[Cover Story] Faizal Hussein: Naratif 'Hero' di Sebalik Tabir Bergelar Bapa
Ayu Nadirah
6/13/2024
Aktor Faizal Hussein, 57 menjadi pemecah gelanggang cover story yang pertama. Insan berjiwa seni ini tidak perlu diperkenalkan secara berlebihan. Cukup sekadar menyebut Gila Gila Remaja (1985), pasti ramai dapat mengimbau lagak Faizal yang memegang watak Azroy. Karakter yang diangkat sebagai ikon motor itu masih kekal menjadi sebutan pencinta karya tempatan sehingga ke hari ini. Berbicara pula tentang figura seorang bapa, nama pelakon ini bergerak seiring dengan bapanya iaitu seniman veteran, Hussein Abu Hassan. Dilahirkan dalam keluarga seni, Faizal banyak menjadikan bapanya sebagai idola dan sumber rujukan untuk kekal memegang title pelakon terhormat tanah air.
Momen Membesar bersama Arwah Bapa
Sewaktu ditanya bagaimana karakter arwah bapanya, Faizal dengan seloroh menyatakan dia saling tidak tumpah dengan arwah bapa. Keduanya memiliki karakter yang seakan sama. Mungkin kerana Faizal banyak mengikut bapanya bekerja, sedikit sebanyak naluri anak yang mahu dibentuk pasti menjadikan orang terdekat sebagai pemimpin dalam penentuan hala tuju karakter dan masa hadapan.
“Seperti orang lain, keputusan tentang pelajaran dan masa hadapan anak-anak biasanya seorang ibu yang tentukan. Bapa pula tugasnya untuk membawa makanan ke atas meja dan memastikan keperluan isteri dan anak-anak mencukupi. Arwah bapa seorang yang garang. Tetapi tidak dengan anak-anak, lagi-lagi dengan saya iaitu anak tunggal lelakinya. Saya memang rapat dengan arwah bapa sejak kecil lagi. Bahkan di usia remaja pun, banyak masa saya habiskan bersamanya. Saya berkahwin di usia yang agak lewat iaitu pada 37 tahun.
"Sebelum itu, saya banyak habiskan usia menjaga bapa yang sakit jantung dan buah pinggang. Hidup banyak tertumpu kepadanya, jadi tiada masa untuk memikirkan soal kahwin. Ini boleh dikatakan pengorbanan terbesar yang saya lakukan demi keluarga dan tidak pernah saya kesali,” kata Faizal yang juga anak kepada seniwati veteran Mahyon Ismail.
Tambah Faizal lagi, dia banyak didedahkan dengan rutin kehidupan pelakon terkenal sejak kanak-kanak. Ibu bapanya yang merupakan seniman dan seniwati disegani zaman itu, sering kali dikunjungi wartawan untuk ditemu bual dan melakukan penggambaran di rumah, terutama apabila tibanya bulan Ramadan.
“Sejak kecil saya memang mengikut mereka bekerja ke merata tempat. Press conference, persembahan atas pentas dan sebagainya. Saya akan duduk di belakang tabir, ibu dan bapa saya akan ke atas pentas melakukan persembahan. Saya sudah merasa berhadapan dengan beribu penonton sejak usia muda lagi. Apabila melangkah dewasa dan saya sendiri berada di tempat mereka, jadi agak senang untuk berhadapan dengan semua itu.
“Walaupun banyak pendedahan kepada dunia seni, pada awalnya saya tiada pun keinginan untuk menjadi seorang pelakon. Tidak pernah termimpi untuk berada dalam industri ini. Namun sudah takdir saya di sini dan kerjaya ini juga stabil dan terjamin, jadi semakin lama saya mula menanam misi yang jelas untuk terus melangkah jauh ke hadapan,” jelas Faizal.
Nasihat Arwah Bapa Menjadi Pegangan
Terlalu banyak momen indah bersama kedua orang tuanya dan nasihat daripada arwah bapa menjadi antara yang paling diingati sehingga kini. Kata-kata pedoman tentang kehidupan dan kerjaya lakonan daripada bapa tercinta tidak dianggap ringan. Bapanya kerap menasihati Faizal supaya jangan terlalu expose diri kepada dunia luar. Pegangan ini dianggap memiliki kekuatan tersendiri yang mana apabila seseorang pelakon itu tidak terlalu menonjolkan diri kepada umum, maka dia ada exclusivity yang tidak semua mampu menggenggamnya.
