Penat Itu Tanda Kasih Allah

Nurul Atikah Sarji

2025-11-20

Dalam dunia yang bergerak semakin laju, rasa ‘penat’ sebenarnya menjadi ‘pakaian’ harian. Namun, menurut penceramah bebas, Ustaz Haris ismail , ‘penat’ sebenarnya salah satu bahasa halus yang Allah gunakan untuk mengingatkan hamba-Nya supaya sentiasa mengingati-Nya.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis ilmu, “Aku Perlukan Mu. Ya Rabb, Aku Penat” yang telah berlangsung di Hotel Royal Chulan, pada 15 November 2025 yang lalu yang dibawakan khas oleh Nun Ha, yang merupakan jenama pakaian ‘modest’ yang boleh dibawa solat.  

Selain daripada Ustaz Haris, terdapat juga barisan tetamu yang hebat seperti Neelofa, Nora Danish dan juga Ustaz Amin.

Template blog atikah  (38).jpg

Menurut Ustaz Haris, “Indikasi pertama… Kalau kita penat, itu tanda yang baik. Namun dalam realiti, penat sering membawa kita kepada keluhan. Ada yang merungut, dunia tak adil, atau lebih berat, kenapa Allah tentukan macam ni?”

Sebenarnya, keluhan yang menyalahkan takdir hanya membuka pintu ujian yang lebih besar. Beliau mengingatkan bahawa dalam apa jua keadaan, tak kiralah gagal, sakit, diuji seperti belum diberikan zuriat, respon pertama haruslah bersyukur.

Template blog atikah  (37).jpg

“Cakap pada diri sendiri, Alhamdulillah.” Bukan sebagai pasrah kosong, tetapi sebagai latihan mempercayai bahawa hikmah selalunya datang lewat dari jangkaan.

Satu lagi mesej penting yang disampaikan dalam majlis ini, adalah berkaitan dengan cara kita berdoa. Beliau mengingatkan bahawa Allah bersama dengan hambaNya. Jika doa disertai dengan rasa 'Allah takkan terima', maka itu yang akan kita rasa. Itulah sebabnya beliau menegaskan “Jangan pernah sesekali negatifkan doa kita.”

Ustaz Haris juga turut menyentuh dalam konteks rumah tangga.

“Penat bukan alasan untuk rasa renggang." Jadi setiap isteri perlulah untuk sentiasa menghargai suami yang pulang letih mencari rezeki kerana “Suami anda adalah suami yang dipilih Allah”. Penat dalam hubungan bukan petanda retak, tetapi tanda dua manusia sedang mencuba, berusaha dan sedang menjalani kehidupan.

“Perasaan penat itu, perasaan yang dirantai Allah”. Dalam dunia yang tidak pernah berhenti bergerak, mungkin itu satu-satunya peringatan yang kita selalu lupa bahawa Allah sedang menilai setiap usaha, walaupun kecil, walaupun penat.