[Daily Kurma] Peliharalah Kesucian Agama, Bukan Hanya Sekadar Mengejar Populariti

Nurul Atikah Sarji

5/24/2024

Template_images_for_blog_(1).png

Dalam era digital ini, keinginan untuk mencari populariti dan mencipta ‘content’ yang menarik seringkali mendorong individu, terutama di kalangan anak muda, untuk melanggar batasan agama. Namun, penting diingat bahawa dalam usaha mengejar pengiktirafan atau populariti, kita tidak seharusnya menggadaikan nilai-nilai agama kita. 

Ustaz_Dusuki.png

Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menzahirkan perasaan bimbang beliau, dek kerana terlalu banyak anak muda pada ketika ini memuat naik kandungan atau ‘content’ yang melanggar syariat Islam dalam media sosial mereka. 

“Agama adalah landasan yang memuliakan kita, seperti yang ditegaskan oleh Saidina Umar, kita dimuliakan oleh Allah kerana kita adanya Islam. Siapa yang menghilangkan diri dia daripada Allah, Allah akan hina."

“Lalu, dalam konteks masyarakat terutamanya anak muda pada zaman ini, baik lelaki mahupun wanita, jangan sesekali kita mengejar ‘content’ atau populariti sampai kita mencampuradukkan pergaulan lelaki dan juga wanita,” katanya, eksklusif untuk ikhlas.com

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila ada di kalangan anak muda memuat naik kandungan lelaki dan perempuan Islam berada di satu rumah. Ini merupakan satu isu yang sering diabaikan iaitu batasan pergaulan antara lelaki dan wanita. 

Walaupun kegiatan seperti tidur bersama di tempat terbuka dengan adanya pengawasan kamera 'CCTV' mungkin dianggap sebagai selamat, tindakan tersebut tetap bertentangan dengan prinsip-prinsip agama. 

“Agama Islam telah menetapkan batasan yang jelas mengenai pergaulan antara lelaki dan wanita untuk menjaga kehormatan dan maruah setiap individu. Kita harus memahami dan menghormati batasan ini, agar tidak terjerumus ke dalam maksiat.”

Beliau juga paham bahawa anak-anak muda hari ini memang terkenal dengan kreativiti mereka, terutamanya dalam mencipta 'content' di media sosial. Namun, kreativiti ini harus disalurkan ke arah yang positif dan sesuai dengan ajaran agama. 

“Kreativiti tidak sepatutnya menjadi alasan untuk melakukan maksiat atau melanggar hukum agama. Sebaliknya, gunakanlah kreativiti untuk memuliakan Allah SWT, menyebarkan kebaikan, dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama,” katanya lagi. 

Sebagai umat Islam, kita harus sentiasa ingat bahawa agama adalah asas yang memuliakan kita. Dalam mengejar populariti dan mencipta 'content', kita perlu memastikan bahawa setiap tindakan kita selari dengan ajaran agama. Kreativiti harus digunakan untuk jalan kebaikan dan bukan untuk kemaksiatan. Dengan bimbingan dan tindakan yang tegas dari Jabatan Agama Islam serta kesedaran masyarakat, kita dapat membentuk generasi muda yang bukan sahaja kreatif tetapi juga taat kepada perintah Allah SWT.