“Dahulu ada seorang primadona bernama Kasma Booty. Filem dia memang box office pada zaman itu. Bapa saya berkata yang orang luar sangat susah untuk berjumpa Kasma Booty, betapa eksklusifnya dia. Kalau ternampak sesekali pun, mungkin terserempak di dalam kereta. Jadi setiap kali filem primadona ini keluar, orang yang betul-betul meminatinya akan beli tiket untuk menonton, iyalah dekat luar memang susah untuk nampak dia, jadi orang ramai hanya boleh melihat Kasma Booty dalam filem,” ujar Faizal.
Selain itu, arwah bapa turut berpesan kepada Faizal untuk sentiasa menjaga nama baik keluarga walau apapun yang dia lakukan. Ketika di tempat kerja, tidak boleh ada sebarang masalah. Setiap pelakon perlu ada batasan yang perlu dijaga, jangan sampai sesiapa alpa dan melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sebagai anak seniman dan seniwati, Faizal sering berjaga-jaga dalam setiap tindak-tanduknya agar apa yang dia buat tidak menconteng arang ke muka keluarga. Perkara yang melibatkan hati dan perasaan sendiri juga dijaga dengan penuh rapi.
“Saya mengenali isteri saya sewaktu kami melakukan projek teater bersama. Sepanjang proses rehearsal dan show berlangsung, saya hanya memandang dia dari jauh. Kami tidak pernah bercakap, walaupun hati masa itu sudah tertarik padanya. Semuanya sebab teringat nasihat bapa tadi, jangan dekat tempat kita cari makan, kita ‘berak’ (buat onar) dekat situ.
"Jadi saya sanggup tunggu sehingga selesai teater barulah saya mendekati dia. Istimewanya isteri saya adalah dia tidak memandang saya sebagai seorang Faizal Hussein yang ramai kenali. Dia tidak hairan pun tentang populariti saya ketika itu,” jelas Faizal panjang lebar tentang isterinya, Suhaila Sulaiman yang juga adalah seorang pelakon.
Tugas Hakiki Seorang Bapa
Mungkin dahulu kita sering diingatkan tentang pengorbanan seorang ibu dan betapa pentingnya menghargai kehadiran mereka dalam hidup kita. Hakikatnya, figura bapa tidak sewajarnya berselindung di sebalik tabir. Besar peranannya dalam membentuk keluarga yang bahagia. Faizal yang juga bapa kepada dua orang anak ini akui pembahagian tugas keluarga di rumah memerlukan usaha sama dengan isteri.
“Kalau dahulu banyak tugasan rumah akan diberi kepada si ibu. Contoh paling mudah adalah kerja yang berkait dengan kekemasan kamar tidur. Ibulah yang biasa menukar cadar dan sarung bantal. Tetapi zaman yang kian maju ini, kita lihat kerja sebegitu tidak begitu sesuai lagi untuk dilakukan kaum wanita. Tilam berat dan memerlukan tenaga lelaki. Sekecil-kecil perkara macam ini menunjukkan banyak benda yang boleh dibuat bersama di rumah. Bukan hanya diletakkan pada bahu ibu,” jelas Faizal.
Menurut anak seni serba hebat ini, waktu dia tidak bekerja adalah hari paling sibuk sebenarnya. Biarpun anak-anak sudah menginjak ke usia 19 dan 16 tahun, namun naluri bapa sentiasa mahu menghantar dan mengambil mereka. Jika di rumah pula, Faizal akui anak-anak lebih rapat dengan ibu mereka. Namun, dia memainkan peranan good cop dan isterinya bad cop. Biasanya dengan si ibu, anak-anak akan diajar untuk menjadi lebih berdisiplin, ditegur tentang solat dan sebagainya. Mereka pula akan beralih kepada Faizal untuk melakukan sesuatu yang lebih enjoy atau untuk bertenang.
Cabaran Terbesar Kaum Adam
Besar tanggungjawab yang perlu digalas seorang lelaki apatah lagi apabila bergelar suami dan bapa. Menurut Faizal, perkara paling ketara adalah perkembangan dirinya dalam menjadi manusia yang lebih baik daripada masa lalu. Semuanya dilakukan demi menjaga keluarga dengan baik dan seterusnya menjadi suri teladan anak-anak.
“Bagi saya cabaran terbesar bagi seorang lelaki adalah untuk memastikan keluarga tidak terumbang-ambing dan perlu tahu peranan dalam keluarga. Namun semua lelaki pun akan melalui proses ini. Daripada tidak tahu apa, sampai menjadi pro dalam sesuatu perkara atas sebab menggalas tugas sebagai suami dan bapa. Setelah lafaznya ijab kabul, seorang lelaki akan melalui proses pembelajaran seumur hidup. Selagi diri ikhlas dalam melaksanakan kewajipan, pasti Allah akan tolong dan permudahkan.
