[Daily Kurma] Ibadah Haji Mengajar Erti Kesederhanaan - Perdana Menteri

Ayu Nadirah

6/23/2024

Dalam sebuah perutusan sempena hari raya Aidiladha baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kata-kata yang cukup bermakna tentang penghayatan dan iktibar di sebalik ibadah haji. Menurutnya, tonggak kekuatan haji terpancar menerusi amalan haji itu sendiri yang mengajar umat Islam akan hakikat kesederhanaan. Segala kemewahan dan pangkat yang ada mesti ditinggalkan demi memenuhi tuntutan sebagai seorang hamba yang penuh merendah diri di hadapan Tuhannya.

[Daily_Kurma]_Ibadah_Haji_Mengajar_Erti_Kesederhanaan_-_Perdana_Menteri.png

"Peluang mengembara ke Mekah buat menunaikan haji merupakan antara kurniaan besar Ilahi kepada hambaNya. Kita mengenang manasik haji sebagai salah satu rukun Islam. Namun seyogia diingat, haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri bertujuan merubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana. Tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan. Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Azza wa Jalla.

"Inilah tonggak kekuatan haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi penghayatan dan amalan. Atas iktibar ini, saya mengajak umat Islam agar menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara. Jangan kita terpesong daripada tujuan. Dunia harus menjadi jambatan menuju negeri abadi," katanya menerusi hantaran yang telah dimuat naik di laman Facebook pada 17 Jun yang lalu.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengingatkan semua agar tidak melupakan saudara asnaf di kota dan desa. Segala nikmat kurniaan Allah sepatutnya dikongsi bersama mereka dengan mengerjakan ibadah korban, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya antara amalan yang paling disukai Allah ialah memasukkan kegembiraan ke dalam hati Mukmin, iaitu melepaskan dia daripada kesedihan, atau menyelesaikan hutang yang ditanggunginya, atau memberinya makan ketika dia kelaparan," Hadith Riwayat al-Bayhaqi.