
Untuk mencintai dan mengenali Islam, umat Islam perlu mengenali sejarahnya. Menurut pendakwah, Mohd Iqbal Zain, setiap umat Islam yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW mestilah mengetahui ciri fizikal Rasulullah SAW.
Bagi menyemarakkan lagi rasa cinta tersebut, kami akan kongsikan ciri-ciri fizikal kekasih Allah SWT ini bagi meningkatkan keimanan dan pengetahuan kita.
Jom kita kenali ciri-ciri fizikal Rasulullah SAW!
1. Tubuh dan Usia Nabi Muhammad SAW
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA., dia bercerita (tentang Rasulullah SAW), “Rasulullah SAW tidak terlalu tinggi dan tidak pula rendah, warna kulitnya tidak terlalu putih dan tidak pula terlalu merah, rambutnya tidak terlalu keriting dan tidak juga terlalu lurus. Allah Taala mengutuskan Baginda (menjadi Nabi SAW) ketika usianya mula mencecah 40 tahun. Baginda tinggal di Makkah (selepas dilantik menjadi Nabi) selama 10 tahun dan di Madinah juga 10 tahun. Setelah itu, Baginda diwafatkan Allah Taala ketika di awal usia 60 tahun. Kepala dan janggutnya tidak sampai 20 helai rambut berwarna putih (uban).
Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal, hari Isnin pada tahun Gajah iaitu tahun tentera bergajah Abrahah dari Yaman ingin menyerang Kaabah.
Baginda telah berdakwah di Mekah selama lebih 13 tahun dan kemudian berhijrah ke Madinah dan membentuk masyarakat di sana selama 10 tahun. Baginda menetap di Madinah sehinggalah kewafatan Baginda berlaku ketika berumur melebihi 60 tahun.
Menurut ulama, bilangan tahun yang disebut di dalam hadis di atas bukanlah perkiraan tepat, tetapi perkiraan yang digenapkan.
2. Kulit dan Muka Nabi Muhammad SAW
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA., katanya: “Rasulullah SAW merupaan seorang yang berketinggian sederhana iaitu tidak terlalu tinggi dan tidak pula rendah, fizikal Baginda adalah cantik, rambut Baginda tidak keriting dan tidak pula terlalu lurus, kulit (sedikit) kemerahan dan apabila Baginda berjalan condong ke depan.”
Rasulullah SAW memiliki kulit tidak terlalu putih dan tidak terlalu merah, maka ia seperti putih kemerahan.
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Ibrahim bin Muhammad yang merupakan salah seorang daripada cucu Sayidina Ali RA berkata, Sayidina Ali bin Abu Talib RA ketika menyifatkan sifat fizikal Rasulullah SAW, beliau berkata: “Rasulullah SAW tidak berperawakan terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Baginda berperawakan sedang antara kaumnya. Rambut tidak kerinting bergulung dan tidak pula lurus kaku, akan tetapi ikal berombak. Badan Baginda tidak gemuk, wajah tidak bulat tetapi agak bundar. Kulit Baginda putih kemerah-merahan. Anak mata pada kedua-dua mata Baginda berwarna hitam pekat dan bulu mata panjang atau lentik. Tulang pangkal bahu dan tulang penemu antara dua bahu adalah besar. Baginda tidak berbulu di keseluruhan badan, cuma terdapat bulu halus yang memanjang dari dada hingga ke pusat. Tapak tangan dan kaki Baginda terasa tebal. Taktala berjalan, Baginda berjalan dengan langkah kuat dan tegap seakan-akan turun ke tempat yang curam.”
Dari hadis di atas dapat disimpulkan bahawa badan Baginda bukan gemuk dan ada tulang rangka yang besar.
Pada wajahnya pula, mempunyai sepasang anak mata berwarna hitam pekat dan bulu mata yang panjang dan lentik. Wajah pula bukan bulat tetapi agak bundar.
Baginda tidak memiliki bulu secara keseluruhan badan, antaranya bulu halus yang memanjang dari dada sampai ke pusat dan mempunyai tapak tangan dan kaki yang terasa tebal.
3. Rambut Nabi Muhammad SAW
Maksudnya: Diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA., beliau menceritakan, “Rasulullah SAW merupakan seorang yang ketinggian sederhana, antara dua bahu Baginda adalah jauh dan lebar (yakni dada Baginda bidang), rambut jummahnya tebal (dari atas kepala) hingga ke bahagian bawah cuping telinganya (adapun dari bawah cuping telinga hingga yang mencecah bahu nipis sahaja), Baginda memakai hullah berwarna merah. Selamanya tidak pernah aku melihat sesuatu lebih indah daripada Baginda.”
Dari hadis di atas, Nabi Muhammad mempunyai rambut yang ikal dan panjang rambut Baginda melebihi telinga dan adakalanya mencecah dua bahu.
4. Ketinggian Nabi Muhammad
Dari buku Al-Itqan fi Ulumil Qur’an oleh Imam Jaluddin al-Suyuthi, peribadi Nabi Muhammad juga dijelaskan dalam hadis berikut ini.
"Nabi Muhammad tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Memiliki warna kulit yang tidak terlalu putih tetapi juga tidak terlalu sawo matang. Rambutnya tidak terlalu keriting dan juga tidak terlalu lurus." (HR. Bukhari Muslim)
Dapat disimpulkan bahawa Baginda tidaklah terlalu tinggi dan tidak pula rendah atau pendek. Baginda mempunyai ketinggian yang sederhana.
Nabi Muhammad SAW, seorang individu memiliki pengaruh besar dalam sejarah manusia dan Islam telah memberikan pedoman hidup, inspirasi dan perkembangan Islam.
Walaupun kita tidak dapat melihat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, melalui dengan penceritaan yang diberikan dapat membuat orang-orang Islam lebih mengenali kekasih Allah SWT ini.