logo

Skip to content

Skip to footer

Ayesha Syahira Kongsi Cara Berkomunikasi Dengan Allah

Ayu Nadirah

5/23/2024

Ayesha_Syahira_Kongsi_Cara_Berkomunikasi_Dengan_Allah.jpg

Sebagai manusia, kita biasa berbual dan meluahkan perasaan dengan seseorang, sama ada pasangan ataupun teman baik. Sudah menjadi lumrah untuk pergi kepada orang yang memahami isi hati kita. Namun, sejauh mana kita sebagai hamba Allah, berpegang dengan pendirian mendahulukan Sang Pencipta dalam semua hal yang kita jalani setiap hari? Apa saja yang ada dalam lubuk hati, tidak kira ia perkara yang membahagiakan atau menyedihkan, atau mungkin berhajat akan sesuatu, Allah menjadi tempat utama yang kita tuju.

Antara sifat Allah adalah Maha Mendengar. Mungkin jika terlalu banyak meluahkan atau meminta kepada manusia, kita akan dibenci. Namun, kesnya tidak sama dengan mengadu kepada Allah. Komunikasi dengan Allah dalam kehidupan harian sebenarnya cukup mudah dan dapat memberi ketenangan yang tak terjangka.

Baru-baru ini, kami berkesempatan berbual bersama Ayesha Syahira tentang bagaimana untuk berkomunikasi atau talk to Allah setiap masa, setiap hari. Jom baca lanjut, dengan harapan selepas ini kita boleh jadikan ia sebagai rutin yang sukar untuk ditinggalkan.

Ayesha_Syahira_Kongsi_Cara_Berkomunikasi_Dengan_Allah_(2).jpg

Ayesha Syahira adalah Mentor Doa dan Certified Muslim Coach

Dia banyak mengajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan Allah dalam kehidupan seharian, selain cara mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan al-Quran. Ayesha yang terkenal dengan panggilan The Quran Tag Girl juga telah menghasilkan beberapa buah buku berkenaannya.

Ada beza atau tidak antara doa yang kita biasa amalkan selepas solat setiap hari dan bercakap dengan Allah?

"Doa yang terbaik adalah doa yang Allah sebutkan dalam al-Quran dan Rasulullah SAW ajarkan. Apa saja perkataan yang dilafazkan atau terdetik di hati itu adalah doa sebenarnya, yang dilakukan dengan lebih kasual. Contohnya, doa nak beli kereta baru atau lulus temuduga. Semua ini adalah perkara yang anda perlukan untuk kelangsungan hidup di dunia. Namun, hakikatnya semua pun adalah sesuatu yang disebut dan didoa. Ia dilafaz atau diniat, dan disampaikan kepada Allah."


Bagaimana dan bila waktu untuk kita berkomunikasi dengan Allah?

"Tiada waktu yang spesifik untuk bercakap dengan Allah. Namun sudah tentu ada waktunya kita digalakkan untuk berdoa kerana ia adalah saat kita dekat dengan Allah seperti ketika sujud dalam solat. Ada juga adab dalam berdoa seperti berwuduk, menghadap kiblat dan menadah tangan. Tetapi ada masanya seperti ketika memandu kereta, anda tidak boleh mengangkat tangan untuk berdoa. Ia bukanlah bermakna anda tak boleh berdoa langsung. Atas sebab itu, kalau nak berdoa atau bercakap dengan Allah, boleh saja lakukan pada bila-bila masa, di mana-mana pun. Cakaplah apa saja yang dimahukan. Doa tidak ada syarat sah seperti solat. Selalulah berdoa kerana ia adalah ibadah yang paling mudah untuk dilakukan. Bercakaplah dengan Allah dan minta apa saja ketika melintas jalan, memandu kereta, dalam mesyuarat dan sebagainya."


Apakah perkataan yang sesuai kita bahasakan apabila bercakap atau berdoa kepada Allah? Ramai yang sudah terbiasa dengan perkataan 'kau, aku'. Tetapi ada yang mengatakan tidak sesuai bahasakan diri dengan Allah menggunakan 'kau, aku'.

