[Cover Story] Elfira Loy: Hamba Datang Menyahut PanggilanMu, Ya Allah

Ayu Nadirah

9/3/2024

Sudah berbulan masa berlalu, namun kesegaran emosi para jemaah haji masih dapat dirasai. Hajah Elfira Loy, 30 juga tidak terkecuali. Wanita ini sebak dan menitiskan air mata kesyukuran bercampur kerinduan kala bercerita soal perjalanan hajinya yang pertama tahun ini. Istimewa betul tetamu Allah yang seorang ini. Panggilan pertama mengerjakan haji terpaksa ditolak atas faktor keluarga, tetapi sayangnya Sang Pencipta kepada dia sehinggakan nama Elfira dipanggil buat kali kedua. Terpampang bukti Allah bersungguh memanggil Elfira yang membuatkan dirinya tekad untuk menyahut panggilan Tuhan Yang Maha Esa.

1.png

Tetamu Jemputan Istimewa

Mengimbau kembali detik awal Elfira menerima perkhabaran jemputan haji, wanita ini menyatakan bahawa dia bersama ibunya menerima panggilan daripada Tabung Haji. Namun mengenangkan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, Elfira terpaksa menolak kerana perlu meninggalkan keluarga selama 35 hari. Dia meneruskan kehidupan seperti biasa dan banyak membantu persiapan ibunya untuk berangkat haji. Tanpa disangka, segala persiapan juga sebenarnya dia lakukan untuk diri sendiri.

“Saya dijemput menunaikan ibadah haji oleh Kerajaan Arab Saudi sendiri. Namun pada awalnya saya telah menolak panggilan daripada Tabung Haji untuk pergi bersama ibu. Sewaktu majlis doa selamat ibu, saya ada perasaan yang bercampur-baur. Ada juga perasaan cemburu melihat betapa orang menyambut dan bergembira dengan keberangkatan jemaah haji. Masa itu juga saya berdoa agar Allah SWT panggil saya secepatnya dalam sebaik-baik keadaan.

“Setelah majlis tamat dan selesai solat maghrib, saya buka telefon dan menerima satu mesej jemputan menunaikan haji oleh Kerajaan Arab Saudi. Saya tidak berfikir panjang dan terus bersetuju dengan tawaran itu. Mungkin ini adalah petanda daripada Allah, asbab doa dan keyakinan saya yang bersungguh-sungguh. Kali ini memang tidak boleh tolak. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, biarpun saya hanya mempunyai lima hari untuk melakukan persiapan sebelum berangkat haji,” jelas Elfira.

10.png

Hikmah di Sebalik Persiapan Haji Bersama Ibu

Elfira akui jemputan Allah buat kali kedua benar-benar membuatkan dia sebak bercampur gembira dek terkenangkan betapa baiknya Allah terhadap dirinya. Apa yang paling menarik adalah apabila Elfira sendiri banyak membantu ibunya dalam menyiapkan kelengkapan haji.

“Biarpun pada awal saya telah menolak tawaran haji yang pertama, namun saya tetap bersama ibu dalam menyediakan keperluan haji. Contohnya, ibu pergi untuk potong jubah, saya hantar jubah saya sekali. Ada juga ibu kirim belikan skincare dan powerbank, saya juga belikan untuk diri saya sendiri. Pernah saya duduk bersama ibu dan dia menerangkan panjang lebar tentang ibadah haji. Saya turutkan sahaja dan mendengar dengan penuh minat. Tanpa sedar, rupanya saya sedang persiapkan diri untuk menjadi tetamu Allah. Setelah menerima undangan haji daripada Kerajaan Arab Saudi, saya lihat semula rupanya banyak barang yang telah saya sediakan dan ilmu itu juga sudah ada. Saya benar-benar tidak menyangka yang semua itu adalah perancangan hebat Allah sebelum saya memenuhi panggilanNya,” kata Elfira dengan nada gembira.

4.png
Busana: Fustaann

Layanan Baik Kerajaan Arab Saudi

Perjalanan haji hajah muda ini bermula di Jeddah dan dia menetap di sana selama beberapa hari, sebelum memasuki Makkah untuk menunaikan semua rukun haji. Perjalanan yang hanya memakan masa selama 10 hari membuahkan beribu kenangan yang sukar diungkap dengan bahasa yang mudah. Haji yang ditunaikan oleh Elfira adalah haji ifrad, sementara kebanyakan jemaah haji Malaysia menunaikan haji tamattuk yang memakan masa yang lebih panjang.

