[Daily Kurma] 'Speed Dating' Tidak Wajar Dipromosikan
Nurul Atikah Sarji
5/23/2024
Mencari pasangan hidup atau berkahwin adalah sunnah Nabi Muhammad SAW yang sangat digalakkan dalam Islam. Hal ini berkait rapat dengan fitrah dan keinginan semula jadi manusia yang ingin mempunyai pasangan. Bahkan, usaha ke arah mencari jodoh merupakan satu perbuatan murni yang perlu dilakukan dengan berlandaskan syarak dalam agama Islam.
Namun begitu, baru-baru ini telah timbul isu satu program yang dikenali sebagai ‘speed dating’ yang telah pun berlangsung di sebuah kafe di ibu kota. Walaupun sebenarnya aktiviti 'speed dating' ini telah lama dianjurkan di sini namun menjadi tular kerana kini semakin banyak program seperti ini diadakan. Program ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dan pelbagai soalan khususnya daripada sudut pandangan Islam.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘speed dating’?
‘Speed dating’ membolehkan seorang peserta berkenalan antara satu sama lain dan ketika berlakunya program ini, setiap wanita diberikan masa tertentu untuk berbual dengan seorang lelaki. ‘Speed dating’ ini merupakan satu acara yang berasal dari Los Angeles, Amerika Syarikat yang dipanggil sebagai New Year’s Calling yang bermula pada tahun 1998. Ini merupakan program khas bagi individu bujang.
Adakah ‘speed dating’ dibolehkan dalam Islam?
Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun tampil di laman sosial Facebook beliau, menjelaskan bahawa konsep ‘speed dating’ perlu dilihat teliti dari sudut pandang syarak kerana terdapat perkara yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan sama ada aktiviti ini dibolehkan atau tidak dalam ajaran Islam.
“Wanita pertama berkenalan dengan lelaki pertama, kemudian selepas tamat masa, dia akan teruskan dengan lelaki seterusnya. Boleh jadi tiga lelaki akan suka perempuan yang sama dan boleh jadi perempuan tadi suka pada lelaki yang lain."
“Proses ini jelas tidak mengikut landasan Islam dalam bertaaruf. Islam sangat meninggikan maruah dan sifat malu antara kedua-dua pasangan”, katanya dalam laman Facebook beliau.
Ustazah Asma Harun menegaskan bahawa mahukah hubungan yang suci dimulai dengan sesuatu yang hanya dengan ‘berborak’ sedangkan agama Islam menyediakan cara dan alternatif yang lebih terjaga, selamat dan terhormat untuk kedua-dua pasangan berkenalan.
Beliau juga menzahirkan perasaan yang sangat merisaukan ekoran dengan ‘trend’ ini, lebih-lebih lagi jika kita melihat ruangan komen penjelasan mengenai proses ‘speed dating’ ini berjalan kerana ini merupakan pertemuan secara berdua-duaan tanpa dihadiri oleh orang yang lebih tua atau dipercayai.
“Sedangkan Islam menganjurkan apa jua pertemuan bagi yang mahu berkahwin perlu dihadiri oleh seorang orang tengah agar maruah kedua-duanya terjaga dan tujuan kepada sebuah perkenalan itu mendapat redha Allah SWT,” jelasnya.
Dalam Islam, terdapat banyak cara yang lebih selamat dan patuh syarak untuk mencari jodoh. Antaranya melalui ‘ta'aruf’ melalui keluarga atau kenalan. Proses ini melibatkan ahli keluarga atau kenalan dalam proses ta'aruf (perkenalan) dapat membantu menjaga adab dan batasan pergaulan. Keluarga dapat menjadi perantara yang memastikan proses ini berjalan dengan baik dan mengikut syarak.
Ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai proses ‘ta'aruf’? Anda boleh mendengar podcast Kopi Bersama IKHLAS bersama dengan Taaruf Coach, Aiman Azlan melalui pautan ini.
Selain itu, anda juga boleh mencari jodoh dengan menyertai majlis ilmu atau aktiviti keagamaan. Dengan melibatkan diri dalam majlis ilmu atau aktiviti keagamaan boleh menjadi platform untuk berkenalan dengan individu yang mempunyai niat yang sama iaitu mencari pasangan hidup yang beragama dan berakhlak.
Yang terakhir, anda juga boleh menggunakan khidmat perkahwinan Islam. Terdapat banyak agensi perkahwinan yang beroperasi mengikut prinsip-prinsip Islam. Menggunakan khidmat agensi ini dapat membantu individu mencari jodoh dengan cara yang lebih teratur dan mengikut syarak.
Sebagai kesimpulannya, ‘speed dating’ perlu diteliti dari sudut hukum Islam. Sekiranya ia dijalankan dengan menjaga adab dan batasan pergaulan, serta mempunyai tujuan yang jelas dan serius, mungkin ia boleh dipertimbangkan. Namun, perlu diingat bahawa ada banyak cara lain yang lebih selamat dan patuh syarak untuk mencari pasangan hidup dalam Islam. Mematuhi syarak Islam adalah penting untuk memastikan keberkatan dalam usaha mencari jodoh.