logo

Skip to content

Skip to footer

[Cover Story] Keanu Azman: Metamorfosis Anak Muda

Ayu Nadirah

7/14/2024

Pengacara dan bekas penyampai radio Hitz, Keanu Azman, 27, terserlah dengan kepetahannya dalam berbicara. Mesra disapa Keanu, identitinya kerap kali menjadi persoalan ramai yang menyangka dia bukan berbangsa Melayu. Hakikatnya, dia mempunyai darah campuran Melayu dan Pakistan yang berasal daripada keluarga ibunya. Nama Keanu juga bukanlah nama rekaan yang dicipta untuk menarik glamor. Ia adalah nama asli jejaka ini sejak dia lahir iaitu Mohamad Keanudin bin Mohamad Azman. 

opt 1.jpg

Sebagai manusia yang sentiasa berbolak-balik hatinya, Keanu memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi atas jentikan hidayah dan kasih sayang yang dia rasai. Allah kini paling utama dan sentiasa didahulukan, biarpun ada perkara yang perlu dia korbankan. Sesuai dengan sambutan Maal Hijrah 1446H, ikhlas.com selongkar episod kehidupan yang membawa kepada penghijrahan Keanu sebagai inspirasi buat anda.

Hijrah Faktor Pengunduran dari Hitz

Keanu semuda usia 19 tahun telah menapak dalam dunia pengacaraan apabila dia menjadi wajah baharu dalam rancangan Feel Good Show di NTV7. Setelah itu, bakatnya mula dikenali ramai yang telah membuka peluang buat anak muda ini melebarkan sayap menjadi penyampai radio Hitz. Pengalaman selama enam tahun bersama radio telah banyak mematangkan Keanu dalam segala sudut kehidupan dan kerjaya. 

Apabila berada di puncak kerjaya yang stabil dan menangkap banyak populariti, Keanu membuat keputusan untuk melangkah pergi dari Hitz. Berita ini mengejutkan ramai apatah lagi para pendengar yang setiap hari setia mendengar celotehnya pada malam hari bersama Ili Ruzanna. Pengunduran ini telah lama difikir, sejak Covid-19 melanda negara lagi. Setiap hari dia berkira-kira dan berperang dengan perasaan itu yang membuatkan dia seikhlas hati memohon petunjuk daripada Allah untuk membantunya dalam membuat keputusan paling terbaik. 

“Saya rasa saya belum pernah berkongsi tentang ini dengan sesiapa. Saya tiada masalah langsung dengan Hitz. Biarpun di sana, 80 peratus adalah bukan Muslim, tetapi mereka menerima penghijrahan saya dengan baik. Ada masanya, mereka yang ingatkan saya kenapa belum solat lagi. Ia adalah tempat yang sangat seronok untuk bekerja. Namun mungkin kerana penghijrahan saya bermula sewaktu MCO lagi, sedikit demi sedikit ada perkara yang sudah tidak serasi dengan jiwa saya.

"Contohnya dalam Islam pun kita tidak digalakkan terdedah dengan muzik dan hiburan berlebihan. Saya akui yang saya masih berada dalam dunia hiburan, masih lagi bersama Astro Ria dan sebagainya, namun muzik secara spesifik yang perlu saya tinggalkan. Apatah lagi apabila terpaksa mendengar lirik-lirik lagu yang tidak elok, saya rasa tidak selesa untuk teruskan. Bertahun-tahun saya simpan perasaan ini. Saya sentiasa berperang dengan diri sendiri. Sering terfikir bagaimana nak tinggalkan Hitz yang telah menjadi tempat periuk nasi saya bertahun lamanya. Ia bukanlah keputusan yang mudah!"

DSC07621 copy.jpg
Keanu Azman mengenakan jaket Pestle & Mortar Clothing

“Pada bulan November 2023, sebelum saya berangkat menunaikan umrah pada Januari lalu, saya bersungguh-sungguh minta petunjuk dengan Allah sama ada untuk kekal atau pergi dari Hitz. Saya melakukan solat sunat istikharah setiap hari selama seminggu dengan harapan Allah pandu saya untuk buat keputusan. Takut memang takut masa itu, sebab perlu bersedia dengan apa sahaja petunjuk dan jalan yang akan Allah pilih buat saya. Ustaz pula menasihati saya untuk melakukan musyawarah juga iaitu berbincang dengan keluarga dan orang terdekat. 