“Perjalanan haji itu pertamanya saya berada di Arafah. Hari Arafah ini adalah hari yang amat penting untuk para jemaah haji. Semua jemaah akan duduk sehingga maghrib. Selepas maghrib, kami bertolak pula ke Muzdalifah untuk bermabit sebentar. Ada juga jemaah yang tidur di sana dan ada yang selepas tengah malam akan bergerak. Saya memilih untuk terus bertolak dan melakukan pula tawaf dan saie. Setelah semuanya selesai, dibawa ke Mina dan melontar selama tiga hari. Kemudian kami pulang semula ke Makkah dan kembali semula ke Jeddah.

“Perjalanan haji ini hanya mengambil masa selama 10 hari sahaja, hanya untuk memenuhi jemputan media Kerajaan Arab Saudi dan ibadah haji. Ia adalah tempoh yang sangat singkat namun padat dengan pengisian. Saya berniat ihram dari dalam kapal terbang sehinggalah tamat ibadah haji,” terang Elfira mengenai perjalanannya dalam memenuhi setiap rukun haji.

Seterusnya, Elfira teruja berkongsi pengalamannya diberi peluang menjejakkan kaki ke beberapa tempat yang tidak dibuka kepada orang awam. Antaranya adalah Media Hub Arab Saudi. Di situ, mereka mengumpulkan semua wartawan dan media seluruh dunia. Dia diberikan banyak maklumat tentang haji tahun ini dan bagaimana besarnya usaha Kerajaan Arab Saudi dalam menambah baik kemudahan untuk keselesaan jemaah haji setiap tahun. Banyak perancangan besar daripada mereka.

Elfira turut memberitahu bahawa Kerajaan Arab Saudi boleh mengimbas jemaah yang tidak mendaftar di bawah mereka. Penggunaan biometrik membolehkan kamera mereka mengimbas setiap jemaah yang ada. Elfira juga bertuah diberi kesempatan memasuki Clock Tower, di mana dia boleh melihat seluruh kawasan Masjidil Haram dan Kaabah dari sudut pandang yang tinggi.

6.png

Perjalanan Haji yang Menginsafkan

Setiap kali orang bertanyakan tentang cabaran dalam tempoh menunaikan haji, Elfira jujur menyatakan dia sukar untuk menjawab soalan tersebut. Hakikatnya adalah kerana kumpulan jemaah undangan Kerajaan Arab Saudi dilayani dengan amat istimewa. Segala kemudahan dan makanan yang diberi adalah selesa serta di luar jangkaan.

“Saya rasa cabaran terbesar bukanlah sewaktu berada di sana, malah ia lebih tertumpu setelah saya pulang ke tanah air. Macam mana nak kekal istiqamah dan menjaga keistimewaan haji itu. Saya perlu menjaga dan melihat ibadah haji itu mabrur ataupun tidak. Dalam al-Quran, mabrur membawa maksud mendatar. Maksudnya, macam mana keadaan saya sewaktu pergi menunaikan haji dan selepas tamat haji perlulah sama, iaitu mendatar dan istiqamah. Cabaran terhebat adalah untuk kekal dalam fasa itu,” kata Elfira.

Perasaannya kini lebih kepada bersyukur setelah berjaya menjalani rukun Islam yang kelima. Sebenarnya apabila diberi kelebihan di sana bukanlah menjadi pendorong untuk berasa terlalu gembira kerana Elfira menjadi saksi kepada kesusahan ramai jemaah haji. Hatinya dirundung sedih dan susah untuk melupakan setiap kejadian yang berlaku di depan mata. Bagi Elfira, situasi yang dialami di bumi Arafah seolah-olah membentangkan kepadanya akan kejadian yang pasti berlaku di padang mahsyar kelak. Lautan manusia memenuhi setiap sudut dan penjuru padang Arafah. Biarpun perlu bersesak-sesak dengan cuaca panas bahang menikam kulit, semuanya tidak dihiraukan. Hanya satu tujuan utama tertanam di hati setiap tetamu undangan Allah iaitu memohon keampunan dan keredaan daripadaNya.

