[Temu Bual Istimewa] All Eyes on Rafah: Pendirian Tegar Ramona Zamzam dan Suami Asal Palestin
Ayu Nadirah
6/6/2024
Umum sedia maklum akan isu genocide di Palestin yang sangat hebat diperkatakan dan telah mendapat perhatian seluruh dunia. ikhlas.com berkesempatan menemu bual pelakon dan pengacara, Ramona Zamzam mengenai isu ini. Dia dilihat antara orang yang lantang bersuara tentang Palestin di media sosial. Untuk pengetahuan anda, Ramona berkahwin dengan jejaka yang berasal dari Gaza, Palestin dan pastinya isu ini lagi dipandang berat oleh mereka sekeluarga.
![[Temu_Bual_Istimewa]_All_Eyes_on_Rafah_Pendirian_Tegar_Ramona_Zamzam_&_Suami_Asal_Palestin.png](https://images.ikhlas.com/v3/assets/blt2a130c768c36b9df/bltc1b9b34a18add122/670f425d8b5fc83ad017af9b/Temu_Bual_Istimewa_All_Eyes_on_Rafah_Pendirian_Tegar_Ramona_Zamzam_&_Suami_Asal_Palestin.png)
Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 34, dan pasangan Rami Alashkar, 36, ditakdirkan bertemu dalam pertemuan yang tidak diduga yang akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin pada tahun 2015. Cinta yang disemai bersama cukup utuh walaupun berasal dari dua negara berbeza. Ramona yang juga adalah pelakon Malaysia yang mudah menambat hati ramai ini telah melahirkan zuriat pertamanya pada tahun 2017. Ivanna Alashkar menjadi permata hati pengukuh cinta Ramona dan Rami. Menurut Ramona, dia dan suami cukup terkesan dengan apa yang berlaku di bumi Palestin. Setiap hari tanpa jemu, mereka akan melihat perkembangan terkini yang berlaku di tanah kelahiran suaminya itu.
Bagaimana Ramona dan suami berhadapan dengan situasi yang sedang berlaku di Gaza?
Ramona: Sukar untuk berada dalam situasi kami. Saya diselubungi rasa bersalah. Syukur suami dan anak sentiasa berada di sisi, sekali dengan ibu dan bapa mentua. Kedua mereka tinggal bersama kami dan alhamdulillah tidak perlu lalui semua kepayahan di sana, kami pun tidaklah risau. Namun, itu bukan bermakna kami dapat berseronok di sini. Saya tahu keluarga pun selalu rasa down.
Kadang-kadang saya nampak raut wajah bapa mentua berubah sugul selepas menerima berita tentang Palestin, tetapi dia tetap cuba untuk teruskan hidup di sini. Suami saya pun susah tidur malam dan sangat terkesan dengan apa yang sedang berlaku di Gaza. Saya tahu mereka tidak okey, namun masih kuat untuk meneruskan hidup dengan baik.
Apa pendirian anda dengan kempen memboikot produk yang menyokong Israel?
Ramona: Saya memang 100 peratus positif dan menyokong tindakan memboikot produk Israel. Saya tidak mahu menjadi penyumbang kepada dana yang akan digunakan untuk mengebom manusia yang tidak bersalah di muka bumi. Saya tidak mahu dipersoalkan di akhirat kelak tentang semua ini. Saya mengaku, dahulu saya juga pernah menyokong jenama Israel. Namun apa yang terjadi pada 7 Oktober telah membuka mata dan hati saya macam mana Israel mengawal dunia, bagaimana mereka menggunakan kekuatan ekonomi dan kewangan untuk menghapuskan rakyat Palestin sedikit demi sedikit. Hikmahnya, sekarang lebih ramai mengalihkan fokus kepada jenama lokal yang tidak kurang hebatnya.
Apa pula pendapat anda tentang kempen blockout mereka yang terang-terangan masih menyokong jenama berkait Israel?
Ramona: Saya sendiri berada dalam industri hiburan dan content creator, sama seperti kebanyakan mereka. Jenama yang berselindung di sebalik sokongan kepada Israel ini sebenarnya sangat banyak dalam pasaran yang selama ini kita tidak sedar. Kalau orang ramai tidak aktif menyebarkan kempen di media sosial, mungkin ramai lagi masih leka. Pada pendapat saya, kalau boleh hentikan, cuba semampu boleh. Ramona faham yang ramai masih terikat dengan kontrak. Susah sebenarnya jika kita berada di kedudukan mereka, sebab itu adalah mata pencarian mereka selama ini. Tetapi slowly, saya rasa boleh cuba untuk kurangkan sokongan dan pendedahan jenama tersebut, teruskan sehingga betul-betul berhenti menyokong jenama Israel.
Selama ini saya juga pernah bekerja dengan jenama-jenama berkenaan. Bila sudah terbit kesedaran tentang isu Palestin dan Israel, saya terus menolak ajakan mereka untuk bekerjasama. Alhamdulillah saya masih boleh bertahan buat masa ini dan akan terus kuat untuk tidak menyokong mereka. Buat mereka yang masih tidak mahu berubah, saya tidak sesekali marah atau mengecam. Bagi saya semuanya bergantung kepada diri masing-masing.