"Soalan ini mengingatkan saya tentang perbualan saya dengan Yasmin Mogahed. Saya pernah bertanya adakah dengan menggunakan perkataan 'kau, aku' dan 'saya, awak' ketika berkomunikasi dengan Allah ada membawa sebarang perbezaan? Beliau mengatakan hanya dalam bahasa Melayu yang kata ganti nama itu membawa perbezaan. Tidak dalam bahasa lain seperti Inggeris. Tiada masalah untuk guna kata ganti diri apapun, asalkan anda selesa. Allah Maha Mengetahui akan segalanya. Doa adalah sangat universal. Tiada halangan untuk berdoa dalam bahasa apa pun. Doa itu bukanlah tentang bahasa, tetapi tentang apa yang membuat anda rasa dekat dan terhubung dengan Allah. Jadi pada pandangan saya, anda tak perlu terlalu fikirkan perkara ini. Apa yang membuatkan anda rasa selesa dan lebih dekat dengan Allah dalam melafazkan doa, itu yang perlu dibuat. Jika lihat terjemahan al-Quran pun, ia menggunakan perkataan aku."


Bilakah anda mula talk to Allah?

"Beberapa tahun yang lalu, saya diperkenalkan dengan guru yang banyak membimbing saya soal agama. Ketika itu banyak hal tentang agama yang agak berat untuk saya lakukan. Nak buat atau tak nak buat, sentiasa menjadi dilema dalam hidup saya. Tetapi antara satu perkara yang mereka sentiasa galakkan adalah berdoa. Sejak dari awal lagi, saya rasa selesa untuk berdoa atau berbual dengan Allah secara kasual. Ia memang membantu dalam perjalanan kerohanian saya, membuatkan saya rasa nak berubah ke arah yang lebih baik. Bila dapat rasa hubungan dengan Allah melalui doa, secara tak langsung saya menjadi lebih tenang untuk lalui hari dan berusaha untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik.

"Kalau bercakap tentang bila bermulanya rutin saya berkomunikasi dengan Allah, saya rasa sebenarnya kita semua memang sudah biasa dengan ini. Jika tidak ada orang ajar tentang berkomunikasi dengan Allah pun, memang fitrahnya kita ini mempunyai suara hati yang pasti terdetik menyatakan sesuatu kepada Allah. Orang dulu-dulu selalu berpesan untuk kita cakap perkataan yang baik-baik, kerana ia adalah doa. Sebab perkataan yang disebut atau terdetik di fikiran mempunyai kuasa yang sangat luar biasa. Perkataan atau ucapan yang baik akan menghasilkan kesan yang baik."


Adakah kita boleh spesifikkan doa? Atau adakah sesebuah doa boleh dianggap keterlaluan?

"Perkara paling penting dalam berdoa adalah bukan tentang perkataan yang anda luahkan. Kerana susah untuk berhenti meluahkan sesuatu yang betul-betul anda mahu secara spesifik, contohnya seperti nak bekerja di syarikat tertentu, gaji lebih lima ribu, rumah besar yang dekat dengan tempat kerja, berkahwin dengan lelaki yang mempunyai ciri tertentu dan sebagainya. Biarpun mulut cuba untuk tidak melafazkan, tetapi hati dan fikiran mesti akan terdetik juga. Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui isi hati kita. 

"Hakikatnya, pada pandangan saya cabaran terbesar untuk kebanyakan daripada kita adalah apabila kita telah berdoa secara spesifik, tetapi tidak dapat apa yang didoakan. Penerimaan kepada doa yang belum dikabulkan, itu yang ramai perlu belajar untuk redha. Kalau anda tak dapat apa yang didoakan, macam mana anda nak berhadapan dengannya. Sebagai seorang yang telah banyak kali lakukan perkongsian tentang doa, saya dapati ramai peserta atau pelajar saya yang kecewa apabila doa yang sering diulang-ulang, tidak dikabulkan Allah. Akhirnya, mereka berputus asa untuk berdoa. Mereka hanya minta yang terbaik. 