“Banyak perubahan yang berlaku sepanjang tempoh menjadi ketua keluarga. Paling ketara adalah daripada sudut kerohanian. Jika dahulu solat atau puasa ada yang tinggal, sekarang mampu laksanakan penuh. Semuanya tidak berlaku dengan sendiri. Sudah tentu isteri juga memainkan peranan penting dalam proses ini,” terang Faizal yang menjadikan peranan sebagai ketua keluarga suatu yang dinikmatinya setiap detik.
Ego dan lelaki sememangnya sukar untuk dipisahkan. Namun, apabila kehidupan menerima tamparan yang berat, Faizal juga tidak terkecuali untuk merasa sedih. Baginya di luar kamera, dia adalah seorang lelaki yang susah untuk menangis. Kali terakhir dia benar-benar menangis mungkin 20 tahun yang lalu sewaktu menerima perkhabaran neneknya meninggal dunia.
“Saya masih ingat lagi, hari itu adalah hari perkahwinan saya, stay di honeymoon suite dan tiba-tiba dapat berita yang nenek saya meninggal dunia. Terus kami check out dan pergi uruskan jenazah. Tidak sempat berbulan madu pun. Bagi saya, apabila seorang insan terbiasa melalui banyak kesedihan dalam hidup, dia lebih mahir dalam mengawal emosi. Berbeza pula apabila berhadapan dengan kamera dan saya diperlukan untuk menjiwai watak sedih dan menitiskan air mata. Ketika itulah saya akan gunakan pengalaman sendiri seperti rindukan keluarga untuk air mata gugur dengan mudah,” jelas aktor versatil ini.
Prinsip Utuh dalam Seni Lakonan
Faizal yang baru-baru ini menyambut ulang tahun yang ke-57 sememangnya layak disanjung dek bakat malar segar dan pendirian hebat. Apabila ditanya mengenai rahsia bertahan lama dalam industri, Faizal jujur meletakkan keikhlasan dan kerendahan diri pada muka hadapan kamus kerjayanya. Setiap kesusahan dan ujian dalam berkarya itu Faizal anggap sebagai suatu cabaran untuk lebih maju. Setelah memenangi beberapa anugerah atas pencapaiannya, dia kini lebih cenderung dalam memilih watak yang sukar dan mencabar.
“Saya berpegang kepada prinsip mematuhi waktu. Jangan sesekali buat orang menunggu kita. Kena sentiasa senang bekerja dengan orang, jadi saya tidak meletakkan diri pada tahap yang terlalu tinggi. Saya biasa-biasa saja, bukanlah suatu nama besar yang orang nampak dalam industri. Peminat saya dari dulu sehingga kini juga begitu menghormati pendirian saya. Sepanjang karier, tidak pernah lagi saya menerima gangguan daripada peminat fanatik. Mungkin sebab saya kurang dedahkan diri kepada umum, tiada kontroversi, jadi mereka juga hormat saya sebagai aktor.
“Kalau bercerita tentang tahun 80-an atau 90-an, peminat dahulu tidak ekstrem seperti zaman sekarang. Pada masa itu, mereka tidak boleh terus sampaikan mesej kepada artis. Dahulu biasanya peminat akan beri saya hadiah seperti baju, lukisan dan yang paling banyak saya terima adalah surat cinta dan kad raya. Terhibur baca apa yang mereka tulis!” kata Faizal sambil ketawa kecil mengenangkan momen ketika dia menggapai populariti mencanak suatu ketika dahulu.
Berkata dalam mengakhiri perbualan, besar harapan Faizal agar dirinya kekal diterima peminat serta penonton drama dan filem lokal. Dia juga bakal hadir dengan beberapa drama baharu untuk stesen televisyen swasta antaranya adalah One Cent Thief 2 untuk Astro Original. Begitulah alunan hidup seorang insan seni yang tidak mengenal erti lelah dan putus asa dalam berkarya. Faizal tiada langsung niat untuk berhenti selama mana dirinya masih diperlukan dalam industri.
Lihat video eksklusif Cover Story bersama Faizal Hussein:
Penulis & Penyelaras: Ayu Nadirah Arahan Seni: Yantie Basharudin Fotografi: Umair Mohamed Videografi: Kamil Azim & Arif Ismail Lokasi: Pucks Coffee Pakaian Faizal Hussein: Petit Moi & Maison Toha