ikhlas.com Tunaikan Impian Budak 46 Melihat Kaabah Selagi Masih Dapat Melihat

Marini Mat Zain

2026-08-21

Bagi Muhammad Ammar Zulkha Helmy atau lebih dikenali sebagai Budak 46, impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan melihat Kaabah bukan sekadar sebuah perjalanan, tetapi hasrat yang sangat dekat di hati. Dikenali menerusi kandungan video gerak perlahan di media sosial, Ammar kini berdepan retinitis pigmentosa, iaitu keadaan mata yang boleh menyebabkan penglihatan semakin merosot dari semasa ke semasa.

Mengetahui impian Ammar untuk menunaikan Umrah, pasukan ikhlas.com hadir ke rumahnya di Pulau Pinang dengan membawa satu kejutan yang tidak disangka. Pada awalnya, Ammar menyangka kunjungan tersebut adalah untuk membuat ulasan set bagasi ikhlas.com bagi kandungan TikToknya. Namun, di sebalik kolaborasi itu tersimpan berita yang jauh lebih bermakna, ikhlas.com menghadiahkan Ammar pakej Umrah Premium Musim Sejuk yang akan berangkat pada 5 hingga 15 November 2026.

1.jpg

Menurut Ustaz M. Iqbal Hanif Mohamed Rusdi, Ketua Mutawif dan Penasihat Shariah ikhlas.com, kejutan tersebut bukan sekadar sebuah kolaborasi kandungan. “Ammar telah lama berdoa untuk mendapat peluang menunaikan Umrah dan hari ini, kami gembira dapat menyampaikan berita bahawa beliau akan menjadi tetamu Allah. Insya-Allah, impian dan doanya akan menjadi kenyataan.”

Lebih istimewa, ikhlas.com turut menjemput Helmy Salleh, bapa Ammar, untuk bersama-sama menunaikan Umrah. Menurut Ustaz Iqbal, kehadiran bapanya di sisi Ammar diharapkan dapat memberikan lebih keselesaan dan ketenangan sepanjang perjalanan. Buat Ammar pula, peluang ini amat bermakna kerana beliau berharap dapat melihat Kaabah selagi masih dikurniakan penglihatan.

“Impian saya memang untuk menunaikan Umrah dan melihat Kaabah sementara saya masih mempunyai penglihatan. Walaupun suatu hari nanti saya kehilangan penglihatan, saya akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan,” kata Ammar.

Bagi ikhlas.com, perjalanan ini bukan sekadar membawa seorang jemaah ke Tanah Suci, tetapi menjadi sebahagian daripada usaha merealisasikan sebuah impian yang telah lama dipanjatkan kepada Ilahi.