![[Temu_Bual_Istimewa]_All_Eyes_on_Rafah_Pendirian_Tegar_Ramona_Zamzam_&_Suami_Asal_Palestin_2.png](https://images.ikhlas.com/v3/assets/blt2a130c768c36b9df/bltf5e6b75abae4fce2/670f42ce8b5fc89cf217af9f/Temu_Bual_Istimewa_All_Eyes_on_Rafah_Pendirian_Tegar_Ramona_Zamzam_&_Suami_Asal_Palestin_2.png)
Ramona ada pengalaman pergi ke Palestin?
Ramona: Saya tidak pernah ke Palestin dan sangat berharap suatu hari nanti saya dapat berpergian ke sana. Sebenarnya saya sering diajukan dengan soalan kenapa tidak pulang ke kampung suami apabila tibanya hari raya. Ramona faham, kebanyakan orang Malaysia tidak tahu bahawa orang Palestin yang telah keluar dari Palestin, seperti suami dan kedua ibu bapa mentua, tidak dibenarkan untuk masuk kembali ke negara tersebut. Mereka boleh travel ke seluruh dunia, tetapi tidak boleh menjejakkan lagi kaki ke bumi Palestin.
Sebab itu, saya memang tiada isu dengan suami setiap kali raya kerana suami dan keluarga sentiasa bersama saya di Malaysia. Jadi sebab terbesar saya tidak pernah ke sana adalah kerana suami tidak dibenarkan untuk balik ke Palestin. Israel yang menetapkan undang-undang ini, mereka berkuasa di sana. Mana-mana rakyat Palestin yang telah keluar, tidak boleh pulang semula ke Palestin. Jadi mereka biasanya akan memulakan kehidupan baru di dunia luar, walaupun masih memegang pasport Palestin.
Bagaimana keadaan keluarga suami Ramona sekarang? Boleh kongsikan sedikit keadaan dan emosi mereka?
Ramona: Alhamdulillah keluarga suami semua baik-baik sahaja. Kebanyakan daripada mereka sudah keluar dari Palestin dan kini berada di negara yang berbeza. Contohnya, abang suami Ramona sendiri berada di Rusia dan telah pergi pula ke France. Ada seorang kakak suami berada di Yemen, adik pula berada di Bulgaria. Mereka sentiasa mencari jalan untuk meneruskan hidup di dunia luar Palestin. Ahli keluarga berada di merata negara, jadi mereka sangat susah untuk bertemu.
Namun apa yang saya perasan adalah bonding mereka sangat kuat walaupun jarang berjumpa. Mereka tetap berhubung dan masing-masing faham dengan situasi yang menimpa. Saya sendiri terinspirasi dengan keberanian mereka dan bagaimana mereka tetap reda dengan jalan yang ditempuh. Susah untuk melihat mereka menangis. Saya lagi kuat menangis berbanding mereka apabila melihat berita tentang Palestin yang menyayat hati. Suami dan ibu bapa mentua tampak sedih, tetapi mereka amat kuat. Contohnya, ibu bapa mentua saya suka bercerita tentang kediaman dan tempat-tempat yang biasa mereka pergi di Palestin, biarpun semuanya telah musnah akibat bom. Tahap kekuatan mereka itu sangat luar biasa!
Boleh Ramona kongsikan serba sedikit sejarah keluarga suami yang berasal dari Palestin ini?
Ramona: Ahli keluarga suami saya telah keluar dari tanah Palestin sewaktu suami saya masih kecil lagi. Mereka sudah mengalami bermacam-macam kejadian buruk di sana. Antaranya, suami saya sendiri pernah ditangkap askar Israel dan diletakkan pisau pada lehernya. Bapa mentua bertindak pantas dengan mengambil senapang dan melepaskan tembakan ke tepi untuk menakutkan mereka, sekali gus menyelamatkan anaknya.
Hakikatnya, keluarga ini sudah terlalu penat berhadapan dengan pelbagai kekerasan dan ugutan, yang akhirnya mereka telah membuat keputusan untuk keluar. Daripada apa yang diceritakan, keluarga suami saya pernah berpindah-randah ke 26 negara berbeza! Pada akhirnya, suami saya dapat terus menetap di Malaysia kerana menyambung pelajaran di sini dan bapanya juga ada kerja di sini. Setelah kami bernikah, dia pun dapat kekal tinggal di Malaysia. Cuma masih ada seorang ibu saudara di Gaza yang tidak dapat kami hubungi untuk suatu jangka masa yang sangat lama. Jadi semua orang pun menganggap bahawa dia sudah tiada.
Apa peranan Ramona dan suami dalam mendidik anak untuk tahu sejarah dan asal-usul Palestin sejak kecil lagi?
Ramona: Kami suami isteri cuba untuk terangkan secara baik kepada anak kecil kami tentang asal-usul keluarga Palestin. Ibu dan bapa mentua juga memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan anak kami, Ivanna. Mereka banyak habiskan masa bersama Ivanna, bertutur dalam bahasa Arab Palestin dan bercerita tentang keluarga. Mereka juga gemar sediakan makanan asli Palestin. Selain itu, saya juga ada sediakan bahan pembelajaran tidak formal kepada Ivanna yang menunjukkan tempat yang ada di Palestin dan aktiviti mewarna bendera. Sekarang dia baru memasuki darjah satu. Apabila Ivanna semakin besar kelak, pastinya saya akan lebih dedahkan dia kepada isu semasa supaya dia berasa lebih dekat dengan Palestin.
- Teruskan sokongan anda kepada saudara Islam kita di bumi Gaza dengan menyumbang kepada Tabung Bantuan IKHLAS for Palestine: IFP