"Bagi saya, saya menggalakkan anda untuk berdoa secara spesifik, tidak kiralah ia perkara dunia atau akhirat, asalkan ia bukan sesuatu yang mungkar. Perlu juga ingat ketika berdoa, anda bukannya memberi arahan kepada Allah. Setiap doa yang dimohon itu menunjukkan fitrah manusia yang mempunyai nafsu dan keinginan yang pelbagai. Anda mengaku fitrah anda kepada Allah yang anda sukakan seseorang, nak berkahwin dan sebagainya. Apabila anda bercerita kepada Allah, itu bermakna anda menzahirkan fitrah sebagai seorang manusia.

"Mungkin anda menganggap doa yang tidak kunjung tiba itu adalah sebab doa anda tidak spesifik atau doa itu tidak bagus. Allah telah berjanji yang if you call upon me, I will answer you. Hakikatnya, tiada doa yang Allah tidak makbulkan. Allah akan beri pada masa, keadaan dan cara yang menurut Allah adalah yang terbaik untuk hambaNya. Sebab itu, anda kena belajar untuk mengenal Allah, supaya anda dapat bersangka baik apabila tidak atau belum diberikan apa yang anda mahukan. 

"Selain itu, tidak salah untuk berdoa tentang perkara keduniaan seperti mahukan gajet mahal, pekerjaan baik, rumah besar. Namun, anda perlu selalu bertanya kepada diri, jika anda dapat perkara tersebut, bagaimana ia boleh membantu anda untuk menjadi seseorang yang lebih beriman kepada Allah? Jika dapat duit yang banyak contohnya, anda akan gunakannya untuk apa? Adakah ke arah kemungkaran ataupun kebaikan? Adakah anda bersyukur dengan duit yang Allah kurniakan, atau kerap saja merungut duit tidak cukup?"


Adakah setiap doa perlu ditulis untuk memudahkan kita?

"Saya seorang yang tidak suka jika momen berdoa itu dilakukan dengan doa yang tidak teratur. Kita sudah terbiasa dengan hanya mengulang doa yang sama setiap hari. Doa yang biasa seperti memohon diberi keampunan, diberi rezeki yang baik dan sebagainya. Ia diulang berkali-kali setiap selesai solat. 

"Saya juga sama seperti ini. Namun itu dulu. Kini, saya akan tulis setiap doa saya dengan spesifik dan pecahkan kepada beberapa waktu untuk saya baca. Terutamanya pada waktu mustajab doa. Supaya apabila tibanya waktu tersebut, saya tahu apa yang saya ingin doakan sebab doa yang ditulis itu sudah saya karang dengan baik dan tersusun. Ia lebih kurang sama situasinya ketika kita pergi menunaikan umrah. Tentu anda akan bawa senarai doa yang akan anda panjatkan sepanjang berada di sana. Anda tak mahu rugi dalam berdoa, apatah lagi di tempat mustajab doa. Tak mungkin anda hanya nak berdoa agar diampunkan dosa sahaja. Mesti banyak lagi yang ingin anda mohon, ada juga orang lain yang anda mahu doakan untuk mereka. 

"Tujuan saya tulis setiap doa dengan baik adalah untuk memastikan apa yang saya baca itu ada susunannya, bukan ketika berdoa itu barulah teringat itu dan ini. Untuk doa harian, saya akan pecahkan kepada beberapa bahagian. Satu doa untuk diri sendiri, satu doa lagi untuk ibu bapa dan ada juga untuk suami. Ia juga dibaca pada waktu yang berbeza. Semua itu saya tulis dalam buku doa saya."


Apakah etika atau cara terbaik untuk berdoa?

"Mulakan berdoa dengan memuji Allah, kemudian selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Selepas itu selitkan nama Allah ketika memohon doa yang bersesuaian dengan namaNya. Seperti menyebut Ya Razzaq untuk memohon rezeki."


Apakah momen yang boleh dikongsi tentang perkara yang dibicarakan dengan Allah yang akhirnya Ayesha nampak sendiri perkara itu dikabulkan?