“Setelah itu, petanda yang saya harapkan hadir tanpa diduga yang agak personal untuk saya kongsikan. Hal ini membuatkan saya terus beritahu bos yang saya nekad keluar dari Hitz, namun saya tetap hormat dan sayang mereka semua,” jelas panjang lebar Keanu yang terlihat dapat bernafas lega setelah membuat keputusan yang dia rasakan penting dalam perjalanan hijrahnya mendekatkan lagi dirinya dengan Allah dan Islam. Selanjutnya, Keanu yang menjadikan Alif Satar dan Ryan Seacrest sebagai idola dalam pengacaraan sejak kecil lagi, berkata dirinya tidak akan hilang daripada radar pengacaraan dan akan kembali berlakon juga dalam masa terdekat.

Persahabatan Keanu dan Ili

Perginya Keanu dari Hitz telah merobek hati ramai. Buktinya, pada hari terakhir Keanu bertugas, banyak panggilan pendengar yang mereka terima. Rata-rata berkongsi kesedihan akan kepergian Keanu. Orang yang paling sedih sudah tentu rakan sekerjanya iaitu Ili Ruzanna yang berada di Jepun sewaktu Keanu membuat keputusan untuk berhenti. 

“Saya bukanlah orang yang perasan diri ini popular atau ada ramai peminat. Tak sangka ramai yang terkesan dengan keputusan saya itu. Ada pendengar radio yang turut menangis. Pada masa itulah saya sedar betapa besarnya impak seorang penghibur kepada umum. Apa yang kami buat adalah connecting dengan orang luar,” kata Keanu yang menyatakan semua yang berlaku ini amat menyentuh hatinya.

Berbicara lanjut tentang hubungan baiknya dengan Ili, Keanu akui dia selesa berkawan rapat dengan Ili. Best moment dia di Hitz juga adalah dengan adanya Ili dalam sesi radio bersama. Empat tahun Keanu mengendalikan radio berseorangan dan kehadiran Ili sebagai penyampai bersama telah memberi nafas baharu ke dalam rancangan tersebut. Setiap hari terasa umpama berborak santai dengan sahabat baik dan bukannya ‘bekerja’. Hubungan yang rapat itu membuatkan setiap detik berada di Hitz dipenuhi dengan rasa gembira dan bukan paksaan untuk ke tempat kerja. 

DSC07843 copy.jpg
Keanu Azman mengenakan shirt dan seluar Pestle & Mortar Clothing

“Biarpun saya dan Ili berkawan sejak 2017 lagi, namun atas sebab rancangan radio ini yang menjadikan kami lebih rapat. Ili sudah saya anggap umpama keluarga. Adalah juga masa-masa yang kami suka bergurau kalau-kalau kami berdua berkahwin. Semua itu hanyalah gurauan sesama rakan. Saya sangat hargai sebuah persahabatan dan takut ia akan berubah jika ada perkara tidak enak berlaku. Tapi kalau ditakdirkan kami berjodoh, siapalah saya untuk menolaknya,” seloroh Keanu. 

Syukur Teman Rapat Turut Berhijrah

Ramai yang mengatakan untuk berubah ke arah kebaikan, seseorang itu perlu banyak bergaul dengan teman yang baik dan berada dalam kelompok yang mendorong menuju amal soleh. Keanu meluahkan rasa gembira dan bangga dengan penghijrahan Ili sebelum dia melangkah meninggalkan Hitz.

“Ramadan yang lepas, Ili menyatakan hasrat ingin mengenakan hijab sepanjang bulan puasa. Saya teruja dan menyokong tindakannya itu. Bagi saya bulan Ramadan adalah bulan terbaik untuk dia memulakan langkah hijrah, namun jangan terlalu tertekan dengan keputusan itu. Lakukan semuanya dengan ikhlas kerana Allah dan bukan sebab orang lain."

“Hari berganti hari, Ili semakin selesa memakai hijab dan pada pertengahan Ramadan, dia mahu terus memakai tudung. Saya sangat bersyukur! Ili beritahu saya buat pertama kali dalam hidupnya, dia merasakan dirinya selamat dan terlindung daripada mata-mata jahat di luar. Kaum lelaki juga terlihat lebih menghormati Ili dengan penampilan barunya. Ili juga sentiasa menjaga solat dan bertanya kepada saya bagaimana nak lakukan solat jamak sewaktu dia travel. Bagi saya kalau seseorang itu travel dan masih menjaga solatnya, bermakna iman dia sudah berada pada suatu tahap,” kata Keanu.

Betapa baiknya apabila dia meninggalkan rancangan radio itu, Allah gantikan dengan seseorang yang memiliki ciri seakan-akan Keanu yang masih kekal di sana untuk terus menyebarkan kebaikan Islam. Setiap perubahan berlaku dengan kuasa Allah yang memberi petunjuk ke jalan yang lurus.