“Hari Arafah benar-benar mengajar saya banyak perkara. Ia adalah pengalaman yang saya tidak boleh lupakan. Benar orang kata hari Arafah adalah umpama berada di padang mahsyar. Saya berada di tempat media, jadi saya diberikan akses untuk melihat dari bangunan dengan ketinggian yang dapat melihat semua jemaah haji yang ada. Terlalu ramai orang, ia seperti lautan manusia, ada yang duduk di tepi jalan dan sebagainya, sedangkan kami ini duduk di tempat yang cukup selesa. Kami duduk dalam bangunan.

“Waktu itu terlintas di fikiran saya tentang apa sebenarnya yang saya buat sehinggakan Allah berikan saya kebaikan seperti ini. Hari-hari yang saya lalui di sana, saya pasti akan teringatkan wajah-wajah mereka yang bersusah-payah, berpanas dan meninggal dunia di depan mata saya sendiri. Melihat betapa ramai hamba Allah yang rela bermati-matian demi meminta pengampunan Allah. Semua ini adalah sebuah pengalaman yang sangat menginsafkan yang tidak mungkin akan saya lupakan,” cerita Elfira dengan nada sebak.

Momen Pertemuan dengan Ibu Tercinta

Semua sedia maklum yang ibu Elfira berangkat menunaikan haji terlebih dahulu sebelum dirinya. Setelah dua minggu berlalu, barulah Elfira menyusul. Melihat kepada video apabila dia akhirnya bertemu dengan ibu tersayang di bumi penuh berkat telah mengundang emosi sebak. Pertemuan indah ibu dan anak ini, di tengah-tengah kesibukan lautan manusia sememangnya boleh digambarkan seperti kegembiraan kita apabila disatukan semula dengan ahli keluarga di syurga Allah kelak.

“Masa itu memang susah untuk berjumpa dengan ibu kerana banyak jalan dan lalulan yang ditutup. Sewaktu orang di sana ingin keluar dan mencari maktab ibu saya, ibu pula tidak menjawab panggilan. Jadi saya terpaksa menggunakan platform Instagram dan bertanya sesiapa yang tinggal dalam maktab yang sama. Kebetulan mereka jumpa dan meminta saya menghubungi seorang kakak ini. Syukur dia jumpa ibu saya. Seterusnya, ibu dibawa untuk bertemu saya. Perasaan ketika itu sangat nervous sebab tidak tahu adakah mereka berjaya mengambil ibu saya, iyalah dengan talian telefon yang sekejap ada, sekejap tidak. Saya tertunggu-tunggu ibu saya dan alhamdulillah dengan izin Allah, kami dapat bersama akhirnya! Sudah tentu impian untuk mengerjakan haji ini adalah impian kami bersama, sudah lama kami niatkan. Jadi pertemuan ini adalah sangat indah dan bermakna,” ujar Elfira.

3.png
Busana: Fustaann

Doa Tidak Ditarik Nikmat Ibadah

Kebanyakan manusia mungkin mempunyai pendirian di mana mereka mahu menunaikan haji setelah mereka benar-benar bersedia atau menunggu masa tua. Namun tidak bagi wanita muda ini. Sewaktu Elfira melihat rakan selebritinya, Wany Hasrita menunaikan haji atas undangan Kerajaan Arab Saudi, dia pernah memohon kepada Allah supaya Allah turut menjemputnya berangkat haji dengan jemputan yang sama. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Maha Besar. Apabila hambaNya yakin dan percaya dengan doa yang diucapkan, biarpun hanya sekali, pasti Allah akan kabulkan pada waktu yang tepat.

Sehingga ke hari ini, Elfira selalu terfikir kenapa Allah berikan semua kelebihan ini kepadanya. Mungkin semua ini adalah berkat doa ibu atau hikmah di sebalik setiap kesabarannya selama ini. Setiap hari, tidak putus-putus ucapan syukur yang keluar daripada mulut Elfira. Jemputan haji ini terlalu istimewa, dilayan dengan baik, semuanya selesa dan tidak perlu membayar sesen pun.

