Dari Doa ke Baitullah: Umrah 1000 Asnaf Jadi Realiti
Nurul Atikah Sarji
2025-07-15

Tangisan kegembiraan, pelukan syukur dan senyuman penuh makna mewarnai suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Terminal KLIA 2) apabila kumpulan pertama penerima program Umrah 1000 Asnaf anjuran ikhlas.com selamat berlepas ke tanah suci. Seramai 15 orang asnaf terpilih telah memulakan langkah pertama dalam merealisasikan impian suci yang selama ini hanya mampu disimpan dalam doa.
Program ini dilaksanakan dengan tujuan membuka ruang kepada golongan kurang berkemampuan untuk menunaikan ibadah umrah kerana ini merupakan peluang yang jarang dinikmati mereka dek kekangan kewangan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin, misi ini bukan sekadar membantu memenuhi hasrat spiritual individu asnaf, tetapi juga untuk menyuntik semangat baru kepada mereka yang sering berhadapan dengan cabaran hidup. “Kami mahu bawa harapan, bukan sekadar menaja perjalanan. Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak dilupakan,” katanya.
Antara peserta terpilih adalah Muhammad Alif Ajmal Hamidan yang menyimpan impian untuk menziarahi pusara ibu bapanya di Makkah sejak sekian lama. Menurutnya, peluang ini bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan.

“Mak dan ayah meninggal dunia di Makkah. Ayah bekerja di sana, mak pula selepas bersara guru, pergi temankan ayah di sana. Kami adik-beradik tinggal di sini. Tahun 2018 mak pergi dahulu, kemudian tahun 2022 ayah pula menyusul akibat serangan jantung. Sejak itu, saya selalu berdoa supaya dapat ke tanah suci. Kalau bukan untuk diri sendiri pun, sekadar ingin menziarahi kubur mereka.
"Saya isi saja borang itu. Dalam hati, saya cakap, kalau Allah berkehendak, mesti Dia permudahkan. Tetapi saya tidak meletakkan harapan tinggi, saya cuma mencuba nasib. Selepas dua bulan, pihak ikhlas.com telefon, ingin berjumpa dan lakukan saringan. Kemudian mereka beritahu yang nama saya terpilih. Saya terus terdiam. Rasa tak sangka,” kata Alif dengan nada sebak.
Penerima seterusnya, Nor Nadia Md Saion dari Chow Kit turut berkongsi kegembiraan dan rasa sebaknya kerana terpilih menjadi tetamu Allah menerusi kempen ini.

“Ketika itu, waktu bulan puasa, ikhlas.com dengan kerjasama satu badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang mencari beberapa orang asnaf untuk ditaja umrah. MasyaAllah, mereka mencalonkan nama saya dan terpilih. Syukur tak terhingga. Gembira tak terhingga. Syukur sangat kerana ini bukan rezeki yang mudah. Syukur kerana Allah panggil saya, Dia terima saya. Walaupun bukan duit saya, tetapi Dia hadirkan dengan orang yang menaja.
"Rezeki ini bukan senang. Kalau orang kaya sekali pun, kalau dia ada duit banyak sekali pun, kalau Allah tak panggil, memang tidak akan sampai,” ujarnya dengan perasaan terharu.
Jemaah seterusnya, Irfan Tee yang merupakan seorang mualaf turut berkongsi kegembiraannya untuk menunaikan ibadah umrah.

“Saya yakin ini kehendak Allah. Sebab Allah yang pilih. Saya terkejut kerana pihak ikhlas.com memberi tawaran ini. Kita ikut saja cara Nabi Muhammad SAW buat. Apa yang Allah larang, kita kena jauhkan. Solat paling penting. Saya berharap ikhlas.com dapat terus membawa asnaf mengerjakan umrah,” kata Irfan.
Inisiatif Umrah 1000 Asnaf ini dijangka akan berlangsung dalam tempoh satu tahun, dengan beberapa kumpulan akan dihantar secara berperingkat. Menerusi kempen ini, ikhlas.com dan rakan kolaboratifnya berharap dapat menyebarkan lebih banyak kebaikan dan membuka jalan untuk masyarakat lebih prihatin terhadap nasib golongan memerlukan.
Semoga usaha ikhlas.com ini menjadi contoh kepada lebih banyak organisasi untuk memperluas kerja kebajikan mereka melangkaui sempadan kebiasaan. Diharapkan juga setiap langkah para jemaah umrah asnaf ini di tanah suci menjadi bukti bahawa apabila kita berbuat kebaikan dengan ikhlas, tiada apa yang mustahil di dunia ini, hatta untuk menggapai impian ke Baitullah.


Masih sempat untuk anda calonkan asnaf kepada kami untuk dibuat penilaian seterusnya. Boleh daftarkan di sini: Borang Pencalonan Umrah 1000 Asnaf.