"Tujuan saya kongsikan pengalaman ini adalah untuk memberi motivasi kepada semua untuk terus berharap kepada Allah. Saya yakin semua orang pernah merasai momen doa dikabulkan Allah di waktu yang tepat. Antara yang boleh saya kongsikan adalah sekecil-kecil perkara sebenarnya, seperti terdetik mahukan makanan, terus Allah berikan. Perkara ini terjadi sewaktu saya menunaikan umrah. Selepas solat, saya rasa teringin makan Nasi Arab dan hati berbisik “Ya Allah, sedapnya kalau dapat makan nasi arab.” Setelah itu, rakan saya menjemput saya untuk makan di biliknya. Paling tak sangka, apabila menu yang tersedia adalah nasi arab! 

"Selain itu, ada juga suatu masa di mana kereta saya rosak dan saya hantar ke pusat servis. Tetapi mereka menjangkakan kos untuk membaiki kereta itu agak tinggi dalam ribuan ringgit. Mereka juga ada beri cadangan untuk cuba di bengkel lain dan jika kosnya masih tinggi, lebih baik jual dan beli kereta baru. Saya pun rasa agak teruja kerana dalam fikiran, mungkin inilah masanya untuk dapatkan kereta baru. Namun, bengkel lain pula memberi khabar positif dan dapat membaiki kereta itu dengan kos kurang seribu. Jadi impian untuk menukar kereta baru tidak kesampaian, sedangkan saya telah berdoa kepada Allah untuk permudahkan urusan untuk membeli kereta baru. Biasalah rasa teruja dan saya terus sampaikan hajat saya kepada Allah. Mungkin jodoh bersama kereta itu masih panjang, ia kembali berfungsi dengan baik selepas dibaiki. 

"Dua ke tiga tahun selepas itu, saya dan suami dengan tidak sengaja telah pergi melihat pameran kereta model baru. Tiada niat pun nak membeli. Kami berpeluang untuk test drive dan sales person cuba untuk yakinkan kami. Sewaktu nak balik, hujan sangat lebat dan kebetulan kami park kereta agak jauh. Jadi kami habiskan saja masa di dalam showroom dan sales person terus berusaha yakinkan kami dengan menyatakan kami boleh saja beri deposit dan jika urusan pinjaman tidak berjaya, deposit akan dipulangkan. Kami hanya ingin mencuba. Inilah takdir Allah buat kami, dalam beberapa minggu saja segala proses menjual kereta lama dan pinjaman kereta dipermudahkan. Inilah bukti kekuasaan Allah. Dia tidak berikan kami kereta baru pada awal doa kami. Namun, setelah beberapa tahun, Allah kabulkan, malah dengan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kami doakan dahulu. Alhamdulillah kereta ini lebih selesa dan kami dapat tepat pada waktu dalam kiraan Allah. Semua ini menunjukkan kebesaran Allah yang membuka mata saya untuk semakin merendah diri yang kita ini adalah hamba Yang Maha Besar."


Apakah perubahan ketara yang berlaku dalam hidup Ayesha?

"Setelah banyak mempelajari dan mendekati al-Quran dan hadis sejak sepuluh tahun ini, saya berasa lebih tenang dalam menerima ketentuan Allah. Kini tiada lagi rasa marah, kecewa dan putus asa jika doa tidak dikabulkan serta-merta. Saya mempunyai keyakinan bahawa Allah tidak meletakkan kita di dunia ini untuk membuat kita bersedih, murung sentiasa. Allah mahu kita berjaya dan bahagia. Setiap kali diuji, saya akan menganggap bahawa ini adalah proses di mana Allah mahu mengangkat darjat saya. Allah mahu saya faham sesuatu dan mendapatkan hikmah di sebaliknya. Jadi saya akan terus melangkah dengan sangkaan baik terhadap Allah sehingga saya jumpa apa yang ingin Tuhan sampaikan kepada saya. 

"Semua ini tidak terlahir sekelip mata. Untuk benar-benar mengenali Allah dan sifatnya, kita kena kembali kepada al-Quran. Sesungguhnya, cara Allah berkomunikasi dengan kita adalah menerusi al-Quran. Sementara cara kita berkomunikasi dengan Allah adalah dengan berdoa."

Seterusnya, untuk tahu pula tentang perjalanan Ayesha Syahira dalam mengenali al-Quran, anda boleh baca artikel ini: Dekati al-Quran Dalam Kehidupan Seharian