“Semua perlu faham yang kita pergi haji bukanlah selepas itu perlu berubah secara drastik atau tidak berbuat dosa langsung. Kita hanyalah manusia yang penuh kekurangan. Tetapi kepergian haji adalah kerana ingin meminta pengampunan Allah. Kini saya faham dan hati sentiasa teringin pergi lagi dan lagi. Saya pernah mengerjakan umrah beberapa kali dan perasaan menunaikan haji adalah berbeza. Mungkin pergi umrah itu kita yang tentukan semuanya, tetapi apabila berangkat haji, saya rasa Allah betul-betul menjaga semua jemaahNya.

2.png

“Allah aturkan segalanya di sana. Segala doa yang telah dirancang untuk saya baca, semuanya tidak terbaca. Mungkin apa yang saya mahu doakan itu bukanlah yang terbaik untuk saya. Sewaktu hari Arafah, doa lain yang datang secara sendiri, semuanya adalah ilham daripada Allah. Setelah berangkat haji, saya sedar bahawa segalanya berlaku atas aturan Allah. Banyak perkara yang bukan lagi dalam kawalan kita sebagai hamba. Selama ini kita sememangnya tahu yang Allah sentiasa memerhatikan kita, tetapi apabila sudah berada di sana, saya terasa amat dekat dengan Allah. Perasaan itu sukar untuk diungkapkan.

“Setelah pulang ke tanah air, setiap kali menunaikan solat, saya pasti akan terasa seolah-olah diri saya travel semula kepada momen sewaktu mengerjakan haji, secara spesifiknya di padang Arafah. Saya berdoa kalau Allah mahu tarik apa-apa daripada saya, tolong jangan tarik saya nikmat ini iaitu nikmat yang saya rasa Allah sangat dekat dengan saya. Inilah doa yang saya minta sangat pada Allah setiap hari.

“Hal ini juga menjadi kekuatan dan menginspirasikan saya untuk mengadakan kelas memahami bacaan solat. Bagi saya, apabila kita faham setiap sebutan dalam solat, kita akan berada pada suatu tahap yang berbeza dalam solat. Kelas ini akan bersama Ustaz Abdul Muein dengan harapan ramai akan dapat pengisian untuk lebih khusyuk dalam solat,” terang Elfira.

7.png
Busana: Fustaann, Kasut: Larrieshoes

Hidayah dan Istiqamah Menurut Elfira

Elfira menganggap bahawa hidayah itu adalah kefahaman tentang agama iaitu sesuatu yang wajib dilakukan akan terus dibuat tanpa bertangguh. Banyak masa terluang dia habiskan dengan membaca dan menuntut ilmu. Baginya, ilmu yang akan mendorong seseorang ke arah yang betul dan kekal istiqamah. Wanita ini juga berguru dan berada dalam kelompok yang baik dalam proses hidayah dan hijrah. Jika selama ini Elfira banyak mendengar atau belajar melalui YouTube atau media sosial, tahun ini dia keluar dari kepompong itu dengan aktif menghadiri kelas tadabbur.

“Setelah tamat persekolahan, saya sedar yang saya wajib memakai tudung. Saya banyak membaca sehinggakan saya faham itu adalah kewajipan saya. Apabila mencecah usia 21 tahun, orang akan kata seronoklah kerana dapat kunci kebebasan. Tetapi saya takut dengan ujian yang akan hadir bersamanya. Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk memakai tudung kerana saya yakin dengannya saya akan lebih tahu batas dan berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk,” jelas Elfira lagi.

Sebelum menutup perbualan, Elfira sempat berkongsi rutin hariannya. Setiap kali setelah bangun tidur, dia akan pastikan dirinya ada satu bahan bacaan yang boleh dibaca. Dia juga pentingkan sesi berdoa dan banyak mengamalkan doa-doa para nabi yang mustajab. Paling penting bagi Elfira adalah seseorang itu perlu berdoa dengan tulus yang lahir daripada hati yang memohon kepada Sang Pencipta.

Lihat video eksklusif cover story bersama Elfira Loy:

5.png
Busana: Fustaann, Alat solek: Wardah

8.png
Busana: Fustaann, Kasut: Larrieshoes

Penulis & Penyelaras: Ayu Nadirah Pengarah Kreatif: Yantie Basharudin Fotografi: Umair Mohamed Videografi: Kamil Azim, Arif Ismail Penaja Lokasi: M Resort & Hotel Kuala Lumpur Penaja Solekan: Wardah Jurusolek: Fiqa Hafizi Penata Hijab: Faradyana Penaja Busana: Fustaann Penaja Kasut: Larrieshoes