Inovasi Lokal: Tealive Lancar Minuman Sachet Penuhi Gaya Hidup Semasa
Ayu Nadirah
6/5/2025
Tealive terus mengorak langkah jauh ke hadapan dengan melancarkan rangkaian minuman sachet 3-dalam-1 pertamanya. Jenama minuman popular ini hadir dengan varian teh susu, kopi dan coklat dengan rasa setaraf kafe, pastinya boleh dinikmati pada bila-bila masa dan di mana jua.
Inovasi Tempatan Kekal Relevan
Pelancaran ini telah berlangsung di IOI City Mall dengan kehadiran bekas menteri dan podcaster terkenal, Khairy Jamaluddin yang juga penyokong kuat inovasi dan keusahawanan tempatan.
“Perjalanan Tealive daripada kiosk ke rumah pengguna bukan sekadar evolusi perniagaan, tetapi perubahan gaya hidup. Ini adalah detik kebanggaan bagi inovasi Malaysia. Kita bukan sahaja mengeksport produk, tetapi juga gaya hidup dan identiti kita,” kata Khairy.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bryan Loo pula menyifatkan pelancaran ini sebagai fasa baharu buat Tealive sebagai usaha untuk memastikan jenama ini kekal relevan dengan perubahan gaya hidup masa kini. “Kami mahu menjadikan rasa kegemaran Tealive lebih mudah diakses ramai. Rangkaian 3-dalam-1 ini membawakan detik istimewa Tealive ke dalam rutin harian; sama ada ketika dalam perjalanan, di tempat kerja atau berehat di rumah,” kata Loo.
Rangkaian baharu ini akan mula dijual secara eksklusif di AEON dan cawangan Tealive di seluruh negara serta platform e-dagang mulai 15 Jun, sebelum diperluaskan ke lebih banyak saluran runcit pada Julai. Setiap kotak dijual pada harga RM12.90 dan mengandungi lima hingga enam sachet yang dibuat menggunakan bahan premium untuk rasa yang kaya, berkrim dan asli. Barisan penuh termasuk:
1. Teh Susu: Teh Susu Signature, Teh Matcha, Teh Tarik
2. Kopi: Kopi Signature, Caramel Macchiato, Kopi Hazelnut
3. Coklat: Coklat Signature, Coklat Gelap, Coklat Hazelnut
Loo berkata, “Kami tahu sachet ini perlu lebih daripada sekadar enak. Ia perlu membuahkan pengalaman bermakna dengan setiap tegukan. Maka kami melabur dalam mendapatkan bahan berkualiti tinggi dan profil rasa yang menyerupai apa yang anda nikmati di semua cawangan kami.”
Minuman sachet Tealive ini sejajar dengan landskap FMCG yang kompetitif. “Kami membina Tealive sebagai jenama gaya hidup, bukan sekadar produk. Hubungan ini memastikan pembelian berulang dan kesetiaan jangka panjang. Tambahan pula, ia bukan sahaja tentang kemudahan, tetapi menunjukkan bahawa produk buatan Malaysia setaraf dunia. Menyokong jenama tempatan bukan sahaja tindakan patriotik; ia adalah pilihan bijak apabila kualitinya terbukti hebat,” tambah Loo.
Khairy turut menyokong kenyataan tersebut dengan menambah, “Kita perlukan lebih banyak jenama Malaysia seperti Tealive. Menyokong jenama tempatan bukan sekadar semangat patriotik, ia menyokong pekerjaan, impian dan masa depan ekonomi kita."
Majlis pelancaran ini turut menyaksikan pembaharuan menu yang menarik. Bagi pelanggan yang mencari pilihan lebih ringan, Tealive perkenalkan kategori baharu iaitu teh susu ringan, direka khas untuk penggemar teh yang mementingkan kesihatan.
Minuman kegemaran ramai, Bang Bang, kembali dengan formulasi baharu yang lebih kaya dan berkrim, manakala teh Da Hong Pao dan siri Snowy baharu menambah pengalaman rasa premium. Hal ini membuktikan bahawa Tealive menghasilkan minuman yang sesuai dengan selera dan kehendak semua!
Sebagai pelengkap kepada pengumuman produk, Tealive turut mengumumkan kerjasama eksklusif bersama jenama tempatan Malaysia bagi mengeluarkan barangan edisi terhad. Kolaborasi ini diraikan bagi menghargai kreativiti, warisan dan kebanggaan Malaysia.