Titik Terendah Hidup Membuka Peluang Hijrah

Keanu mengimbau kembali ke tahun 2019 di mana dia diuji dengan kemurungan yang agak teruk. Dia diserang insomnia dan anxiety yang kronik sehinggakan diri dihuni dengan pelbagai persoalan dan pernah menyalahkan takdir pilihan Allah. Pelbagai cara dilakukan dengan harapan dirinya sembuh, namun menuju jalan buntu. Dia sehingga terpaksa berjumpa pakar dan mengambil ubat untuk menenangkan diri. 

DSC07878 copy.jpg
Keanu Azman mengenakan shirt dan seluar Pestle & Mortar Clothing

“Ramai yang menasihati saya ketika itu untuk bersabar, ambil wuduk dan solat. Awalnya, mungkin hati saya belum lagi terbuka untuk semua itu. Saya anggap ini adalah penyakit saya dan jangan suruh saya buat itu ini. Namun masa berlalu, dan pada tahun 2021, diri saya semakin baik. Saya boleh tidur seperti biasa dan tidak perlu bergantung sangat pada ubat. Pada masa itu, satu perkara yang terdetik dalam hati adalah saya hendak berterima kasih kepada Allah. Setiap hari saya berdoa kepadaNya untuk diberi kesembuhan. Tiga tahun saya berperang dengan penyakit ini, meminta dengan sungguh-sungguh kepada Allah dan akhirnya Dia perkenankan,” jelas Keanu dengan nada sebak.

Siapa menyangka atas sebab mahu memanjatkan syukur kepada Allah, telah membuka lembaran baharu dalam kehidupan Keanu. Bermula daripada kembali menunaikan solat, perlahan-lahan Keanu mengajar diri untuk berdisiplin dan istiqamah dalam beribadah. Sujud pertama selepas sembuh benar-benar terasa lain. Keanu menangis dalam sujud sambil memohon sepenuh keampunan dan kesyukuran kepada Allah atas segala ujian yang diberikan kepadanya selama ini.

“Saya sering bercakap dengan Allah dan syukur diberi hidayah untuk belajar mengaji dengan ustaz. Saya juga berniat terus mendalami al-Quran dengan tadabbur. Bagi saya al-Quran adalah manual hidup umat Islam yang akan memandu hala tuju hidup kita. Bagaimana nak dipandu, kalau kita sendiri tak faham al-Quran? Saya benar-benar nekad mahu berubah sehingga kalau terlewat solat pun saya akan mula rasa resah. Saya juga mula menjaga wuduk dalam rutin harian, jaga pergaulan dan juga pemakaian. 

“Penghijrahan saya ini semakin berkembang dan ia sebenarnya hadir sedikit demi sedikit. Bagi saya untuk kekal istiqamah adalah dengan tidak buat sesuatu perkara secara mendadak. Takut-takut diri akan terasa penat dan kemudian kembali hanyut. Namun, perlu ingat juga jangan bertangguh untuk bertaubat dan berubah ke arah kebaikan, sebab kita semua tidak tahu akan hidup sampai bila,” terang Keanu tentang titik permulaan hijrah dalam hidupnya. 

DSC07763 copy.jpg
Keanu Azman mengenakan shirt dan seluar Pestle & Mortar Clothing

Pengalaman Umrah yang Tidak Boleh Dilupakan

Penghijrahan Keanu lebih bermakna apabila menerima panggilan Allah menjadi tetamu di tempat yang paling dirindui umat Islam seluruh dunia. Pertama kali mengerjakan umrah adalah momen terindah dalam hidup insan ini. Pelbagai perasaan bercampur-baur sewaktu pertama kali melihat Kaabah di depan mata. Tawaf pertama menjadi saksi gugurnya air mata Keanu yang turun tanpa henti. 

Kota Madinah pula membuahkan perasaan yang berbeza. Suasananya tenang dan Keanu turut menangis teresak-esak sewaktu menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi dan dapat menziarahi makam Nabi Muhammad SAW. Perjalanan umrah untuk kali kedua pula membuahkan air mata kegembiraan kerana dapat kembali ke tempat yang dirindui. 

BACA: [Tanya Ustaz] Kenapa Hati Manusia Lebih Terasa Dekat dengan Madinah berbanding Mekah?

Perubahan Besar dalam Rutin Harian

Sebaik mungkin, Keanu cuba untuk terapkan akhlak yang baik sebagai contoh tauladan kepada orang sekitar terutamanya golongan bukan Muslim. Dia sanggup berikan terjemahan al-Quran kepada rakan bukan Islam yang teringin untuk memahami agama ini. Bukan sahaja dalam soal ibadah, banyak juga perubahan lain yang diselit dalam kehidupan seharian. Contohnya, jika dahulu Keanu adalah seorang yang agak boros dalam berbelanja, kini dia memilih untuk lebih berjimat dan banyakkan bersedekah. 

