Tunggu 24 Jam Sebelum Buat Laporan Orang Hilang Adalah Mitos - Ketua Polis Negara

Ayu Nadirah

2024-07-18

KUALA LUMPUR - Orang awam tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan kes kehilangan ahli keluarga mahupun kenalan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. Menurutnya, dakwaan perlu menunggu sehingga 24 jam selepas kehilangan adalah mitos yang sering disebarkan banyak pihak tanpa asasnya.

"Tidak ada ketetapan atau undang-undang yang memaksa anda bersabar, bertenang atau bertahan dalam tempoh panjang. Ada yang kata perlu tunggu sampai 24 jam, 48 jam hingga 72 jam dalam keadaan gementar serta gemuruh. Ini mitos semata," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sinar_Harian_KPN.png
Kredit foto: Sinar Harian

Katanya lagi, jika sudah melakukan carian orang yang dirasakan hilang dan cuba hubungi tetapi gagal, anda boleh segera ke balai polis. Ini sebagai langkah awal bagi mengelakkan suatu insiden buruk berlaku terhadap individu yang dilaporkan hilang. Dalam pada itu, Ketua Polis Negara turut menasihatkan agar masyarakat terus memainkan peranan membantu menyalur maklumat mengenai kes orang hilang.

"Peranan masyarakat sangat dihargai dalam membantu pihak polis. Saluran di pelbagai medium kita hebahkan berkait kes orang hilang untuk orang awam bersama kita membantu siasatan kes," ujarnya.

Baru-baru ini, tular pertanyaan daripada warganet mengenai prosedur operasi standard (SOP) mengenai laporan polis yang perlu dibuat berkait kes orang hilang.

Sumber berita: Sinar Harian