[Daily Kurma] Ini Sebab Kubur Suspek Serang Balai Polis Diasingkan
Ayu Nadirah
5/23/2024
Johor Bahru: Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan bahawa kedudukan kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga menyebabkan dua anggota polis terbunuh, perlu dikebumikan berjauhan dari kubur orang awam yang lain. Keputusan itu hasil daripada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang Jumaat lalu, yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Mesyuarat itu bagi membincangkan status kematian anggota polis dan cara pengebumian suspek yang mati ditembak dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat lalu. Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam kenyataan hari ini, berpendapat tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek. Jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian. Jenazah juga hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.
"Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek, apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek. Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek atas apa yang telah dilakukannya," katanya dalam kenyataan berkenaan.
Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi Jumaat lalu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan parah. Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian. Koperal Mohd Hasif Roslan yang dilaporkan parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Jenazah penyerang insiden berdarah Balai Polis Ulu Tiram di sini, awal pagi Jumaat lalu, dilaporkan dikebumikan pada jam 12.30 tengah hari di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram di sini. Pengebumian yang hanya dihadiri oleh beberapa orang penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis yang mengawal ketat keadaan sekitar.
Sumber berita: Berita Harian