, kemudian saya boleh terus bayangkan jenis rekaan yang sesuai dan tidak sesuai dengan dia. Kita akan tengok di cermin. Masa itu juga saya perlu tahu ketinggian kasut yang dia mahukan. Kemudian, saya akan lukis rekaan baju yang sesuai bersama padanan fabrik dan perincian. Biasanya untuk fitting pertama tidak ada banyak perincian. Fitting kali kedua barulah akan lengkap semuanya,” terang Rico.

Rico_Rinaldi_5.jpg

Nasihat Rico Buat Bakal Raja Sehari

Rico menasihatkan agar bakal pengantin berikan tanggungjawab kepada pereka busana untuk berkarya. Seterusnya perlu tahu kemampuan dan bajet, jadi daripada situ mudah untuk pereka busana hasilkan rekaan, jenis fabrik dan perincian yang bersesuaian dengan bajet. Bakal raja sehari juga mesti lakukan sedikit carian tentang pereka fesyen itu. Adakah identiti dan rekaannya kena dengan cita rasa? Selain itu, mesti juga tahu tema majlis perkahwinan dan lokasinya. Busana yang pengantin gayakan perlulah saling melengkapi dengan keduanya.

Rico_Rinaldi_8.jpg

“Bagi majlis akad nikah, busana berona putih adalah yang paling sesuai. Kebanyakan pengantin sekarang sukakan potongan dan rekaan yang ringkas minimalis untuk akad nikah. Antara fabrik yang menjadi pilihan adalah shantung silk sebab ia terletak elok dan elegan. Dahulu kita banyak melihat perincian sulam, trend kini pula mengangkat elemen lace atau french lace dengan sedikit manik yang cukup untuk mencantikkan lagi busana itu. Untuk majlis persandingan pula, busana yang digayakan perlu mengikut konsep majlis. Kalau bertemakan tradisional, mungkin boleh bermain dengan fabrik songket dengan sedikit sentuhan lace moden,” jelas Rico.

Mengulas pula tentang trend masa kini yang memperlihatkan pengantin perempuan mengenakan pakaian kurang sopan di majlis akad nikah, Rico menegaskan bahawa pengantin dan ahli keluarga terdekat perlu menjaga kesucian majlis tersebut. Akad nikah bakal dihadiri ramai ahli keluarga yang berusia dan tidak lupa juga ustaz atau agamawan. Majlis ini adalah tuntutan agama yang sewajarnya wajib dihormati dengan berpakaian sopan dan tidak mendedahkan aurat. Pengantin perlu menghormati majlis agama dan tetamu yang hadir agar segala tindak-tanduk tidak mengundang fitnah di kemudian hari. Bagi Rico, sopan dan tertutup itulah yang lebih manis pada pandangan mata.

Rico_Rinaldi_7.jpgRico_Rinaldi_6.jpg

Lihat video eksklusif Cover Story bersama Rico Rinaldi:

Penulis & Penyelaras: Ayu Nadirah Pengarah Kreatif: Yantie Basharudin Arahan Seni: Afiq Bakiri Fotografi: Umair Mohamed Videografi: Kamil Azim, Arif Ismail Lokasi: Butik Rico Rinaldi Plaza Damas