“Selepas meninggalkan Hitz, saya memang berniat untuk banyakkan solat berjemaah di masjid, terutamanya solat maghrib dan isyak. Masjid menjadikan diri saya lebih tenang dan terasa berada di tempat yang selamat. Alhamdulillah Allah buka peluang ini kepada saya yang dulu tidak dapat saya lakukan kerana tuntutan kerja pada waktu malam. Saya memang nak kejar solat pada awal waktu dan berjemaah jika mampu. Selain itu, saya juga cuba kurangkan bercakap perkara tidak bermanfaat. Semua itu sudah tidak sesuai dengan jiwa saya. Lagi satu, saya lebih penyabar, apapun yang terjadi saya tahu ada hikmah di sebaliknya,” kata Keanu.

DSC07628 copy.jpg
Keanu Azman mengenakan jaket dan seluar Pestle & Mortar Clothing

Keanu juga berkongsi antara amalan sunat yang dia lazimi adalah solat sunat tahajud, dhuha dan istikharah. Menurutnya, setiap manusia perlu membuat keputusan dalam hidup. Tidak mungkin ia dapat dilakukan dengan mudah tanpa memohon pertolongan daripada Allah. Keanu akui dirinya rajin berkomunikasi dengan Allah dalam setiap hal. Banyak perkara yang berlaku dalam hidupnya, dia meminta petunjuk daripada Allah untuk melangkah ke haluan yang benar. Selain isu berkait pemergiannya dari Hitz, antara perkara lain yang dia pernah memohon petunjuk Maha Berkuasa adalah apabila dia ingin berkenalan lebih lanjut dengan seorang wanita sebelum ini. 

“Saya pernah mengenali seorang wanita dan ingin keluar dengannya. Sebelum kami berjumpa, saya melakukan solat sunat istikharah terlebih dahulu, supaya Allah dapat tunjuk apa yang patut saya tahu dan adakah orang itu baik untuk saya atau tidak. Kemudian, tibalah hari kami berdua bertemu. Dengan kuasa Allah, saya tidak menyangka semua perkara yang saya nak tahu tentang si dia, terkeluar semuanya pada masa itu. Jujurnya, dia tidak kena dengan saya! Pemikiran dia bercanggah dengan saya dan sukar untuk teruskan perhubungan itu. Daripada situ, saya sedar betapa hebatnya solat sunat istikharah."

“Saya mengimpikan seorang wanita yang simple seperti saya, baik hati dan menghormati orang tua. Wanita itu juga mestilah mencintai ibadah. Saya merasai kemanisan iman apabila melakukan semua kewajipan dan perkara sunat, jadi saya juga mahu pasangan yang mempunyai rasa yang sama. Tiada paksaan untuk beribadah, bangun solat sunat tahajud. Dalam Islam pun, kita perlu mencari pasangan yang sekufu. Tetapi saya masih belum berjumpa seseorang seperti ini,” jelas Keanu. 

DSC07853 V2 copy.jpg
Keanu Azman mengenakan shirt dan seluar Pestle & Mortar Clothing

Anak muda yang matang ini sangat rapat dengan neneknya yang dipanggil opah. Keanu sangat selesa bergaul dengan orang-orang tua seperti opahnya yang dia rasakan mempunyai banyak pengalaman hidup dan banyak perkara yang boleh diajar kepada golongan muda. Dia rajin pulang ke kampung halaman dan habiskan masa membaca al-Quran dan hadis bersama. Selanjutnya, Keanu juga melakukan penghijrahan dalam diet harian. Tubuh yang dipinjam Allah adalah kurniaan yang wajib dijaga dengan baik. Atas sebab itu, dia nekad menurunkan berat badan bermula tahun lepas demi kesihatan yang lebih baik. 

“Saya bermula dengan memotong pengambilan gula. Tetapi kalau orang hidangkan depan saya, saya akan jamahlah sedikit kerana menjaga adab. Saya jaga makan tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam. Makan dengan nutrien yang cukup dan tidak ada snek di antaranya. Diet saya ini sebenarnya menerima inspirasi DJ Nas-T yang telah sedarkan saya untuk jaga badan dan turunkan berat secara sihat,” jelas Keanu mengakhiri perbualan. 

Lihat video eksklusif Cover Story bersama Keanu Azman:

Penulis & Penyelaras: Ayu Nadirah Pengarah Kreatif: Yantie Basharudin Arahan Seni: Afiq Bakiri Fotografi: Umair Mohamed, Kamil Azim Videografi: Kamil Azim, Dhia Amjad Lokasi: Sinetone Studio Pakaian Keanu Azman: Pestle & Mortar Clothing

BACA: [Caver Story] Faizal Hussein: Naratif 'Hero' di Sebalik Tabir Bergelar Bapa